Tuesday, December 12, 2023

‘Kabinet makin besar’, pembangkang dakwa Anwar mungkir janji

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou 
- 12 Dec 2023, 4:50pm

PAS berkata perubahan Jemaah Menteri dilihat lebih kepada ‘menjaga kuasa’ berbanding mempertingkat prestasi barisan pentadbiran yang sebenar.
Rombakan Jemaah Menteri diumumkan Anwar Ibrahim menyaksikan jumlah menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang manakala timbalan menteri turut bertambah daripada 27 kepada 29 orang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pembangkang mendakwa Anwar Ibrahim mungkir janji untuk membentuk barisan Jemaah Menteri lebih kecil dan rombakan dibuat perdana menteri hari ini mempunyai “motif” tertentu.

“Inilah Kabinet membazir wang rakyat. Dulu kata nak kecilkan saiz, ternyata sekarang makin membesar,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man kepada FMT.

Beliau berkata, perubahan Jemaah Menteri dilihat lebih kepada “menjaga kuasa” berbanding mempertingkat prestasi barisan pentadbiran yang sebenar
.
Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Sebab ketakutan mereka menarik sokongan lebih utama dari melihat prestasi menteri dan timbalan menteri yang dilantik.

“Rakyat ingin melihat keberkesanan Kabinet. Kenapa menteri bermasalah seperti pelancongan, seni dan budaya (Tiong King Sing) dikekalkan sedangkan timbalan menteri yang baik seperti timbalan menteri kerja raya (Abdul Rahman Mohamad) dipindahkan. Sepatutnya dia dinaikkan menjadi menteri penuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Jemaah Menteri yang dirombak sebagai “tiada tulang belakang” tetapi mempunyai agenda untuk menjaga kepentingan politik masing-masing.

“Nampak sangat ini satu Kabinet Anwar telah mungkir janji daripada mengecil kepada membesar. Malah memecahkan kementerian mengikut portfolio yang sebenarnya boleh dipikul menteri sebelum ini sahaja.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
“Contoh Kementerian Komunikasi dan Digital. Adakah ini bermakna Fahmi Fadzil gagal dalam melakukan kerja. Untuk apa sebenarnya dia pecahkan kementerian induk kepada kementerian lain-lain yang kecil?” soalnya.

Rombakan Jemaah Menteri diumumkan Anwar pagi tadi menyaksikan jumlah menteri meningkat daripada 28 kepada 31 orang susulan pecahan kepada kementerian sedia ada, manakala timbalan menteri turut bertambah daripada 27 kepada 29 orang.

Antara yang baharu dilantik termasuk Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Manakala V Sivakumar digugurkan daripada jawatan menteri sumber manusia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-