Sunday, September 10, 2023

Kes Zahid calar maruah negara di peringkat antarabangsa

HARAKAHDAILY 
10/9/2023
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR: Isu pelepasan 47 kes rasuah melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan negara ini akan menuju ke arah diperintah oleh golongan kaya sekiranya rakyat berdiam diri.

Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata isu tersebut mendapat liputan dunia yang telah mencalar imej negara secara keseluruhan.

“Jika perkara sebegini dibiarkan secara berterusan maka negara kita akan diperintah secara mutlak oleh sebahagian golongan seperti Chaebol yang memerintah Korea Selatan hari ini,” katanya.

Menurut beliau, impak golongan Chaebol amat besar yang mana ahli politik dapat memadamkan segala kes jenayahnya setelah mendapat kuasa pemerintahan dan perkara seumpama itu berlaku apabila Zahid terlepas daripada 47 kes rasuah.

“Apa yang membimbangkan ialah kes tersebut mendapat liputan dunia yang telah mencalarkan maruah dan reputasi negara khususnya dalam keseriusan kita melawan rasuah dan salahguna kuasa,

“Hakikatnya, laungan reformasi yang menjadi slogan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lebih daripada sekadar kata-kata manis demi membeli secebis undi untuk berada di tampuk kuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang diadakan di EDC Hotel Jalan Raja Laut hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Pemuda Parti Gerakan Wong Chia Zhen, Ahli Parlimen Taman Medan Dr Afif Bahardin dan Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa.

Menurut Fadhli lagi, kejadian yang berlaku itu merupakan malapetaka yang luar biasa kerana berlaku dalam tempoh kurang seminggu suasana menyambut hari merdeka negara.

Tambah beliau, badan kehakiman dan perundangan negara banyak disalahgunakan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk memberikan tekanan yang tidak wajar kepada pihak pembangkang.

“Seawal pentadbiran PH-BN banyak siasatan dan pendakwaan politik telah dikenakan ke atas pimpinan pembangkang tetapi rakan-rakan politik Madani mendapat kebaikan seperti kes-kes jenayah digugurkan oleh pihak pendakwa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perkara sebegini yang akan menjadi ikutan kepada mana-mana parti politik yang sememangnya akan mendatangkan ketidakadilan kepada setiap rakyat negara ini.

“Saya bimbang dengan hanya sekali sahaja perkara sebegini terjadi akan menjadi ikutkan kepada mana-mana ahli politik yang gilakan kuasa dan rakyat tidak boleh biarkan perkara sebegini terus berlaku,” katanya.

Ditanya bagi menghadapi masalah tersebut, beliau menyeru orang ramai hadir Himpunan Aman Selamatkan Malaysia yang bakal diadakan di hadapan Sogo pada 16 September ini.

“Saya menyeru semua rakyat termasuk anak-anak muda untuk turun beramai-ramai dengan berpakaian putih serta membawa Jalur Gemilang,

“Ini sebagai tanda kecintaan dan semangat kita untuk menyelamatkan tanah air tercintai,” katanya. – 

HARAKAHDAILY 10/9/2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-