Thursday, July 6, 2023

Annuar cabar Zahid berdebat, dakwa UMNO kini jadi peminta sedekah kerusi

agendaily.com
06/07/2023
Annuar mencabar Zahid untuk berdebat.
Cabaran dilontar Tan Sri Annuar Musa kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat bagi melihat siapa sebenarnya pengkhianat orang Melayu dan Islam.

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat Zahid sebelum ini, mendakwa pengkhianat orang Melayu sebenar adalah Timbalan Perdana Menteri tersebut yang mengorbankan prinsip demi jawatan untuk bekerjasama dengan DAP.

“Hamba menawarkan diri buat pentas letak Zahid situ letak hamba situ, mari kita berdepan dengan rakyat menceritakan apa yang sebenarnya berlaku.

“Yang merosakkan perjuangan politik orang Melayu dan Islam hari ini adalah Zahid dan bukannya pemimpin-pemimpin PAS,” katanya semasa berucap di ceramah Pakat Pertahan di Bachok malam tadi.

Dalam ucapannya lagi, bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata langkah Zahid bersama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk jajaran baharu bersama DAP sudah bermula sejak 2020 lagi.

“Strategi jajaran baharu, daripada tahun 2020 sampai sekarang ini saya nak beritahu kepada sahabat ambo dalam UMNO.

“UMNO hari ini sudah tidak UMNO dulu, UMNO dulu yang berdiri tegak berdiri bebas atas kaki sendiri, UMNO hari ini adalah menjadi barua kepada Anwar dan barua kepada DAP,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, UMNO kini dibawah penguasaan Zahid sudah semakin lemah dan terpaksa tunduk kepada abang besar iaitu DAP yang lebih berkuasa dalam kerajaan campuran.

“Tak malu muka lagi kita nak duduk dalam UMNO, dulu UMNO adalah parti yang menentukan kerusi bagi semua pihak…

“Abang besar (UMNO), hari ini UMNO adalah parti peminta sedekah, nak bertanding di Selangor dan Negeri Sembilan nak kena minta sedekah kerusi.

“Dan sudah tentulah abang besar adalah PH, dia tidak akan bagi cukup kerusi… Kerusi-kerusi kawasan undi bukan Melayu dia tak berani ambil dari DAP, akhirnya hari ini UMNO bukan sahaja menjadi parti yang hilang wibawa tetapi Barisan Nasional (BN) itu sendiri sudah tidak ada nilai,” ujarnya.

Bagi menguatkan lagi hujah UMNO-BN kini sudah lemah dan sekadar menjadi pak turut, Annuar berkata keputusan MIC dan MCA tidak meletak calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah bukti yang jelas menunjukkan bekas partinya itu bukan lagi kuat seperti sebelum ini.

“Hari ini tengok MCA umum tak pernah berlaku dalam sejarah, enam negeri pilihan raya MCA tidak akan letak calon seorang pun, petang tadi MIC pula buat pengumuman enam negeri pilihan raya, MIC tidak akan letak calon seorang pun.

“MIC dan MCA tidak lagi bersama dengan semangat Barisan Nasional kerana sudah dibunuh Zahid Hamidi kerana mahu jadi kuli kepada DAP,” katanya lagi.

Annuar menasihati ahli-ahli UMNO agar tidak memangkah UMNO pada PRN di enam negeri kali ini kerana setiap satu undi hanya akan menguatkan lagi DAP dalam kerajaan campuran.

“Maka pesanan hamba kepada sahabat-sahabat dalam UMNO, jangan melabur saham untuk memperkuatkan DAP, jangan cuba melabur dengan sokong UMNO erti akan tegap dan kukuh lagi kedudukan DAP.

“Kalau sayang kepada agama, bangsa dan negara, duduk dalam UMNO undi kena bersatu dengan Perikatan Nasional pada pilihan raya ini,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-