Showing posts with label Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Show all posts
Showing posts with label Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Show all posts

Tuesday, August 20, 2024

Kakitangan awam tak rugi dengan skim caruman KWSP - menteri

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Aug 20, 2024
Cadangan kerajaan memperkenalkan skim caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada penjawat awam lantikan baru tidak akan rugi, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Sebaliknya cadangan baru itu kata menteri memberi pilihan kepada kakitangan awam.

"Saya percaya ia satu cadangan yang baik daripada kerajaan bukan sahaja dari segi fiskal tetapi juga memberi pilihan kepada kakitangan awam.

"Kalau dia berkhidmat dengan kerajaan, dia mendapat pulangan yang lebih kurang sama dan dari segi faedah, ia tidak akan kurang daripada apa yang ada sekarang.
"Jadi, mereka tidak akan rugi apa-apa. Kalau… dia pindah ke tempat lain caruman itu akan mengikut dia ke tempat baru dia, itu saya kata mereka mempunyai pilihan yang bagus," katanya kepada pemberita di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Namun, Amir mengakui kerajaan perlu berusaha menjelaskan perkara itu perlu ditingkatkan.

Sebelum ini terdapat dakwaan langkah pengambilan baru penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Kerajaan berkata perkara itu telah dikaji sejak lama dulu dengan perancangan baru untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara berisiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.
Pada awal tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata pengambilan penjawat awam baru secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum kabinet meluluskan dasar pengambilan baru secara tetap tetapi tidak berpencen.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak akan menjejaskan status penjawat awam sedia ada namun bagi penjawat awam lantikan baru perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut, Amir berkata cadangan itu masih diperhalusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Ini masih perhalusi oleh JPA. Inshaallah, sebelum hujung tahun harap akan ada sedikit penjelasan mengenainya.

"Kita kena tunggu, lepas diperhalusi JPA dan selepas dipersetujui semua pihak ia akan keluar," katanya.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Wednesday, June 26, 2024

TINJAUAN l 96 peratus mahu pencen MP ditukar ke caruman KWSP

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 26, 2024 

Pembaca Malaysiakini jelas mahu pencen untuk ahli parlimen digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut tinjauan Makmal Berita Kini, sebanyak 96 peratus daripada 8,035 responden setuju dengan cadangan ini.

Sementara itu, 93 peratus daripada 7,778 responden setuju dengan cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar ahli parlimen hanya menerima satu pencen, walaupun mereka boleh menerima beberapa pencen melalui jawatan yang dipegang di peringkat persekutuan dan negeri.

Respons yang diterima kali ini jauh lebih banyak berbanding tinjauan Makmal Berita Kini sebelum ini, antaranya berkenaan belanjawan negara dan berkenaan tahun pertama Anwar sebagai perdana menteri, yang mendapat kira-kira 3,000 respons.

Tinjauan ini sebahagian daripada laporan dua bahagian Makmal Berita Kini berkenaan jumlah pencen dan elaun yang boleh dinikmati ahli parlimen.

Keputusan tinjauan dibuat daripada respons yang diberi pembaca bermula jam 9 pagi, 19 Jun hingga jam 10 pagi, 25 Jun.

Perlu dinyatakan ini bukan tinjauan saintifik dan secara teknikalnya, sesiapa saja boleh mengundi beberapa kali menggunakan peranti dan pelayar web yang berbeza.

Namun, ruangan komen laporan ini - yang memerlukan pembaca untuk log masuk menerusi emel - menunjukkan sentiman yang sama dengan keputusan tinjauan. Sebanyak 300 pembaca yang telah meninggalkan komen mereka.
ADS

Baca lanjut: Berapa banyak pencen wakil rakyat?


Suara hati pesara kerajaan
Seorang pembaca, yang menyatakan dia berkhidmat sebagai penjawat awam selama 30 tahun dalam agensi tenaga, menyuarakan rasa kecewa kerana menerima pencen yang sedikit, walaupun jika dibandingkan dengan pencen Adun, apatah lagi ahli parlimen yang hanya berkhidmat selama satu penggal.

"Saya berkhidmat...dengan keringat, air mata dan sehingga tak tidur malam untuk menangani gangguan tenaga sebelum penswastaan (agensi tenaga itu), selama lebih 30 tahun.

"Pencen saya hanya RM2,200 sebulan, sedangkan seseorang yang jadi Adun selama 36 bulan dapat lebih RM3,000 sebulan. Memang tak adil," tulisnya.

Pembaca lain pula mempersoalkan jika ahli parlimen memang layak menerima pencen dan elaun jika mereka gagal memberi khidmat kepada rakyat seperti yang diharapkan.

"Macam mana kalau ahli parlimen hanya makan elaun dan gaji buta dan tak bantu rakyat di kawasan mereka? Kalau ikutkan, memang tak adil (dapat) elaun yang banyak, selain tuntutan yang boleh dibuat.

"Bila rakyat minta bantuan dekat pejabat wakil rakyat, kerenah birokrasi panjang sampai susah nak dapat bantuan," kata pembaca yang ingin dikenali sebagai Zatie.

Dia mencadangkan agar elaun ahli parlimen dipotong jika mereka tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat, memandangkan ada banyak kerusi kosong ketika sesi-sesi sebelum ini.

Sementara itu, Matthew Robert membangkitkan askar yang mengabdikan diri demi keselamatan negara tidak layak menerima pencen jika berkhidmat tidak sampai 20 tahun, manakala ahli parlimen hanya perlu sepenggal untuk layak mendapatnya.

"Ahli parlimen harus memartabatkan lagi skim pencen tentera, dan bukan membisu daripada membela hak dan hal ehwal pesara tentera. Saya sama sekali tidak akan menyokong ahli politik yang hipokrit ini," katanya.

Beberapa responden membangkitkan isu konflik kepentingan, memandangkan ahli parlimen sendiri yang menetapkan gaji dan pencen mereka.

"Isu sebenarnya adalah mengapa ahli parlimen ada kuasa untuk meluluskan gaji atau pencen yang mereka fikir sesuai? Seperti beri kuasa kepada pekerja untuk menetapkan gaji mereka. Pastinya ini akan disalah guna," kata Peter.

Ada juga yang menggesa kelayakan pencen untuk semua penjawat awam, termasuk ahli parlimen, dipiawaikan dan disemak semula, atau sekurang-kurangnya tempoh perkhidmatan minimum untuk layak menerima pencen ditingkatkan daripada tiga tahun kepada dua hingga tiga penggal.


Bekas MP tak setuju mansuh pencen

Beberapa bekas ahli parlimen tidak setuju dengan cadangan pencen digantikan dengan caruman KWSP, dengan berkata caruman KWSP sepanjang satu penggal perkhidmatan tidak cukup untuk persaraan mereka.

Mereka juga berkata berbeza dengan penjawat awam, tiada jaminan untuk tempoh perkhidmatan mereka.

Selain itu, mereka berkata penjimatan yang diraih dengan menukar skim pencen kepada caruman KWSP tidak memadai untuk menjustifikasikan kos pentadbiran untuk melakukan perubahan itu.

Namun, pakar ekonomi Muhammad Khalid mengaggarkan menerusi penukaran itu, kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM2.4 juta bagi setiap ahli parlimen, bersamaan kira-kira setengah bilion ringgit bagi satu kohort anggota Dewan Rakyat.

Walaupun itu jumlah kecil dalam seluruh perbelanjaan kerajaan, dia berkata ia boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak seperti menaikkan gaji jururawat, guru dan anggota polis berpangkat rendah.

Sementara itu, bekas ahli parlimen Batu Kawan P Ramasamy berkata tidak adil untuk membuat perubahan secara tiba-tiba dalam skim pencen ahli parlimen untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut Ramasamy, caruman KWSP boleh menjadi "antara jawapan kepada isu pencen berganda" namun reformasi dalam perkara itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh.

"Kerajaanlah yang perlu mencadangkan formula berkesan untuk sistem pencen yang diperbaharui.

"Anda tak boleh menimbang untuk mengurangkan pencen berganda kepada satu pencen hanya kerana kerajaan tak cukup wang. Kita tidak boleh salahkan penerima pencen atas hutang kerajaan," katanya yang juga pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Ramasamy pernah menjadi Adun Seberang Perang, Exco dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, dan menerima dua pencen daripada jawatan di peringkat negeri dan persekutuan.

Laporan tambahan oleh G Vinod

Friday, April 7, 2023

Ahli ekonomi: Skim pinjaman bercagar KWSP kurang berkesan bantu rakyat

malaysiakini.com
Geraldine Tong
Diterbitkan: Apr 7, 2023 9:20 AM
Membenarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kewangan rakyat, kata pakar ekonomi.

Hal itu kerana - antara lain - disebabkan ia tidak memenuhi keperluan rakyat untuk mendapat akses kecemasan kepada dana dan tidak akan memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukan bantuan kewangan kerana kekangan skim tersebut.

Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Geoffrey Williams berkata ia disebabkan oleh had pinjaman RM3,000 dan had tidak boleh meminjam lebih daripada apa yang ada dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Kebanyakan orang termiskin tidak mempunyai apa-apa dalam akaun mereka. Sekitar 75 peratus ahli KWSP tidak akan mendapat manfaat dan kebanyakannya (kumpulan pendapatan) M40 dan T20 akan mendapat faedah itu,” kata Williams kepada Malaysiakini.

Kelemahan lain katanya ialah pemberi pinjaman masih akan mendapat wang dan menghabiskan simpanan pencarum yang menggunakan skim pinjaman KWSP, melainkan mereka membayar balik sebelum tenpoh pinjaman tamat.
Geoffrey Williams
Bagaimanapun, Williams menyatakan reka bentuk konservatif kemudahan sokongan tersebut akan melindungi orang ramai dan ia adalah lebih baik berbanding skim pengeluaran langsung.

Pandangan sama dikongsikan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar yang berpendapat memang bagus apabila bank-bank yang terbabit menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada peminjam.

Katanya langkah itu akan mengurangkan beban kepada peminjam yang menyertai skim itu nanti.

"Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah akses kepada dana dalam situasi kecemasan," katanya.

Patut teroka cara lain

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata dia "bukan peminat tegar" kepada cadangan skim pinjaman KWSP.

Pada masa sama dia menekankan bahawa dana itu seharusnya disimpan untuk masa depan pencarum.

Dia juga menegaskan Malaysia adalah antara negara dunia yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi kepada nisbah keluaran dalam negara dan ia menjadikan orang ramai terdedah kepada kitaran ekonomi.

“Selain itu, ia menjejaskan lagi kestabilan kewangan masa depan dengan memperkenalkan idea bahawa KWSP adalah sesuatu yang boleh digunakan, sedangkan ia sepatutnya menjadi alat untuk menghadapi masa depan.

"Sesuatu pinjaman harus disokong oleh sumber semasa, bukan oleh sumber akan datang," katanya.
ADS


Walaupun Carmelo mengakui terdapat beberapa had dan syarat dalam skim pinjaman KWSP, dia menegaskan prinsip menggunakan KWSP untuk dana kecemasan itu sendiri adalah salah.

Williams dan Nambiar juga berkata kerajaan harus meneroka cara lain untuk menangani masalah kewangan dihadapi rakyat.

Untuk permulaan, Nambiar berkata, kerajaan perlu melihat kepada pendapatan asas sejagat bagi mereka yang tidak berada dalam skim pencen, dan campur tangan awam dalam penyediaan pembiayaan perumahan dan penjagaan kesihatan.

“Sekiranya polisi di atas dilaksanakan, kebergantungan kepada KWSP sebagai sumber kredit akan berkurangan,” katanya.

Sunday, March 12, 2023

Apa nasib pencarum KWSP gagal bayar pinjaman?, soal MTUC

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my
Mac 12, 2023 @ 9:37am
Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan nasib yang bakal menimpa peminjam dan simpanan persaraan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekiranya gagal membayar pinjaman.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata ini kerana berdasarkan Akta KWSP 1991, tiada peruntukan yang membolehkan wang simpanan persaraan itu dicagarkan kecuali perintah pelucutan hak mahkamah.

Katanya, beliau tidak bersetuju sekiranya pindaan akta dibuat bagi membenarkan ia berlaku kerana adalah penting wang simpanan KWSP 'kebal' daripada kebankrapan.

Beliau turut melahirkan kegusaran risiko kedudukan kewangan keseluruhan pencarum bertambah buruk sekiranya bank mengenakan kadar faedah lebih tinggi daripada dividen KWSP.

"Berdasarkan akta KWSP, simpanan pencarum dilindungi daripada kebankrapan justeru apa yang akan berlaku jika peminjam gagal membayar pinjaman mereka dan adakah bank mahu memberi pinjaman dengan cagaran sedemikian.

"Bank akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi daripada dividen KWSP, jadi pencarum akan melihat kedudukan kewangan keseluruhan mereka bertambah buruk," katanya.

Beliau berkata, satu mekanisme yang lebih jelas perlu diteliti berikutan bank tidak boleh mengambil simpanan KWSP pencarum sebagai penyelesaian baki pinjaman sekiranya peminjam gagal membayar dan diisytiharkan muflis.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempertahankan langkah membenarkan ahli KWSP menggunakan caruman mereka sebagai cagaran pinjaman peribadi kerana langkah itu tidak bercanggah dengan Akta KWSP 1991.

Malah, Perdana Menteri dilaporkan berkata, perkara itu sudah dibincang dan diperhalusi bersama pihak KWSP sebelum kaedah itu diumumkan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata inisiatif ini boleh menyebabkan pencarum berisiko kehilangan wang KWSP sekiranya gagal membayar pinjaman bank.

Atas dasar itu, katanya pencarum perlu mengkaji sama ada mereka mampu untuk melunaskan hutang terbabit kerana mereka berhadapan dengan risiko cagaran digunakan pihak bank untuk melangsaikan hutang yang tertunggak.

"Cadangan ini bagi saya lebih bersifat membuka ruang untuk ahli KWSP meminjam dengan pihak bank namun, prinsip meminjam masih lagi terpakai.

"Maksudnya, jika mahu meminjam, seseorang itu perlu mengkaji sama ada mereka mampu untuk melunaskan hutang berkenaan," katanya.

Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, pula berkata Akta KWSP perlu dipinda sebelum menjadikan wang persaraan itu sebagai cagaran untuk pinjaman bank.

Ini kerana Nik Ahmad Kamal berkata, tanpa pindaan itu pelaksanaan dasar baharu untuk membenarkan cagaran menggunakan KWSP adalah tidak sah.

Saturday, July 28, 2018

KWSP: Kutipan Tol Tidak Mampu Dihapus Dalam 100 Hari

 Bernama, Semasa
Foto: FMT

KUALA LUMPUR, 28 Julai — Cadangan untuk menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam masa 100 hari seperti yang digariskan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), demikian menurut ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Beliau berkata kerajaan mempunyai keutamaan lain dari segi keperluan monetari yang perlu ditangani buat masa ini. Lagipun, katanya, penghapusan tol melibatkan proses yang rumit dan pelbagai pihak.

“Kami telah memberikan beberapa cadangan dan idea (kepada kerajaan) tetapi, sebarang penyusunan semula tol adalah satu mainan campur tolak di mana seseorang perlu membuat pembayaran tidak kira sama ada ia menyediakan atau tidak keseimbangan antara pengguna dan pemegang konsesi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama di Forum Ekonomi dan Kepimpinan 2018, di sini, hari ini.

Shahril berkata penyusunan semula tol sangat rumit kerana kepentingan semua pihak perlu diambil kira.

“Saya fikir kerajaan juga mahu berlaku adil kerana penghapusan tol dan pampasan kepada pemegang konsesi akan memindahkan beban kepada pembayar cukai, dan saya rasa (berlaku adil) adalah keutamaan kerajaan,” jelasnya.

KWSP memilliki 49 peratus pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.

Beliau juga berkata pelabur Malaysia perlu mempunyai keyakinan terhadap pasaran dan kerajaan, menyedari hal ini, tidak mahu melakukan apa-apa yang boleh menjejaskannya.

Sementara itu, semasa sesi soal jawab, Shahril berkata ekonomi Malaysia dijangka tidak menentu tahun ini sekurang-kurangnya sehingga Oktober.

Sentimen pelabur asing kekal tidak memasuki pasaran kerana mereka masih berhati-hati dengan keadaan semasa negara dari segi dasar ekonomi, katanya.

“Bagi jangka masa pendek, akan ada banyak ketidaktentuan kerana kerajaan masih belum menetapkan dasar pelaburan atau pemacu pasaran yang mereka mahu laksanakan.

“Saya jangka keadaan ekonomi tidak menentu itu akan kekal sehingga pembentangan belanjawan akan datang,” katanya. 

— Bernama

Tuesday, May 29, 2018

Caruman suri rumah dari 11 peratus potongan sedia ada

Bernama
Diterbitkan 29 Mei 2018, 1:23 petang


Cadangan mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan suri rumah tidak melibatkan caruman tambahan dipotong daripada gaji suami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata sebaliknya hanya dua peratus daripada 11 peratus gaji suami yang dicarumkan kepada KWSP dicadang dipotong untuk tujuan itu.

“Kita tidak ambil tambahan, hanya ambil daripada 11 peratus. Bagilah pengiktirafan kepada wanita,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Rumah Ehsan untuk warga emas di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, hari ini.

Wan Azizah berkata kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Khamis bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman tersebut.

Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah soal suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu.

Caruman KWSP kepada golongan suri rumah merupakan antara janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu. Dr Wan Azizah merupakan Presiden.

Selain caruman daripada pendapatan suami, cadangan itu turut melibatkan RM50 daripada kerajaan.

-Bernama

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-