Friday, March 17, 2023

Umno yang merosot, bukan politik Melayu, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Shahrul Shahabudin
17 Mar 2023, 9:29am

Ahmad Fauzi Abdul Hamid mempertikaikan penegasan ketua Pemuda Bersatu bahawa penguasaan politik orang Melayu terancam.
Perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno Januari lepas. Umno telah lama dituduh mengamalkan naungan politik selepas penswastaan banyak agensi kerajaan dan penubuhan GLC.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menolak dakwaan seorang pemimpin Bersatu bahawa politik Melayu semakin merosot dengan berkata, hanya Umno yang hilang penguasaannya.

Bercakap kepada FMT, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, orang Melayu masih memegang majoriti besar jawatan penting dalam kerajaan dan kebanyakan parti politik utama.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Ahmad Kamal bahawa politik Melayu berada dalam “zaman kemerosotan” disebabkan kurangnya perwakilan Melayu di Parlimen dan DUN dan “pakatan tidak suci” antara Umno dengan DAP, yang disifatkannya sebagai “pengkhianatan terbesar dalam sejarah politik Melayu”.

Fauzi, merujuk kepada pihak yang memegang prinsip ketuanan Melayu, berkata: “Bagi mereka, politik bermaksud penguasaan, bukan berkongsi dan berkompromi. Mereka terperangkap dalam kepercayaan bahawa politik Melayu akan berakhir jika mereka tidak dominan.

“Apa yang berlaku pada PRU15 adalah peralihan kuasa daripada seorang pemimpin Melayu kepada pemimpin Melayu lain yang menjunjung prinsip berbilang budaya.”

Apa yang merosot, katanya, adalah kualiti dan nilai ahli politik Melayu.

Beliau berkata, naungan mula mencemarkan politik Melayu pada zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Katanya, pada zaman itu, pemimpin Melayu dalam kerajaan mula memberikan jawatan dan kontrak sebagai ganjaran kepada pengikut mereka.

“Mereka cuba memainkan peranan sebagai pelindung orang Melayu, tetapi semua manfaat dan keistimewaan disebarkan dalam kalangan elit politik, bukan kepada orang Melayu biasa.”

Fauzi berkata, naungan menjadi penghalang utama bagi kebangkitan pemimpin muda dalam parti Melayu.

Umno telah lama dituduh mengamalkan naungan politik selepas penswastaan banyak agensi kerajaan dan penubuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam buku bertajuk “Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage and Profits”, ahli ekonomi Edmund Terence Gomez dan Jomo Kwame Sundaram berkata, naungan pada zaman Mahathir membawa kepada penciptaan kelas Melayu baharu dan budaya politik wang dalam Umno.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Benut Tawfik Ismail juga berkata, beliau percaya kualiti politik Melayu mengalami kemerosotan selepas Mahathir mengambil alih.

Berbeza dengan pendahulunya, kata Tawfik, Mahathir tidak terus menekankan kepentingan nilai liberal dan progresif, akhirnya membawa orang Melayu ke arah konservatif.

Menurut beberapa pemerhati, pemangkin kepada peralihan ini adalah kebangkitan PAS pada 1980-an, yang menjadikan parti Islam itu saingan utama Umno.

“Kita sudah tidak tahu bagaimana nak hidup dengan kaum lain dan memandang kaum lain dengan penuh syak wasangka, seolah-olah mereka musuh yang mengancam orang Melayu,” kata Tawfik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-