Wednesday, August 30, 2023

Adakah PAS cuba bawa agenda ‘pecah dan perintah’, soal Khairuddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
- 30 Aug 2023

Khairuddin Aman Razali mempersoalkan PAS di sebalik kesediaannya bekerjasama semula dengan Umno dengan syarat tidak melibatkan mereka yang berpakat dengan DAP.
Khairuddin Aman Razali mengingatkan PAS bahawa kerjasama politik antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan diputuskan Majlis Kerja Tertinggi Umno, bukannya keputusan individu.

PETALING JAYA: Setiausaha Majlis Ulama Umno, Khairuddin Aman Razali mempersoalkan sama ada PAS cuba membawa agenda “pecah dan perintah” dalam kalangan pemimpin parti itu di sebalik kesediaannya hanya bekerjasama semula dengan individu tidak berpakat dengan DAP.

Beliau turut mengingatkan PAS bahawa kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, bukannya keputusan individu.

“Keputusan kerjasama dengan mana-mana parti juga mesti keputusan parti, bukannya individu. Adakah PAS mahu bermain dengan agenda pecah perintah di kalangan pemimpin Umno, sebagaimana PAS lakukan di akhir-akhir berkerajaan bersama di peringkat persekutuan sebelum ini?

“Syarat kerjasama politik hendaklah dengan niat ikhlas menyatukan umat dan bekerjasama atas dasar kebajikan. Jangan dengan niat terselindung memecahkan parti rakan kerjasama,” kata bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu dalam kenyataan.

Khairuddin mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kesediaan parti Islam itu bekerjasama dengan Umno semula, dengan syarat tidak melibatkan pemimpin berpakat dengan DAP.

Tuan Ibrahim berkata, PAS percaya sebahagian besar ahli Umno masih sayangkan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 2019, selepas BN gagal mempertahankan Putrajaya pada PRU14.

Kenyataan itu menyusul saranan veteran Umno, Tajuddin Abdul Rahman yang mahu kedua-dua parti menghidupkan semua MN demi memperjuangkan agenda orang Melayu.

Khairuddin berkata, hasrat hanya mahu bekerjasama dengan pemimpin tertentu tidak ubah seperti ketika DAP memutuskan kerjasama dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, di mana ia ditentang keras oleh pemimpin parti.

“Ini juga mengingatkan kita dengan apa yang pernah DAP sebut dulu untuk bekerjasama dengan PAS saja, tetapi tidak dengan presiden PAS. Ketika itu, pemimpin PAS bermatian mengecam DAP.

“Nampaknya hari ini mereka (PAS) pula membuat perkara sama. Tapi biasalah, sesuatu yang haram bagi orang lain akan jadi halal jika PAS melakukannya.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-