Wednesday, August 30, 2023

Hanya PAS boleh selamat hayat politik Zahid, kata Sanusi

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif 
- 30 Aug 2023

Sanusi Nor berkata PAS mempunyai kedudukan sebagai ‘king maker’ yang berperanan penting dalam kelangsungan gerakan politik negara ketika ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, berkata Zahid Hamidi juga harus sedar Umno mengalami krisis bawah pimpinannya.

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi hanya boleh menyelamatkan kerjaya politiknya jika beliau bekerjasama dengan PAS, kata Menteri Besar Kedah Sanusi Nor.

“Kalau Zahid nak buat apa-apa pun, kalau tidak melibatkan PAS, (beliau) tidak akan berjaya menyambung hayat politik beliau,” kata Sanusi yang pengarah pilihan raya PAS.

Beliau juga membayangkan apa jua gerakan politik tidak akan berjaya sekiranya PAS dipinggirkan.

“Saya rasa kalau tidak melibatkan PAS secara serius ia tidak akan ke mana-mana. Semua gerakan politik di negara hari ini mesti melibatkan PAS, (sebagai) ‘king maker’,” katanya.

Sanusi berkata, Zahid juga harus sedar bahawa Umno mengalami krisis kerana berada di bawah kepimpinannya.

“Dia (Zahid) sedang ‘nazak’. Umno mengalami krisis di bawah Zahid saya harap beliau sedarlah perkara itu,” katanya mengulas pendirian Zahid mengenai agenda penyatuan ummah bersama PAS.

Semalam, Zahid berkata Umno tidak berhasrat untuk menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan PAS atau pemimpin yang bermuslihat.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan, kerana penuh dengan muslihat.

“Mana-mana pemimpin dan parti yang sangat bermuslihat, saya tidak fikir kita (Umno) harus ‘revisit’ hubungan itu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan Umno sekali lagi menerusi platform Muafakat Nasional (MN) bagaimanapun tidak mahu ia melibatkan pemimpin Umno yang berpakat dengan DAP.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga percaya sebahagian besar dalaman Umno masih sayangkan MN yang digagaskan pada 2019, seperti mana pihaknya dalam Perikatan Nasional mahukan penyatuan bersama semua parti Melayu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-