Thursday, July 20, 2023

Kes REE: SPRM akan panggil Sanusi, kata Azam

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
20 Jul 2023

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya ketika ini sudah merakam keterangan 12 saksi berhubung kes tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata SPRM juga sedang mengesan beberapa individu dari China yang dipercayai membuat pelaburan dalam perlombongan REE itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya ketika ini sudah merakam keterangan 12 saksi berhubung kes tersebut.

Katanya, Sanusi akan dipanggil berhubung satu surat tular berkaitan perlombongan haram yang ditandatangani oleh beliau.

“Antara yang kita akan tanya perkara itulah, sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah dan jika tidak betul beliau kena nyatakan.

“Bila Sanusi akan dipanggil, kita belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya lapor Harian Metro.

Azam berkata demikian kepada wartawan selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di Kuala Nerus di Terengganu.

Menurutnya, SPRM juga sedang mengesan beberapa individu dari China yang dipercayai membuat pelaburan dalam perlombongan REE itu.

Semalam, SPRM menahan reman seorang pegawai kanan di Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita yang juga pengarah syarikat bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa berkait aktiviti perlombongan REE di Kedah berjumlah lebih RM13 juta.

Suspek yang berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara, direman tiga hari bermula semalam hingga 21 Julai ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-