Thursday, June 22, 2023

PM nafi Zahid bercuti, tapi Saifuddin mengesahkan

wartarakyat.com.my
By Wartawan WartaRakyat
-June 22, 2023

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sedang bercuti dua minggu.

Setiausaha Agung Parti Keadilan (PKR) itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui Zahid tidak lama lagi bagi memuktamadkan rundingan beberapa kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN di enam negeri.

“(Mereka akan berjumpa) apabila Zahid pulang dari cutinya. Zahid sedang bercuti,” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam, lapor FMT.

Saifuddin turut mengesahkan Zahid bercuti dua minggu dan pengerusi BN itu dijangka pulang ke tanah air dalam masa beberapa hari lagi.

Minggu lalu, Anwar menafikan khabar angin Zahid bercuti selama dua minggu.

Saifuddin berkata, rundingan agihan kerusi dengan BN mudah, tidak seperti rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Pas dahulu.

Katanya, beliau menganggotai jawatankuasa PKR untuk rundingan agihan kerusi bagi PRU sejak 1999 dan proses itu lebih rumit dahulu.

Beliau berkata, mudah berurusan dengan UMNO kerana pemimpin BN lebih bersikap terbuka berbanding Pas yang cenderung membuat ‘kejutan’ apabila rundingan dianggap sudah selesai.

“Perkara paling penting ialah sebaik anda bersetuju dengan sesuatu, jangan jadi pengkhianat. Dalam sejarah kita dengan Pas, mereka telah mengkhianati kita.

“(Pada PRU 2013) kita tewas di kerusi DUN Kota Damansara. Calon kami kalah kerana Pas memutuskan untuk meletakkan calon dan UMNO menang,” katanya merujuk PKR, Pas dan DAP menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, hubungan dengan parti Islam itu jauh lebih baik ketika ia diterajui pemimpin seperti Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Fadzil Noor dan Datuk Haron Din.

Saifuddin berkata, Pas yang diketuai Tan SriAbdul Hadi Awang bukan parti dikenalinya kerana pemimpinnya mengambil laluan agama dan menyamakan perbezaan politik dengan pertikaian agama.

Katanya, lebih baik Perikatan Nasional berkempen menentang kerajaan berdasarkan dasar dan program berbanding menggunakan royalti, kaum atau agama (3R).

Tetapi, beliau menjangkakan isu 3R akan dimainkan pembangkang khasnya menjelang PRN di enam negeri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-