Saturday, June 10, 2023

'Nasib Umno tak seteruk ini jika pihak Putrajaya ikut keputusan bersama'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 10, 2023
Masa yang tepat, kata seorang pemimpin kanan Umno, adalah faktor yang penting dalam politik bagi membolehkan parti itu mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan memberi bayangan nasib Umno mungkin tidak seteruk sekarang jika "pihak Putrajaya" patuh kepada kehendak parti supaya PRU diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) di Melaka serta Johor diadakan.

Ia dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan ketika itu, diketuai Ismail Sabri Yaakob.

Ketika itu dia menjadi seorang daripada naib presiden Umno.

Pembubaran parlimen untuk PRU ke-15 juga, tambah Ahmad, boleh dilakukan ketika bekas pemimpin parti itu, Najib Razak, belum dipenjarakan.
Ahmad berkata demikian sebagai reaksinya terhadap bekas Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman. Bekas ahli parlimen Pasir Salak itu kini menjalani hukuman gantung keanggotaannya dari parti itu selama enam tahun.

Malaysiakini semalam melaporkan Tajuddin meletakkan kesalahan kepada Ahmad atas kegagalan Umno mencapai kemenangan besar dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu.

Ahmad merupakan setiausaha agung Umno pada ketika itu.

Menurut Tajuddin Ahmad tidak memberi nasihat yang wajar kepada presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya hanya mendengar pandangan segelintir orang "di sekelilingnya" saja.

Yang lepas jadikan kenangan

Menjelaskan hal itu, kata Ahmad, sebagai setiausaha agung tugasnya adalah melaksanakan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat parti

Menurut ahli parlimen Pontian itu, berada di atas organisasi Umno ialah lima pemimpin tertinggi (Top 5), diikuti 21 anggota biro politik dan kemudian 56 ahli MKT.

"Ada keputusan penting (daripada badan tersebut) tapi tak dapat dilaksana.

"Contohnya PRU ke-15 sepatut perlu seawal mungkin, sebaiknya (dibuat) selepas PRN Melaka dan PRN Johor," katanya di Twitter.

Ahmad yang kini dilantik sebagai timbalan menteri kewangan menjelaskan, "pihak Putrajaya" gagal mengikut keputusan bersama yang dibuat Umno.

"Jika pihak Putrajaya ikut keputusan bersama ketika gelombang kemenangan Melaka 21/28 & Johor 40/56, semangat masih tinggi, ketika #BossKu masih di luar, (lalu) adakan PRU ke-15, maka nasib Umno/BN tidak seteruk ini.

"Timing sangat penting dalam politik. Yang lepas jadikan ingatan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-