Wednesday, April 5, 2023

Sejak bila pula Melayu Islam angkuh? MP PN tanya Anwar

agendaily.com
05/04/2023
Ketua Pemuda Perikatan Nasional yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan orang Melayu Islam supaya tidak angkuh hingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

Malah, beliau juga mengingatkan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) itu supaya turut memberi nasihat kepada kaum lain juga agar tidak angkuh.

“Sejak bila Melayu Islam angkuh? Jika dikatakan sekadar peringatan dan tidak semestinya ia berlaku, nah kenapa tidak diperingatkan juga kepada selain Melayu Islam?” soal beliau yang juga Ahli Parlimen PN Pasir Mas, dalam kenyataan ringkas malam tadi (4 April 2023).

Pada masa sama gabungan pembela ummah turut menbidas kenyataan Anwar yang dianggap mahu menjadi juara kepada kaum lain dengan ‘menghentam’ bangsa sendiri.

Jurucakap gabungan itu mengingatkan Anwar bahawa sesetengah pengundi Melayu juga turut memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu.

“Jangan kerana hendak menjadi hero kepada kaum lain maka bangsa sendiri diinjak-injak. Adakah Anwar bukan Melayu?,” katanya kepada Agenda Daily.

Menurutnya Anwar yang kini mempunyai kuasa sepatutnya menjadi pelindung dan benteng kepada pihak yang semakin hari cuba mengganggu-gugat hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu serta kedudukan Islam.

“Kami harap kerajaan tidak lari dan menyeleweng daripada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 153,” katanya sambil mengingatkan tentang sejarah bagaimana bangsa Melayu lebih bertoleransi terhadap kaum-kaum lain.

Semalam, Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Kementerian Kewangan mengingatkan orang Melayu Islam sebagai kaum majoriti di negara ini tidak berasa begitu selesa dan angkuh sehingga meminggirkan kumpulan minoriti lain.

Menceritakan pengalamannya ketika berkunjung ke Kemboja baru-baru ini, Anwar berkata beliau melihat sendiri bagaimana umat Islam minoriti di negara berkenaan dilayan.

“Saya iftar anjuran Perdana Menteri Kemboja bersama 6,000 umat Islam di sana. Umat islam di Kemboja hanya 10 peratus dan apabila diberi penghormatan, beri ucapan dan ke masjid di sana, saya sebut bahawa langkah ini menunjukkan negara majoriti (beragama) Buddha memberi dan meraikan kumpulan minoriti umat Islam dengan iftar dan beberapa ruang lain termasuk (melantik) menteri, seorang Muslim.

“Itu sebagai pengajaran, kadang-kadang kita yang majoriti (ini) rasa terlalu selesa dan angkuh dengan menganggap tidak boleh meraikan kelompok (minoriti) lain dan ini bukan dianjurkan dalam pengajaran pedoman Nabi Muhammad SAW,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-