Tuesday, August 8, 2023

Peguam persoal sikap berdiam diri peguam negara berhubung pengguguran ketua pendakwa kes Zahid

malaysianow.com
Staff Writers
Ogos 8, 2023 11:45

Rafique Rashid berkata penjelasan mesti diberikan segera.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 1 Ogos. Gambar: Bernama

Seorang peguam menggesa Peguam Negara Idrus Harun menjelaskan laporan berhubung ketua pendakwa raya dalam perbicaraan rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, dengan mengatakan banyak isu berkaitan kes Yayasan Akal Budi "semakin diselubungi misteri".

Rafique Rashid dalam satu kenyataan berkata Raja Rozela Raja Toran mengetuai pasukan pendakwaan sejak awal kes sehingga Zahid dipanggil membela diri.

“Perbicaraan di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi.

“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan.

“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?”

Awal hari ini, NST melaporkan Raja Rozela digugurkan sebagai ketua pendakwa raya, beberapa hari selepas spekulasi ketidakhadirannya di mahkamah ketika perbicaraan disambung minggu lalu.

Raja Rozela bagaimanapun enggan mengulas ketika dihubungi akhbar itu.

"Saya seorang penjawat awam... saya tidak dibenarkan mengulas. Saya mohon maaf," katanya dipetik sebagai berkata.

Rafique yang juga ketua penerangan Pejuang, berkata kes itu kini di peringkat pembelaan dan Zahid sendiri sudah memberikan keterangan.

“Namun fakta bahawa beliau kini berada dalam posisi sebagai timbalan perdana menteri dan presiden Umno serta pengerusi Barisan Nasional yang menyumbang 30 ahli Parlimen sokongan kepada kedudukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri memungkinkan pelbagai spekulasi.”

Menyebut surat representasi setebal 200 muka surat yang dikatakan dihantar kepada peguam negara oleh peguam Zahid serta pemulangan pasport antarabangsanya walaupun terdapat 47 pertuduhan rasuah terhadapnya, Rafique berkata ini juga menimbulkan persoalan.

“Kuasa untuk mendakwa, memberhentikan, menangguhkan serta memulakan kembali mana-mana pertuduhan jenayah terhadap sesiapa sahaja di Malaysia ini ada di tangan peguam negara. Ini undang-undang mantap.

“Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan juga jelas. Ini tidak dinafikan.

“Begitu juga yang tidak boleh dinafikan adalah pasukan pendakwaan kes Yayasan Akal Budi dikemudi sebaiknya oleh Raja Rozela sehingga tertuduh dipanggil membela diri.

“Peguam negara tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh. Penjelasan wajib diberikan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-