Monday, August 7, 2023

Kerajaan BN-PH tetap utuh tak kira apa pun keputusan PRN: Tok Mat

ismaweb.net
Ainul Illia

Mahu Negeri Sembilan diwakili parti sama dengan pentadbiran Persekutuan
SEREMBAN, 20 Muharam 1445H, Isnin – Kerajaan Madani Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan akan kekal utuh tanpa mengira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan hakikat bahawa pentadbiran Persekutuan menguasai dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat membabitkan sokongan 148 Ahli Parlimen daripada 19 parti yang sealiran.

“Kerajaan Persekutuan sudah pun dibentuk (sebelum enam negeri pergi mengundi). Apa pun yang berlaku (keputusan pilihan raya negeri), ia tidak akan menjejaskan (kestabilan) kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat dibentuk dengan majoriti dua pertiga berikutan sokongan 148 Ahli Parlimen,” katanya ketika berdialog dengan penduduk kampung di Kampung Bemban.

Klip petikan dialog itu dikongsikan oleh pasukan jentera pilihan rayanya bagi kerusi DUN Rantau.

Walaupun keputusan pengundian tidak akan menjejaskan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, adalah lebih baik jika kerajaan Negeri Sembilan yang dibentuk selepas PRN diwakili parti yang sama dengan pentadbiran Persekutuan.

“Contohnya di Negeri Sembilan, negeri kita kecil dan hasil kita tidak seberapa (berbanding negeri kuasa ekonomi lain).

“Jika kita tidak bersama pentadbiran persekutuan (jika negeri ditadbir parti lawan), negeri tidak mungkin menikmati limpahan daripada program pembangunan (yang dilaksanakan di peringkat nasional).

“Untuk memberi gambaran kepada anda semua, ia akan menelan belanja RM300 juta untuk membina hospital berbanding hasil yang dijana negeri setiap tahun iaitu RM430 juta. Sebab itu ada negeri yang ditadbir parti yang sama selama 33 tahun.. tetapi negeri ini menghadapi masalah berkaitan bekalan air,” kata Mohamad.

Walaupun tidak menamakan negeri itu, difahamkan beliau merujuk kepada Kelantan yang turut terlibat dalam pilihan raya.

Selain Negeri Sembilan dan Kelantan, pilihan raya negeri itu turut melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-