Sunday, July 16, 2023

PRN Negeri Sembilan: Parti Amanah enggan lepas kerusi DUN Lenggeng kepada UMNO

agendaily.com
16/07/2023
Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng tidak akan diberikan kepada UMNO, kata Parti Amanah Negeri Sembilan.

Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman menegaskan kerusi DUN Lenggeng yang dimenangi mereka sebelum ini tidak akan dilepaskan kepada UMNO kerana sudah bersetuju secara prinsip pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

Menurutnya, jika ada perubahan sekali pun ia semestinya diputuskan dalam Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan dan kemudian akan dimaklumkan kepada ketua setiap parti.

“Jadi buat masa ini kita tetap dengan pendirian yang Amanah akan bertanding kerusi DUN Lenggeng kerana secara prinsipnya semua parti telah bersetuju pembahagian kerusi dibuat secara status quo.

“Saya pun dah rujuk dengan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan beliau turut mengesahkan yang Amanah Negeri Sembilan akan bertanding mempertahankan tiga kerusi yang kita menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu DUN Lenggeng, Kuala Klawang dan Paroi,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Selain itu, beliau juga berkata Parti Amanah juga akan menamakan calon di tiga DUN berkenaan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kesal dengan pengumuman yang dibuat Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuat keputusan memberikan kerusi itu kepada UMNO.

“Bagi saya itu kenyataan provokasi dan boleh mengundang persepsi tidak baik terhadap PH dan BN yang seolah-olah menunjukkan kita berpecah-belah. Semestinya ia akan diambil kesempatan oleh pihak lawan.

“Selagi bukan Perdana Menteri yang umumkan, saya tidak akan percaya yang kerusi Lenggeng diberi kepada UMNO,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-