Friday, March 24, 2023

Tuan Ibrahim cadang PEJUANG dibubar, ahli sertai PAS, Bersatu

agendaily.com
24/03/2023
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan PEJUANG dibubarkan manakala ahlinya menyertai PAS atau Bersatu.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) untuk menyertai gabungan itu kerana bimbang kemasukan parti baharu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan mengganggu perbincangan pembahagian kerusi.

“Masa dia masuk dekat PRN… parti komponen PN sudah bincang (pembahagian kerusi)… bila terima masuk ia mungkin akan mengganggu proses perbincangan yang sedang berjalan,” katanya menurut laporan FMT.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, PEJUANG yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan sahaja kalah semua kerusi ditandingi, malah calonnya termasuk Dr Mahathir turut hilang wang deposit.

Sejak itu PEJUANG terus dilanda krisis dengan Dr Mahathir kemudian mengumumkan keluar parti dan menyertai Putra pimpinan Datuk Ibrahim Ali, manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz memohon PEJUANG menyertai gabungan PN.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata penyatuan ummah tidak akan berlaku sebab PEJUANG bukan parti utama sepertimana UMNO atau Bersatu.

“Walaupun Pejuang masuk pilihan raya, ia kalah hampir semua dan mereka akui hilang deposit,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim juga berkata PEJUANG wajar dibubarkan dan ahlinya menyertai PAS atau Bersatu.

“Itu lebih baik berbanding banyakkan parti kecil kerana akhirnya ia akan menimbul masalah,” katanya.

Selain Mukhriz yang juga ADUN Jitra, PEJUANG juga memegang tiga kerusi DUN iaitu Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Kuang di Selangor yang dimenangi ahlinya ketika bertanding bawah tiket Bersatu dan Pakatan Harapan pada 2018.

“Saya jangka mereka tahu dengan bersendirian dia tak boleh pertahan kerusi itu maka dia cari gabungan lain,” kata Tuan Ibrahim.

Pada 21 Mac lalu, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan menolak permohonan PEJUANG untuk menyertai gabungan itu.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-