Geraldine Tong
Diterbitkan: Apr 7, 2023 9:20 AM
Membenarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kewangan rakyat, kata pakar ekonomi.
Hal itu kerana - antara lain - disebabkan ia tidak memenuhi keperluan rakyat untuk mendapat akses kecemasan kepada dana dan tidak akan memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukan bantuan kewangan kerana kekangan skim tersebut.
Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Geoffrey Williams berkata ia disebabkan oleh had pinjaman RM3,000 dan had tidak boleh meminjam lebih daripada apa yang ada dalam Akaun 2 KWSP mereka.
“Kebanyakan orang termiskin tidak mempunyai apa-apa dalam akaun mereka. Sekitar 75 peratus ahli KWSP tidak akan mendapat manfaat dan kebanyakannya (kumpulan pendapatan) M40 dan T20 akan mendapat faedah itu,” kata Williams kepada Malaysiakini.
Kelemahan lain katanya ialah pemberi pinjaman masih akan mendapat wang dan menghabiskan simpanan pencarum yang menggunakan skim pinjaman KWSP, melainkan mereka membayar balik sebelum tenpoh pinjaman tamat.
Geoffrey Williams
Bagaimanapun, Williams menyatakan reka bentuk konservatif kemudahan sokongan tersebut akan melindungi orang ramai dan ia adalah lebih baik berbanding skim pengeluaran langsung.Pandangan sama dikongsikan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar yang berpendapat memang bagus apabila bank-bank yang terbabit menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada peminjam.
Katanya langkah itu akan mengurangkan beban kepada peminjam yang menyertai skim itu nanti.
"Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah akses kepada dana dalam situasi kecemasan," katanya.
Patut teroka cara lain
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata dia "bukan peminat tegar" kepada cadangan skim pinjaman KWSP.
Pada masa sama dia menekankan bahawa dana itu seharusnya disimpan untuk masa depan pencarum.
Dia juga menegaskan Malaysia adalah antara negara dunia yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi kepada nisbah keluaran dalam negara dan ia menjadikan orang ramai terdedah kepada kitaran ekonomi.
“Selain itu, ia menjejaskan lagi kestabilan kewangan masa depan dengan memperkenalkan idea bahawa KWSP adalah sesuatu yang boleh digunakan, sedangkan ia sepatutnya menjadi alat untuk menghadapi masa depan.
"Sesuatu pinjaman harus disokong oleh sumber semasa, bukan oleh sumber akan datang," katanya.
ADS
Walaupun Carmelo mengakui terdapat beberapa had dan syarat dalam skim pinjaman KWSP, dia menegaskan prinsip menggunakan KWSP untuk dana kecemasan itu sendiri adalah salah.
Williams dan Nambiar juga berkata kerajaan harus meneroka cara lain untuk menangani masalah kewangan dihadapi rakyat.
Untuk permulaan, Nambiar berkata, kerajaan perlu melihat kepada pendapatan asas sejagat bagi mereka yang tidak berada dalam skim pencen, dan campur tangan awam dalam penyediaan pembiayaan perumahan dan penjagaan kesihatan.
“Sekiranya polisi di atas dilaksanakan, kebergantungan kepada KWSP sebagai sumber kredit akan berkurangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.