Sunday, September 10, 2023

BN hilang 27,000 undi Melayu di Pulai, Simpang Jeram

ismaweb.net
zuhayati


BN hilang 27,000 undi Melayu di Pulai, Simpang Jeram
18,000 mungkin tak keluar mengundi, 9,000 lagi alih sokongan pada PN

BANGI, 24 Safar 1445H, Ahad – Barisan Nasional (BN) dianggarkan kehilangan 27,000 undi Melayu atau 90 peratus penyokongnya di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Renggam pada Pilihan Raya Kecil (PRK), semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, ini berkemungkinan penyokongnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, tidak keluar mengundi atau telah beralih sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Menerusi dapatan awalnya, beliau percaya lebih 39,000 pengundi pada PRU15 sebelum ini tidak keluar mengundi dalam PRK semalam.

“Daripada jumlah ini, 18,000 adalah pengundi Melayu, 16,000 pengundi Cina dan 5,000 pengundi India tidak keluar mengundi.

“Undi Melayu kepada PN meningkat sebanyak 9,000 daripada 20,000 semasa PRU15 kepada 29,000 pada PRK ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Isham, undi Melayu kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pula merosot 27,000 iaitu daripada 34,000 pada PRU15 kepada 7,000 pada PRK ini.

Beliau menganggarkan, daripada jumlah itu, 18,000 pengundi tidak keluar mengundi dan 9,000 lagi berkemungkinan telah beralih sokongan kepada PN.

“Dengan kerjasama dengan BN, PH telah menambah 4,000 undi Melayu dalam PRK ini kepada 7,000 undi Melayu berbanding 3,000 undi Melayu yang mereka dapat pada PRU15 lepas.

“4,000 undi ini besar kemungkinan adalah dari BN. Saya harap dan mendoakan dengan keputusan ini semoga semua pihak dapat mengambil iktibar dan membuat langkah-langkah pembaikan untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Keputusan PRK semalam menyaksikan PH berjaya mempertahankan kedua-dua kerusinya di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman kedua-duanya dari Amanah, menewaskan saingan masing-masing dalam pertandingan tiga penjuri dengan memperolehi 18,641 dan 3,514 majoriti undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-