Sunday, October 22, 2023

Penganalisis: PAS tolak sertai k'jaan sebab yakin menang PRU16

malaysiakini.com
Hariz Mohd
Diterbitkan: Oct 22, 2023 11:00 AM
Kemenangan besar PN pada pilihan raya umum ke-15 dan pilihan raya negeri baru-baru ini mungkin mempengaruhi Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menolak menyertai kerajaan perpaduan, kata penganalisis politik.

Felo kanan Majlis Profesor Jeniri Amir berkata Hadi mungkin yakin PN akan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Ini, katanya, boleh menjadi sebab mengapa pemimpin PAS itu sanggup kekal bersama gabungan pembangkang sekarang dan tidak berganjak mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, PH dan Umno.

“Sekiranya Hadi menerima pelawaan menyertai kerajaan perpaduan Anwar, ia seolah-olah beliau 'jilat ludah sendiri'. Mengundurkan prinsipnya akan menjejaskan imejnya dan PAS secara amnya.
“Dia lebih suka kekal dalam pembangkang daripada mengorbankan prinsipnya.

“Kerana Hadi berpendapat PN akan dapat membentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang, melihat prestasi mereka dalam pilihan raya baru-baru ini, trend pengundian, dan akan ada lebih ramai pengundi muda pada pilihan raya umum akan datang,” kata Jeniri.

Penganalisis itu diminta mengulas kenyataan Hadi semasa Muktamar ke-69 PAS di Shah Alam pada hujung minggu, apabila dia menolak kemungkinan PAS menyertai kerajaan persekutuan pimpinan Anwar.

Menurut Jeniri (gambar, bawah), jangkaan itu juga dipercayai mengapa Hadi kini mengarahkan PAS memenangi undi bukan Islam.
“Beliau berpendapat PN boleh menang pada masa hadapan, tetapi memandangkan kemenangannya baru-baru ini disumbangkan terutamanya oleh sokongan orang Melayu, Hadi kini melihat orang bukan Melayu juga penting.

“Inilah sebabnya dia membuat kenyataan dalam muktamar, mengatakan PAS kini mahu memikat pengundi bukan Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Jeniri percaya ia akan menjadi misi sukar bagi PAS memandangkan kedudukannya yang penuh kontroversi apabila melibatkan bukan Islam dan cara hidup mereka.

Penganalisis itu berkata, PAS perlu membersihkan imejnya dan menjelaskan rancangannya untuk negara jika mahu undi bukan Islam.

'Sekali kena, selalu beringat'

Penganalisis politik Oh Ei Sun (gambar, bawah) juga percaya bahawa hampir mustahil untuk PAS memenangi semula sokongan bukan Melayu.

"Once bitten, twice shy (sekali terkena selalu beringat), saya rasa hampir mustahil untuk PAS mendapat semula kepercayaan orang Cina," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Menurut felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu, PAS kini beralih ke arah masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu kerana dalam keadaan semasa parti itu tidak mempunyai banyak ruang untuk berkembang lebih jauh lagi.
“Lebih tiga perempat pengundi Melayu nampaknya telah mengundi PAS atau PN (dalam pilihan raya baru-baru ini), jadi ia perlu memupuk kumpulan pengundi bukan Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis itu percaya penolakan Hadi terhadap tawaran Anwar bukan kerana PAS menjangkakan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, dakwa Oh, ia hanya soal memadankan tawaran antara kedua-dua pihak.

Dia percaya PAS dan pentadbiran pimpinan Anwar mungkin sudah lama berunding tetapi masih belum dapat memeterai perjanjian itu.
Gamba fail, Presiden PAS Abdul Hadi Awang bersama Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP Lim Kit Siang ketika era kerjasama politik gabungan Pakatan Rakyat.
“Saya rasa kedua-dua pihak sudah lama berunding dan syarat masing-masing masih belum sepadan.

“Pihak Hadi mesti meminta langit, seperti TPM (jawatan timbalan perdana menteri). Sebaliknya, pihak Anwar mungkin menawarkan terlalu sedikit kementerian kepada PAS," katanya.

Jelas Oh lagi, kesetiaan pada parti dan ideologi politik berubah-ubah pada masa kini.

"Apabila keadaan bersama sudah masak dan sesuai, mereka sentiasa boleh bekerjasama," kata Oh.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-