Diterbitkan: Apr 15, 2023
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan boleh runtuh sekiranya bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan diraja.
Menjelaskan pendapatnya itu, Lim melihat masalah yang dihadapi oleh kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim lebih kepada bersifat dalaman daripada luaran.
"Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa Umno hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.
"Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sekarang tidak akan menguntungkan Umno sama sekali sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan kerajaan perpaduan Anwar,” kata Lim pada satu kenyataan hari ini.
Minggu lalu, majlis kerja tertinggi Umno sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas rasuah berhubung kes SRC International.
Umno juga akan menghantar memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu kepada Seri Paduka baginda.
Mengulas lanjut, Lim berkata satu-satunya cara untuk Umno mengembalikan semula “zaman kegemilangan” itu adalah dengan menerajui penetapan semula negara.
"Saya telah mengatakan bahawa peluang kerajaan perpaduan Anwar untuk bertahan selama lima tahun penuh adalah positif, tetapi ia tidak boleh merosakkan diri sendiri dengan melaksana dasar yang bertentangan dengan nilai teras dan prinsip asas untuk membina negara bangsa Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang disokong oleh empat presiden Umno yang terawal, seperti usaha untuk memerangi rasuah dan mengembalikan badan kehakiman yang bebas," katanya lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said baru-baru ini juga berkata proses pengampunan untuk Najib kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mendakwa bahawa kerajaan akan berdepan masalah besar jika Najib diberi pengampunan diraja.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.