Friday, March 17, 2023

Kenapa DAP bisu skandal MB Selangor, projek Sungai Klang?

agendaily.com
17/03/2023
Kes Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang didakwa ada kaitan dengan sebuah syarikat dianugerahkan tender projek mendalam dan melebarkan Sungai Klang, dilaporkan kepada SPRM.

Pemuda PAS Selangor menyelar tindakan DAP, parti sekutu baharu UMNO, yang membisu berhubung skandal melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung isu projek rundingan terus bernilai RM700 juta sungai Klang.

Sebaliknya, parti itu dilihat seperti singa dalam isu berkaitan program ‘Jom Ziarah Gereja’ anjuran agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan di mana ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh, menjadi menterinya.

Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Muhammad Hanif Jamaluddin, malah berkata tindakan Hannah memetik nama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan dialog antara agama, bertujuan mengalih perhatian skandal Sungai Klang.

“Tindakan Hannah memetik nama Tuan Ibrahim berkenaan dialog antara agama di negara, hanyalah cubaan mengalih perhatian rakyat dari skandal melibatkan projek Sungai Klang secara rundingan terus melibatkan Amiruddin.

“Pemuda PAS Selangor yakin tindakan mereka itu menunjukkan sikap berat sebelah yang ketara apabila mereka memetik pandangan Tuan Ibrahim daripada perspektif parti DAP yang memperjuangkan negara sekular dalam Perlembagaan parti mereka.

“Tindakan memainkan isu keharmonian antara agama ini adalah dibuat bagi menutup mata terhadap isu lebih besar, iaitu skandal Menteri Besar, yang melibatkan implikasi kewangan RM117 juta milik rakyat Selangor.

“Pemuda PAS Selangor juga menyelar sikap DAP yang dilihat seperti singa dalam isu lawatan ke rumah ibadat bukan-Islam tetapi menjadi tikus apabila menyentuh isu skandal Menteri Besar Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini (17 Mac 2023).

Semalam, Muhammad Haniff menggesa Amirudin supaya mengambil cuti sementara bagi memastikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjalan lancar sehingga selesai.

Menurutnya, SPRM sedang menyiasat Amiruddin berhubung isu projek rundingan terus bernilai RM700 juta dan sewajarnya bercuti bagi memboleh siasatan dapat dijalankan secara adil dan bebas.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan DAP itu hanya menunjukkan sikap berat sebelah apabila melibatkan isu integriti di sebelah Pakatan Harapan selaku parti yang memerintah Selangor.

Katanya, tidak sukar untuk lihat bahawa motif sebenar DAP adalah untuk mengalih perhatian orang ramai daripada skandal Selangor dan pendakwaan terpilih yang pernah mereka perjuangkan dulu, terutamanya dalam isu mendiang Teoh Beng Hock.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-