Saturday, June 10, 2023

Pandangan simplistik seperti Ahmad Maslan punca BN kalah - Ismail

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 10, 2023 6:05 PM
Menjawab kritikan Ahmad Maslan, bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu disebabkan Umno membuat andaian mengenai sokongan kepada parti itu tanpa berasaskan kajian komprehensif dan fakta.

Ismail yang juga bekas naib presiden Umno mempersoalkan unjuran Umno ketika itu bahawa BN boleh menang melebihi 112 kerusi.

"Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas setiausaha agung Umno, Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan BN kalah dalam PRU15.

"Unjuran Umno pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo. Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.

"Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ahmad yang juga ahli majlis kerja tertinggi (MKT) berkata, masa yang tepat adalah faktor yang penting dalam politik bagi membolehkan parti itu mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

Ahmad memberi bayangan nasib Umno mungkin tidak seteruk sekarang jika "pihak Putrajaya" patuh kepada kehendak parti supaya PRU diadakan tidak lama selepas pilihan raya negeri (PRN) di Melaka serta Johor diadakan.

Ia dipercayai merujuk kepada sekumpulan pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan ketika itu, diketuai Ismail Sabri.

Ismail Sabri ketika itu menjadi salah seorang daripada naib presiden Umno.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, sebagai perdana menteri pada ketika itu dia mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.

Katanya, PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU kerana keadaan politik negara amat dinamik.

"PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.

"Inilah punca sebenar kekekalahan BN kerana mempunyai bekas setiausaha agung Umno yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-