Wednesday, August 30, 2023

Gelombang rakyat kembalikan PH-BN jadi pembangkang?

harakahdaily.com
30/08/2023

PH-BN seharusnya bermuhasabah dan menyerah kalah
KUALA LUMPUR: PRK yang berlaku pasca-PRU15 dan PRN enam negeri sangat penting untuk dilihat kelangsungan gelombang rakyat terhadap penolakan politik korupsi, ekstrem DAP dan kakistokrasi.

Ketua Penerangan PAS, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, PRK ini akan menjadi mesej rakyat kepada isu yang berlegar kepada pemimpin dan parti pemerintah kerana dilihat gagal dan tidak boleh memimpin negara.

“Jadi ini akan dilihat sebagai gelombang bukan sekadar orang Melayu, tetapi juga gelombang kaum bukan-Melayu. Kerana PRN baru-baru ini telah berlakunya kenaikan pengundi bukan-Melayu kepada Perikatan Nasional (PN). Itu boleh tengok dari analisa yang ada.

“Dan gelombang ini terus bergerak sehinggakan PN telah menafikan dua pertiga majoriti di Selangor dan mempunyai jumlah pembangkang yang berkaliber dan kuantiti yang ramai khususnya di Pulau Pinang dan juga di Negeri Sembilan.

“Jadi ia bukan sekadar kemenangan 3-0 tetapi sebenarnya, secara hakikatnya, ia kemenangan keenam-enam buah negeri kerana kebangkitan gelombang rakyat tersebut,” ujarnya.

Menurut beliau, demografi pengundi di PRK P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram secara di atas kertas mungkin satu cabaran buat PN, tetapi pengundilah akan menjadi penentu akhir kepada sokongan.

Katanya, Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mungkin akan mendabik dada kononnya rakyat menyokong mereka jika menang, walaupun telah kalah teruk dari PRN enam negeri baru-baru ini.

Tetapi ujar beliau, ‘keajaiban’ boleh berlaku dengan gelombang yang ada pada hari ini walaupun sepertimana sedia dimaklumi bahawa peratusan PRK sering kali sedikit berbanding PRU atau PRN.

“Jadi peratusan pengundi mungkin kurang, tetapi kita sudah dapat dari PRU dan PRN baru-baru ini yang mengesahkan bahawa majoriti rakyat negara ini iaitu kaum Melayu sama sekali tidak bersetuju dengan PH-BN.

“Jadi wajar dalam keadaan sekarang ini Kerajaan PH-BN bermuhasabah hatta mengangkat tangan ‘surrender’ terhadap sikap mereka yang tidak adil kepada kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah PN.

“Termasuk juga ketidakadilan mereka terhadap Ahli-ahli Parlimen pembangkang. Lebih bagus sekiranya berikan mandat pemilihan Perdana Menteri kepada Ahli-ahli Parlimen. Kalau berlaku pun perubahan kerajaan ia masih dalam bentuk demokrasi berparlimen.

“Ia tidak boleh dikatakan sebagai ketidakstabilan politik kerana telah dibuktikan apabila PH yang memerintah 22 bulan digantikan PN di mana mengambil alih dengan jayanya mengurus negara walau ketika itu seluruh dunia menghadapi pandemik COVID-19.

“Barangkali itulah formula yang sepatutnya untuk mencari kestabilan politik di mana PH perlu kembali ke kerusi pembangkang dan PN pula diangkat sebagai kerajaan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-