Friday, August 11, 2023

Mahkamah tolak rayuan Najib singkir dua peguam Tommy Thomas

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 11, 2023 

Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk melucutkan kelayakan firma guaman Tetuan Tommy Thomas daripada mewakili Tommy Thomas, dalam perbicaraan saman RM1.9 juta dikemukakan bekas perdana menteri itu terhadap bekas Peguam Negara terbabit.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Najib yang sebelum ini menyaman Thomas atas tuduhan melakukan pendakwaan berniat jahat terhadapnya dalam kes 1MDB.

Hanipah memutuskan bahawa panel hakim mendapati tiada kaitan antara dua peguam daripada firma berkenaan dengan tindakan undang-undang yang diambil terhadap Najib.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk melucutkan kelayakan firma terbabit.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Tommy membatalkan saman tersebut tanpa meritnya didengar dalam perbicaraan penuh.

Najib merayu kepada Mahkamah Rayuan berhubung keputusan berkenaan. Keputusan hari ini adalah mengenai isu kelayakan firma guaman yang didakwa tidak dapat bertindak secara profesional ketika mewakili Thomas.

Semasa prosiding di mahkamah pagi ini, Hanipah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya berhubung profesionalisme dua peguam firma itu, Alan Adrian Gomez dan Mervyn Lai Wei Shiung.

"Kedua-dua peguam itu boleh mengekalkan kebebasan profesional demi kepentingan keadilan," kata Hanipah bagi pihak dua lagi anggota panel hakim, Azimah Omar dan Azhahari Kamal Ramli.

Mahkamah juga mengarahkan Najib membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Thomas.

Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Najib, manakala Alan mewakili Thomas.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Bache memutuskan permohonan Najibadalah tidak wajar, terutamanya dalam undang-undang dan amalan biasa, di mana seseorang peguam seperti Thomas mempunyai hak untuk memilih peguam pilihannya sendiri.

Ahmad membenarkan permohonan Thomas membatalkan saman sivil Najib pada 25 Nov tahun lepas kerana tuntutan mahkamah itu ‘dipenuhi dengan isu politik yang tidak berkaitan”.

Dia menambah saman sivil itu juga tidak memperincikan mengenai dakwaan bekas peguam negara terlibat dalam pendakwaan salah.

Tuntutan Najib tertumpu kepada pendakwaan salah Thomas terhadapnya dalam empat kes jenayah.

Tiga daripada kes itu sedang berjalan di mahkamah iaitu kes rasuah melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB, kes pecah amanah (CBT) dalam International Petroleum Investment Company (IPIC) berjumlah RM6.6 bilion, dan kes pengubahan wang haram membabitkan SRC International sebanyak RM27 juta.

Kes keempat ialah kes audit 1MDB, yang mana Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah membenarkan Najib dibebaskan sepenuhnya.

Pihak pendakwaan, bagaimanapun, membawa ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut.

Saman sivil ini bagaimanapun, bukan berkenaan kes rasuah RM42 juta (kes berasingan dengan kes pengubahan wang haram RM27 juta SRC), yang mana Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-