Saturday, July 1, 2023

UMNO berada dalam kegelapan selama-lamanya: KJ

agendaily.com
01/07/2023
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin hanya akan pulang kepada UMNO sekiranya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan lagi presiden parti.

Keadaan UMNO sekarang diibaratkan berada dalam kegelapan selama-lamanya, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu memberi reaksi terhadap kedudukan parti yang disertainya sebelum ini sudah berubah sekarang, namun melihatkan kepada keadaan semasa beliau melihat sukar untuk melihat parti itu bangkit semula selepas ini.

“Saya tak tahu mengenainya (peluang cerah jika menunggu memasuki semula UMNO atau menyertai Perikatan Nasional (PN), tetapi saya rasa UMNO sudah tergelincir daripada perjuangan asal.

“Saya tak pasti (UMNO) dapat pulih daripada (keadaan) ini. Sudah pasti itu parti dekat di hati kerana saya bersamanya lebih daripada 20 tahun, tetapi saya percaya parti itu berada dalam kegelapan selama-lamanya,” katanya dipetik laporan BH hari ini.

Beliau berkata demikian ketika hadir program Future Leaders Empowerment Series (FLES) di UCSI University.

Pada Januari lalu, Khairy yang juga sebelum ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, dipecat keahliannya daripada UMNO.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy juga sebelum ini menerima tawaran daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun belum memuktamadkan sebarang keputusannya.

Walaupun tidak menyertai Bersatu secara sah, namun Khairy memberi isyarat jelas akan membantu jentera PN pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Khairy hanya menjawab perkara itu sudah dijawab sebelum ini.

“Saya sudah bercakap mengenainya sebelum ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Kesihatan itu dilaporkan tidak akan menubuhkan parti baharu atau menyertai Bersatu buat sementara waktu dan juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri.

Sementara itu, Khairy hanya mengatakan beliau akan melihat terlebih dulu ketika ditanya mengenai kemungkinannya bersara daripada dunia politik.

“Tunggu dan lihat,” katanya ringkas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-