Sunday, April 2, 2023

Najib Razak bebas atau tidak, hanya Agong harapan terakhir

mykmu.net
02/04/2023
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dijangka menjadi penentu mutlak sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dibebaskan atau sebaliknya daripada hukuman penjara 12 tahun yang dihadapinya ketika ini.

Ia boleh dikatakan peluang terakhir bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk dibebaskan selepas segala usahanya dari sudut undang-undang termasuk mendapatkan kebenaran semakan terhadap sabitan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International ditolak oleh Mahkamah Persekutuan kelmarin.

Ini kerana Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Raja atau Yang Dipertua Negeri juga mempunyai kuasa yang sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing.

Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga menetapkan Yang di-Pertuan Agong, raja-raja dan Yang Dipertua Negeri melaksanakan kuasa itu melalui nasihat Lembaga Pengampunan negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kini ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk ‘melayan’ pertimbangan pengampunan diraja yang dilakukan Najib sebelum ini.

Katanya, ini kerana tidak ada satu-satu tempoh yang ditetapkan untuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong itu membuat keputusan.

“Budi bicara mutlak adalah di tangan Seri Paduka untuk tentukan bagaimanakah atau bilakah jawapan diberi atau bilakah permohonan akan dilayan atau tidak,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Najib memfailkan permohonan pengampunan diraja pada 2 September 2022 selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan tersebut.

Mengulas lanjut, Haniff Khatri berkata, Kaedah 113 (1) di bawah Akta Penjara dalam masa sama mengatakan permohonan petisyen kedua cuma boleh difailkan atau boleh dibenarkan selepas tamat tempoh tiga tahun seseorang banduan tersebut menjalani hukuman di penjara.

“Maknanya, jika ada keputusan mengenai permohonan pertama Najib (yang difailkan pada) 2 September 2022 pada bila-bila masa ini (yang mana) menolak permohonan pengampunan tersebut, maka permohonan kedua cuma boleh dilayan dan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan selepas tempoh tiga tahun beliau mula menjalani hukuman iaitu pada 23 Ogos 2022.

“Jadi, permohonan kedua cuma akan dilayan selepas 23 Ogos 2025, walau apa sekali pun ada jawapan atau tidak kepada permohonan pertama dan kalau permohonan pertama ditolak,” katanya.

Jelas beliau, sekiranya ada permohonan lanjutan untuk pengampunan iaitu permohonan ketiga, maka permohonan itu di bawah kaedah yang sama, cuma akan dilayan dua tahun selepas tempoh layanan kepada permohonan kedua.

Katanya, tempoh dua tahun itu menjadikan ia adalah lima tahun selepas Najib menjalani hukuman.

“Jadi permohonan ketiga akan cuma dilayan jika ada pada atau selepas 23 Ogos 2028, begitu juga mana-mana permohonan selanjutnya adalah untuk tempoh dua tahun tambahan selepas menjalani hukuman,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Peguam Negara mempunyai peranan yang besar dalam memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya Seri Paduka mahu mempertimbangkan permohonan Najib melalui Lembaga Pengampunan.

Katanya, ini kerana Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas keahlian Peguam Negara dalam lembaga tersebut, selain pelantikan ahli yang lain menurut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Sekiranya Peguam Negara memberi pendapat secara bertulis, maka pihak lembaga wajib menimbang dan memberi perhatian pandangan beliau.

“Peguam Negara berperanan besar oleh kerana beliau adalah penasihat dan nasihatnya itu mesti berasas kepada undang-undang dan kebijaksanaannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-