Diterbitkan: May 15, 2023 11:40 AM
Bekas pemimpin kanan Umno seakan melihat ada isyarat yang terpapar dari ibu pejabat parti itu apabila pelbagai pemimpin politik berkampung di situ petang semalam.
Menurut Annuar Musa, program yang dikenali sebagai Konvensyen Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya akan membawa malapetaka kepada Umno.
Dia yang dipecat Umno tahun lalu berkata, apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu memberi kesan kepada semangat juang anggota parti terbabit.
Suasana itu, kata bekas setiausaha agung BN berkenaan, sangat berbeza daripada pertemuan di antara ahli serta pemimpin Umno dengan PAS pada 2019.
“Kehadiran ribuan penyokong Umno dan PAS di WTCKL pada Sept 2019 telah menyemarakkan semangat jutaan rakyat sehingga Umno meraih kemenangan dalam siri-siri pilihan raya kecil (PRK) dengan cemerlangnya," kata Annuar.
Menganggap konvensyen semalam dihadiri "puak sosialis" dan "liberal" bekas ahli parlimen Ketereh itu menjangkakan Umno akan menerima kesan buruk selepas ini.
“Kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke WTCKL hari ini (semalam) akan mendorong jutaan rakyat, termasuk ahli Umno, meninggalkan Umno.
"Umno bakal ditolak rakyat dalam pilihan raya negeri dan PRU akan datang, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook, malam tadi.
Hantaran tersebut dibuat beberapa jam selepas semua parti yang bekerjasama dalam kerajaan sekarang menghadiri konvensyen pertama seumpamanya yang diadakan sejak PRU ke-15 lalu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan wakil dari gabungan parti di Sabah serta Sarawak menghadirinya.
Untuk rekod Umno-BN selama ini menjadi musuh politik kepada PH yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
Semasa mengambil giliran berucap, Loke sendiri mengakui dia berasa "gugup" untuk berucap di situ.
Annuar tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Ketereh pada PRU lalu selepas dilihat tidak menyebelahi sikap Ahmad Zahid. Sebaliknya dia lebih cenderung untuk menjalinkan hubungan baik dengan PN.
Dia dipecat dari parti pada Disember lalu.
Terdahulu pada awal bulan ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata Annuar telah menyatakan minat untuk menyertai PAS.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.