Saturday, June 10, 2023

Akar umbi masih kekok dengan DAP, rindu zaman Najib

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
10 Jun 2023

Ahli Umno yang ditemui mengakui rasa janggal ketika menyesuaikan diri dengan parti komponen PH.
Ahli Umno bahagian akui besar harapan akar umbi untuk melihat parti kembali mentadbir tanpa perlu bersama PH. (Dari kiri: Roshidan Sani, Asma Ishak, Daharah Bakar, dan Fauziah Abdul Rahman)

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli akar umbi Umno mengakui masih kekok dan belum menerima sepenuhnya kerjasama dengan Pakatan Harapan, terutama DAP, meskipun selepas enam bulan bersama dalam kerajaan perpaduan.

Setiausaha Umno Bukit Bendera, Asma Ishak, 65, akui berasa janggal ketika menyesuaikan diri dengan parti komponen PH.

“Ya mula-mula kita rasa kekok tapi cuba buka hati. Memang rasa lain macam tapi bila kita dah mula bekerja sama, kita cuba juga sesuaikan diri dengan mereka,” katanya ketika ditemui FMT di perhimpunan agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

“Kalau nak 100% terima kerjasama dengan PH, terutama dengan DAP, rasa macam belum boleh lagi.”

Ketua Penerangan Umno Bukit Bendera, Roshidan Sani, 60, pula memberitahu besar harapan akar umbi untuk melihat Umno kembali mentadbir tanpa perlu bersama PH.

“Kita bersama pun sebab nak tubuh kerajaan seiring titah Yang di-Pertuan Agong, kalau tidak, sebenarnya kita dah terima hakikat kalau Umno jadi pembangkang,” katanya.

Ditanya berkenaan suasana PAU 2023 kali ini, Daharah Bakar, 58, yang bersama Umno sejak 30 tahun lalu, berkata perhimpunan kali ini ternyata suram tanpa kehadiran bekas presiden, Najib Razak.

Beliau berkata kehadiran ahli tidak sebanyak tahun-tahun sebelum ini, yang beliau percaya kerana kemampuan kewangan ahli-ahli Umno di luar Selangor.

“Rindu zaman Najib! Kalau masa ada beliau penuh pemerhati, nak jalan pun susah,” katanya. “Dulu masa zaman Najib banyak peruntukan, dapat bas, hotel semua disediakan. Sekarang ini kami guna dana sendiri.”

“Jadi harapnya akan datang sekurang-kurang boleh disediakan bas untuk setiap bahagian,” tambahnya.

PAU 2023 yang diadakan selama empat hari bermula Rabu lalu, dihadiri seramai 6,341 perwakilan, turut membabitkan 1,159 orang daripada sayap Wanita, Pemuda (1,160) dan Puteri (1,134).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-