September 14, 2023
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang - Foto Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Sarjana Islam Ibn Khaldun membahagi senario madani berasaskan usia manusia yang bermula daripada kanak-kanak, dewasa dan tua.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, begitu juga kewujudan sesebuah negara dan masyarakat madani bermula dengan perjuangan menegakkan iman, aqidah dan tauhid.
“Madani yang bermaksud pembangunan manusia dan keperluannya dengan ilmu berpandukan al-din.
“Saya tidak tahu apa maksud madani yang kita pakai kerajaan sekarang, adakah madani nyanyuk,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.
Menyentuh mengenai kekurangan bekalan keperluan harian sekarang, beliau yang juga Presiden PAS berkata, Allah memberi rezeki yang mencukupi bagi keperluan negara.
Namun malang, katanya pengurusannya yang silap sehingga berlaku kekurangan bekalan keperluan rakyat sekarang.
Katanya, begitu juga pelbagai jenama rahmah yang diperkenalkan kerajaan sekarang.
“Rahmah sepatutnya melibatkan semua pihak, termasuk pembeli dan penjual yakni secara holistik. Yang beri hutang jangan menindas dan yang membeli, jangan murah sangat sehingga penjual rugi.
“Kerajaan juga begitu kerap menggunakan perkataan menoktah kemiskinan, sedangkan ia tidak boleh dihapuskan cuma diboleh dikurangkan,” katanya.
Tuan Guru Abdul Hadi berkata, penduduk miskin yang dibantu perlu dipastikan boleh berdikari pada masa akan datang.
Bagaimanapun bagi golongan fakir, katanya mereka perlu dibantu secara berterusan.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan Malaysia Madani bagi memartabatkan negara yang makmur dan dikenali pada masa depan.
Menurutnya, istilah madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.
– HARAKAHDAILY 14/9/2023
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.