Tuesday, March 14, 2023

Trend pengundian PRU15 mampu ancam PH di Selangor

freemalaysiatoday.com
Sheridan Mahavera
14 Mar 2023, 8:41am

Perikatan Nasional menawan majoriti pengundi baharu di Selangor dan menggantikan Umno sebagai pilihan kedua pengundi di banyak kerusi Parlimen.

Pakatan Harapan memegang 40 daripada 56 kerusi DUN di Selangor tetapi Perikatan Nasional (PN) telah mencapai kejayaan dengan memenangi enam kerusi Parlimen.

PETALING JAYA: Penguasaan Pakatan Harapan di Selangor boleh terancam sekiranya trend pengundian pada PRU15 diteruskan pada pilihan raya negeri akan datang.

PH kini memegang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi Perikatan Nasional (PN) mencapai kejayaan dalam PRU pada November dengan memenangi enam kerusi parlimen: Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan bahawa PN memperolehi antara 65% dan 90% pengundi baharu yang ditambah ke dalam daftar pemilih berikutan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.

Di Kapar, yang menjadi kubu kuat PH sebelum ini, menyaksikan PN menang sekitar 67.5% atau 34,400 daripada kira-kira 52,000 pengundi baharu. PH hanya berjaya menambah kira-kira 5,300 pengundi baharu, manakala BN memperoleh kira-kira 8,700.

Di Kuala Langat, calon PN daripada PAS memperoleh 52,867 undi berbanding 18,700 yang diperoleh parti Islam itu pada PRU14.

Sebaliknya, PH hanya berjaya meningkatkan undi sebanyak 7,800 walaupun hakikatnya terdapat lebih 35,800 pengundi baharu di kawasan itu. Undi BN turun kira-kira 7,400.

“Strategi media sosial dan retorik perkauman PN memberi impak, terutamanya dalam kalangan pengundi kali pertama,” kata Abbas Salimmi Adzmi, ketua sayap Pemuda dari Amanah, parti komponen PH.

Malah di kerusi Parlimen majoriti Melayu yang menyaksikan PN kalah, termasuk Shah Alam, Gombak, Hulu Langat dan Sepang, gabungan itu menduduki tempat kedua selepas PH. Majoriti PH di kerusi ini berkurangan antara 10,000 hingga 36,000 undi.

‘Gelombang hijau’ di Selangor

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, beliau percaya “gelombang hijau” boleh membantu gabungan itu menamatkan pemerintahan 15 tahun PH di Selangor, selepas mendorong PN memenangi 74 kerusi pada pilihan raya.

“PN mendominasi media sosial terutamanya TikTok dengan video daripada pendakwah selebriti yang pro-PN,” kata Mazlan.

PN berharap untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN yang akan memberikan majoriti mudah untuk mentadbir Selangor tetapi tidak menamakan kerusi itu.

Terdapat 10 kerusi DUN dalam enam kawasan Parlimen yang dimenangi PN pada PRU15, semuanya dengan lebih 70% bilangan pengundi Melayu.

Terdapat juga 12 kerusi DUN lain di seluruh Selangor di mana Melayu Islam merangkumi lebih 70% pengundi. Kerusi ini adalah di kawasan Parlimen Selayang, Gombak, Hulu Langat, Bangi, Shah Alam, Kota Raja dan Sepang.

Di lapan kerusi DUN lain, pengundi Melayu Islam membentuk lebih 60% daripada pengundi. Permatang, Taman Templer, Lembah Jaya, Pandan Indah, Dusun Tua, Seri Serdang, Meru dan Kota Damansara adalah kerusi yang pernah ditandingi PAS, parti terbesar dalam PN mengikut keahlian, sebelum ini.

Menghentikan ‘gelombang hijau’

Abbas percaya “gelombang hijau” PN mungkin tidak mempunyai kesan yang sama dalam PRN seperti yang berlaku pada PRU15. Beliau berkata PH dan sekutu baharunya BN kini menyedari strategi media sosial PN dan akan bersedia untuk menentang naratif mereka.

“Kerajaan Selangor telah melancarkan pelbagai inisiatif seperti insurans bersubsidi dan diskaun karnival beli-belah. Negeri juga telah menambah dana untuk program sedia ada seperti skim bantuan warga emas, yang membantu keluarga berpendapatan sederhana dan rendah,” kata Abbas.

Mazlan berkata, pengundi kali pertama yang menyokong PN pada PRU15 mungkin berubah fikiran selepas melihat prestasi kerajaan perpaduan.

“Keperibadian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerja kerasnya, kelayakannya sebagai pemimpin Islam yang progresif dan bagaimana dia turun ke lapangan untuk bersolat dengan orang yang berbeza setiap Jumaat, boleh mempengaruhi sentimen,” tambah Mazlan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-