Showing posts with label pinjaman. Show all posts
Showing posts with label pinjaman. Show all posts

Friday, April 7, 2023

Ahli ekonomi: Skim pinjaman bercagar KWSP kurang berkesan bantu rakyat

malaysiakini.com
Geraldine Tong
Diterbitkan: Apr 7, 2023 9:20 AM
Membenarkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai cagaran untuk membuat pinjaman kecemasan sebenarnya tidak menyelesaikan masalah kewangan rakyat, kata pakar ekonomi.

Hal itu kerana - antara lain - disebabkan ia tidak memenuhi keperluan rakyat untuk mendapat akses kecemasan kepada dana dan tidak akan memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukan bantuan kewangan kerana kekangan skim tersebut.

Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Geoffrey Williams berkata ia disebabkan oleh had pinjaman RM3,000 dan had tidak boleh meminjam lebih daripada apa yang ada dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Kebanyakan orang termiskin tidak mempunyai apa-apa dalam akaun mereka. Sekitar 75 peratus ahli KWSP tidak akan mendapat manfaat dan kebanyakannya (kumpulan pendapatan) M40 dan T20 akan mendapat faedah itu,” kata Williams kepada Malaysiakini.

Kelemahan lain katanya ialah pemberi pinjaman masih akan mendapat wang dan menghabiskan simpanan pencarum yang menggunakan skim pinjaman KWSP, melainkan mereka membayar balik sebelum tenpoh pinjaman tamat.
Geoffrey Williams
Bagaimanapun, Williams menyatakan reka bentuk konservatif kemudahan sokongan tersebut akan melindungi orang ramai dan ia adalah lebih baik berbanding skim pengeluaran langsung.

Pandangan sama dikongsikan Felo Kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar yang berpendapat memang bagus apabila bank-bank yang terbabit menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada peminjam.

Katanya langkah itu akan mengurangkan beban kepada peminjam yang menyertai skim itu nanti.

"Bagaimanapun, ia tidak menyelesaikan masalah akses kepada dana dalam situasi kecemasan," katanya.

Patut teroka cara lain

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata dia "bukan peminat tegar" kepada cadangan skim pinjaman KWSP.

Pada masa sama dia menekankan bahawa dana itu seharusnya disimpan untuk masa depan pencarum.

Dia juga menegaskan Malaysia adalah antara negara dunia yang mempunyai hutang isi rumah tertinggi kepada nisbah keluaran dalam negara dan ia menjadikan orang ramai terdedah kepada kitaran ekonomi.

“Selain itu, ia menjejaskan lagi kestabilan kewangan masa depan dengan memperkenalkan idea bahawa KWSP adalah sesuatu yang boleh digunakan, sedangkan ia sepatutnya menjadi alat untuk menghadapi masa depan.

"Sesuatu pinjaman harus disokong oleh sumber semasa, bukan oleh sumber akan datang," katanya.
ADS


Walaupun Carmelo mengakui terdapat beberapa had dan syarat dalam skim pinjaman KWSP, dia menegaskan prinsip menggunakan KWSP untuk dana kecemasan itu sendiri adalah salah.

Williams dan Nambiar juga berkata kerajaan harus meneroka cara lain untuk menangani masalah kewangan dihadapi rakyat.

Untuk permulaan, Nambiar berkata, kerajaan perlu melihat kepada pendapatan asas sejagat bagi mereka yang tidak berada dalam skim pencen, dan campur tangan awam dalam penyediaan pembiayaan perumahan dan penjagaan kesihatan.

“Sekiranya polisi di atas dilaksanakan, kebergantungan kepada KWSP sebagai sumber kredit akan berkurangan,” katanya.

Thursday, January 27, 2022

Perjelas kenapa Genting HK diberi pinjaman tanpa jaminan, Anwar beritahu Tengku Zafrul

FMT Reporters
-January 27, 2022 6:52 PM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz segera menjawab persoalan mengapa bank dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong.

PETALING JAYA: Pembangkang mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz segera menjawab persoalan mengapa tiga bank dibenarkan memberi pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian Genting Hong Kong.

Ketuanya, Anwar Ibrahim membuat desakan itu susulan media melaporkan bahawa keuntungan tiga bank, iaitu Maybank, CIMB dan RHB Bank Bhd dijangka terjejas berikutan masalah dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong yang amat terkesan ekoran pandemik Covid-19.

“Menurut laporan media, ketiga-tiga bank tersebut telah memberi pinjaman tanpa jaminan berjumlah USD600 juta (RM2.51 bilion).

“Saya mendesak Menteri Kewangan untuk segera menjawab persoalan mengapakah bank-bank ini dibenar memberi pinjaman tanpa jaminan kepada Genting Hong Kong,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, desakan itu dibuat kerana kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah pemegang saham terbesar dalam ketiga-tiga bank berkenaan.

Beliau turut mempersoal bagaimana pinjaman tanpa jaminan kepada syarikat perjudian itu boleh diberikan dengan sebegitu mudah.

“Walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong, pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpanannya dalam syarikat yang dimilikinya di Malaysia.

“Menteri Kewangan juga dituntut menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.51 billion ini akan dibayar oleh Genting Hong Kong yang sudah muflis. Bagi saya, penjelasan perlu disegerakan bagi mengelak skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) Hong Kong berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, keuntungan tiga bank Malaysia Maybank, CIMB dan RHB Bank dijangka terjejas berikutan masalah yang dihadapi pengendali kapal persiaran, Genting Hong Kong yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Straits Times Singapura melaporkan, ketiga-tiga bank itu adalah antara beberapa pemiutang tidak bercagar utama bagi Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan berjumlah USD600 juta (RM2.5 bilion).

Pemfailan pembubaran Genting Hong Kong dibuat seminggu selepas anak syarikatnya bagi pembuatan kapal di Jerman, MV Werften, mengalami situasi ketakmampuan membayar.

Ia satu perkembangan yang mencetuskan kemungkiran silang bagi pelbagai pengaturan pembiayaan keseluruhan syarikat itu bernilai lebih USD2.7 bilion, lapornya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-