Friday, March 3, 2023

ULASAN | 100 hari pertama Anwar Ibrahim

malaysiakini.com
Imlan Adabi
Diterbitkan: Mar 3, 2023 8:15 AM
ULASAN | Sejak 2018, rakyat Malaysia sudah pandai menilai dan membandingkan untuk melihat kerajaan mana yang lebih baik. Mereka tahu sosok yang gagal atau yang berjaya; bersungguh-sungguh atau sekadar melantunkan kata-kata bombastik kosong.

Rakyat sudah faham perdana menteri mana yang bininya boleh berkuasa besar dan ada pembantu berjawatan tetap. Rakyat juga kenal budak-budak tingkat empat yang mengawal ucapan dan perancangan tugas perdana menteri.

Terima kasih Najib Razak kerana membawa 1MDB kepada masyarakat yang kemudian mencetuskan skandal mega berskala dunia. Tanpa syarikat yang dikaitkan dengan seorang Cina tembam yang masih diburu itu, masyarakat tidak tahu 1MDB dan SRC International.

Sejak PRU ke-14, rakyat menolak BN dan memilih Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selama 22 bulan selepas menjawat tugas itu 22 tahun sebelum itu.

Langkah Sheraton membawa Muhyiddin Yassin menggantikan Mahathir. Dia menjadi pemimpin bersama dengan sejarah darurat selama 18 bulan.

Rakyat boleh menilai dan membanding 60 tahun era BN, atau 22 bulan era Mahathir dan 18 bulan kerajaan bersalut darurat oleh Muhyiddin.

Lebih dua dekad menanti

Kemudian datang pula kerajaan Keluarga Malaysia ilham daripada Ismail Sabri Yaakob selama 14 bulan yang mencipta sejarah ada pemimpinnya berbahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Kita tidak nampak legasi pentadbiran itu melainkan secebis dua. Misalnya rakyat 'diajar' mengenai jenama pakaian yang susah untuk dieja oleh orang kampung.

Empat perdana menteri sepanjang tempoh empat tahun (2018 - 2022) mengundang perbandingan yang mana baik atau yang mana tidak boleh diharapkan.

Pada PRU ke-15 kerajaan perpaduan wujud yang membolehkan Anwar Ibrahim ke Putrajaya sebagai perdana menteri selepas selama menanti lebih dua dekad.

Sama ada dia lebih bagus atau lebih buruk berbanding perdana menteri sebelumnya, ia sedang diperhatikan. Tempoh 100 hari adalah detik pemerhatian yang lazim ditetapkan orang.

Proses demokrasi moden ada kaitan dengan revolusi pemikiran dan cuaca politik sejak berabad-abad silam. Pemikiran dan revolusi industri mencerakinkan perubahan. Sama ada lebih baik atau lebih bobrok, ia bergantung kepada insan yang melaksanakan misi berkenaan.

Anwar lahir dan wujud selepas empat proses revolusi melanda dunia.
Revolusi Industri Pertama berlaku pada 1765 dengan penemuan arang batu dan tenaga wap. Manusia mula mengenal tugasan secara rasmi. Ada yang bergaji. Ramai juga menjadi buruh paksa.

Revolusi Industri Kedua pada 1870 pula bermula dengan wujudnya kuasa elektrik. Manusia mula mengenal sistem kerja yang lebih baik dari sebelumnya.

Kesatuan sekerja dan perkilangan menjadikan manusia lebih rakus. Kuasa pelayar dan penjelajah Eropah meneroka ke dunia timur, Afrika dan Amerika untuk menjarah.

Revolusi Industri Ketiga pada 1969 membawa manusia memaksimumkan tenaga nuklear. Selepas ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, nuklear dibangunkan untuk industri yang kononnya cekap tenaga.

Tanpa disedari negara yang mempunyai kuasa nuklear dianggap tuan baru. Ia berlaku walaupun ada rakyat yang menderita - seperti di Korea Utara, India dan Iran.

Pertikai kemampuan PM

Revolusi Industri Keempat melahirkan internet. Langit jadi terbuka dan sempadan negara diceroboh secara maya dan digital. Internet juga membantu gerakan reformasi pada 1998 apabila media tradisional secara totok dikuasai pemerintah.

Anwar beruntung kerana gerakan reformasinya dibantu oleh internet dan anak muda yang secara fizikal sanggup turun di jalan raya. Ruang internet seperti Mahazalim dan Laman Reformasi beransur-ansur memuatkan berita alternatif gerakan reformasi.

Ramai yang melihat Anwar dizalimi Mahathir. PAS pimpinan Fadzil Noor juga menyokong Anwar, berbeza dengan Abdul Hadi Awang yang hanya tahu mendendangkan dalil.

Kini Anwar sudah lebih 100 hari mentadbir negara. Momentum pemulihan ekonomi negara dilihat berterusan meskipun berdepan persekitaran luaran tidak menentu, termasuk gangguan rantaian bekalan dan konflik geopolitik.
Rakyat terbanyak tidak melihat faktor luaran kerana mereka juga terhimpit. Harga barangan yang meningkat menjadi bualan penyokong PN untuk mempertikai kemampuan Anwar.

Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan bagi Dis 2022 hingga Feb 2023 menunjukkan, daripada lebih 35,000 responden, 39 peratus melihat situasi ekonomi negara bertambah buruk, 38 peratus mengatakan bertambah baik dan 23 peratus responden lagi menganggap tiada perubahan.

Kaji selidik sama turut menunjukkan, orang Melayu di Semenanjung Malaysia paling ramai mengatakan ekonomi negara bertambah buruk, iaitu sebanyak 53 peratus.

Sebanyak 22 peratus pula berpendapat ekonomi bertambah baik dan 25 peratus melihat ekonomi Malaysia tidak berubah.

Keadaan itu berbeza pula dengan kaum lain apabila peratusan responden mengatakan ekonomi Malaysia bertambah baik adalah jauh lebih tinggi berbanding sentimen ekonomi negara lebih buruk.

Ia menunjukkan, orang India paling ramai mengatakan ekonomi negara bertambah baik iaitu sebanyak 70 peratus, dan hanya 11 peratus mengatakan sebaliknya, serta 19 peratus lagi merasakan tiada perubahan.

Kajian hanya petunjuk. Ia tidak semestinya mewakili pandangan awam keseluruhan. Tempoh 100 hari adalah angka awal untuk Anwar bergerak lebih baik.

Sebagai reformis, rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih daripada Anwar dan kabinet. Kita masih menanti pembaharuan institusi yang lebih baik dan hak awam yang lebih terbuka.

Anwar tidak perlu dibebankan dengan masalah yang ditinggalkan oleh pemimpin sebelum ini. Dia perlu disokong untuk menjayakan agenda reformasi. Jika gagal, Anwar harus tahu risikonya!

IMLAN ADABI ialah wartawan yang pernah bertugas di beberapa organisasi media sejak 1986.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-