Monday, August 7, 2023

Muhammad Faiz letak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU

bharian.com.my
Fahmy A Rosli
fahmy.azril@bh.com.my
MUHAMMAD Faiz Na'aman. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Dr Muhammad Faiz Na'aman hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU termasuk berhenti sebagai ahli parti itu.

Beliau turut mengutuskan surat kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mengenai keputusannya itu.

Dalam surat berkenaan, beliau menjelaskan bahawa keputusannya itu adalah secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

"Keputusan yang saya ambil ini itidak dipengaruhi oleh mana-mana pihaik, dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan serta hala tuju BERSATU.

"Saya ucapkan terima kasih atas segala peluang yang diberikan kepimpinan parti, selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini, sejak ia ditubuhkan pada 2016," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Dr Muhammad Faiz menjelaskan, pemberhentiannya sebagai ahli parti berkenaan dibuat secara berat hati memandangkan beliau antara orang muda terawal menyertai BERSATU.

Mengakui memainkan peranan secara aktif selain watak terhadap saf kepimpinan parti, beliau sedar jarang diberikan peluang serius untuk 'diperkasakan' sebagai pemimpin pelapis walaupun ketika itu, BERSATU memegang tampuk kekuasaan dalam kerajaan pusat sejak 2018 hingga 2021.

Beliau juga mendakwa, BERSATU sudah terpesong dari objektif awal penubuhannya yang kononnya untuk menggantikan UMNO, dengan memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu, terutama mempunyai latar belakang bersih, berkelulusan akademik, dihormati dan mereka yang setia dengan parti dari mula.

"Keputusan kepimpinan parti yang sering kali mengabaikan suara akar umbi, pengasas awal dan teguran jentera bawahan menyebabkan BERSATU mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

"Sejarah itu juga dilihat bakal berulang dalam PRN di enam negeri terutama untuk kerusi BERSATU dalam PRN Selangor sekarang.

"Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak kartel tertentu serta calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti, hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor telah menyebabkan terjadi pemberontakan lebih kurang sembilan bahagian BERSATU di Selangor," katanya.

Mengulas pemberontakan dalaman itu, beliau berkata, ia mengakibatkan insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan dan Saringan Calon yang bertanggungjawab terhadap penamaan calon PRN.

Dakwanya lagi, protes tercetus kerana jawatan kuasa berkenaan mengabaikan sentimen penerimaan pihak bahagian dan jentera di lapangan.

"Malah kelemahan Lembaga Disiplin parti yang lambat dan banyak kerenah telah menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, boleh kembali dan mendakwa dirinya masih ahli BERSATU untuk dipilih menjadi calon PN pada PRN ini.

"Justeru, tidak menghairankan jika BERSATU tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak muda serta orang baharu dalam politik, memandangkan kerapuhan sistem pengurusan keahlian, kedudukan MPT," katanya.

Pada PRU15, Dr Muhammad Faiz pernah bertanding mewakili PN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam pertembungan empat penjuru dengan penyandang kawasan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN), Datuk Seri

Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH) dan Tawfiq Ismail (BEBAS).

Bagaimanapun, beliau tewas di kerusi itu apabila hanya memperoleh 8,822 undi.

Disiarkan pada: Ogos 7, 2023 @ 12:34pm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-