Shakira Buang
Diterbitkan: Aug 30, 2023 7:35 PM
PRK JOHOR | Belum ada petanda yang jelas menunjukkan calon kerajaan peraduan, Nazri Abdul Rahman, berada dalam keadaan selamat untuk mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram.
Adun Bentayan, Ng Yak Howe, berkata ketika ini peluang kedua-dua calon dilihat seimbang walaupun kerusi itu sebelum ini diwakili bekas menteri, Salahuddin Ayub.
“Setakat ini kami dapati peluang untuk menang masih lagi 50-50, keadaan masih agak mencabar lagi dan belum nampak lagi calon kerajaan sedang mendahului,” katanya kepada pemberita selepas program Kopitam Talk di Taman Sakeh Baru, hari ini.
Terdahulu Ng bersama Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, Khoo Poay Tiong (Kota Melaka), dan Chew Chong Sin (Adun Mengkibol) hadir dalam program itu bagi memperkenalkan Nazri sebagai calon kepada masyarakat dan pengundi Cina setempat.
Bentayan merupakan satu daripada tiga kawasan DUN yang terletak di bawah parlimen Bakri. Dua lagi DUN bagi kawasan sama ialah Simpang Jeram dan Bukit Naning.
Ng Yak Howe
Dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 20 Jan tahun lalu Salahuddin mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram dengan kelebihan 2,399 undi.Ng pula mengekalkan kemenangannya di Bentayan dengan perbezaan 7,476 undi, manakala calon Umno, Mohd Fuad Tukirin mengambil alih kerusi DUN Bukit Naning daripada PH dengan majoriti 1,535 undi.
Ng berkata kemenangan Nazri pada 9 Sept ini banyak bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar untuk menyertai PRK nanti, selain sokongan yang dapat diberikan pengundi Umno.
“Undi daripada penyokong Umno-BN juga merupakan penentu yang penting dalam PRK ini,” katanya.
Nazri berdepan saingan tiga penjuru iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya yang mewakili PN dan juga ahli perniagaan S Jeganathan selaku calon bebas.
Pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar di Simpang Jeram, diikuti dengan Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).
Ng juga berkata setakat ini respon pengundi Cina terhadap Nazri adalah positif, namun ada kebimbangan apabila masih ramai daripada komuniti terbabit tidak tahu yang mereka merupakan pengundi di DUN Simpang Jeram.
“Sebab itu sekarang kami mengadakan kaunter bergerak di tempat-tempat orang ramai untuk bantu mereka buat semakan, dan berharap mereka keluar mengundi pada 9 Sept ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.