Monday, April 3, 2023

Penyokong Najib makin tak puas hati dengan Zahid, PM, dakwa Shahril, KJ

freemalaysiatoday.com
Reshna Reem Ganesan 
- 03 Apr 2023, 7:15pm

Situasi itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib Razak menyemak sabitan dan hukuman dalam kes SRC International.
Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin berkata, perasaan tidak puas hati semakin meningkat dalam Umno terhadap presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Perasaan tidak puas hati dikatakan semakin meningkat dalam Umno terhadap presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dakwa Shahril Hamdan dan Khairy Jamaluddin.

Dua bekas pemimpin Umno itu, berkata keadaan itu berlaku susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak, menyemak semula sabitan dan hukuman dalam kes rasuah SRC International.

Dalam program “Keluar Sekejap” bersama Khairy, Shahril berkata, ada implikasi politik pada Zahid dan kerajaan perpaduan diterajui Anwar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Kedua-dua pihak (Pakatan Harapan atau Umno) tidak mengakui perkara ini, tetapi satu perkara yang buat Umno sedia bersama dengan PH adalah dengan harapan Najib dibebaskan.

“Bagaimanapun, saya melihat pertikaian dan serangan terhadap Zahid serta (Anwar) dalam forum atau kumpulan menyokong Najib. Di sinilah ia bermula. Memang ada perbincangan antara ahli Umno dan akar umbi (tidak bersetuju).

“Sekiranya situasi itu tidak ditangani pemimpin Umno, saya percaya ia boleh memberi ancaman kepada kepimpinan parti dan gabungan politik dengan PH,” kata Shahril.

Shahril adalah bekas ketua penerangan Umno yang digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy dipecat Umno turut bersetuju dengan Shahril, dan menyatakan, ada tindak balas kuat dalam kalangan penyokong Najib terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

“Kenyataan Zahid yang bagi saya jawapan munasabah untuk timbalan perdana menteri berkata, bahawa beliau akur dengan keputusan mahkamah. Ia mencetuskan reaksi sebahagian pihak,” katanya.

Bagaimanapun, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, Zahid seorang ahli “politik yang sempurna” yang mampu menguruskan sebarang ketidakpuashatian dalam parti.

Najib disabitkan pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Beliau mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya, diikuti Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya dengan keputusan majoriti 4-1. Dengan keputusan itu, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara malainkan mendapat pengampunan diraja.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-