Thursday, December 14, 2023

Peguam: Tiada sekatan undang-undang bukan Melayu jadi PM, tapi...

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 14, 2023 9:23 AM
Peguam Haniff Khatri Abdulla bersetuju bahawa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menghalang orang bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri Malaysia.

Dia berkata, bagaimanapun ada pihak tertentu menentang idea itu kerana bimbang kedudukan orang Melayu terjejas.

"Saya percaya daripada perbincangan dan pendapat yang diberikan, ramai terkhilaf bahawa apabila ada seorang perdana menteri yang bukan Islam, bukan Melayu, maka empat perkara utama yang dinyatakan dalam perlembagaan boleh dan mungkin terjejas.

"Iaitu yang pertamanya, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Kedua, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Yang ketiga keistimewaan orang Melayu yang dipelihara di bawah perlembagaan. Keempatnya, kedudukan dan keistimewaan serta kedaulatan raja-raja Melayu.

"Empat perkara ini sering timbul dalam kerisauan rakyat majoriti. Jika ada perdana menteri yang bukan Islam, bukan Melayu.

"Pada hakikatnya, kerisauan itu tidak berasas," katanya dalam video yang disiarkan ke akaun YouTube MalayaDailyCom.

Jelas Haniff, tidak ramai yang sedar bahawa Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan turut menetapkan faktor-faktor di atas bukanlah peruntukan yang boleh dipinda dengan mudah.

Perkara 159(5) menghendaki undang-undang, termasuk undang-undang persekutuan, tidak diluluskan melainkan undang-undang itu diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis Raja-Raja.

"Jika Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengannya, maka pindaan tidak boleh dibuat," katanya.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satunya keperluan untuk seseorang menjadi perdana menteri ialah orang itu menjadi ahli parlimen, yang, dalam penghakiman Yang di-Pertuan Agong, mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Haniff turut berpendapat calon perdana menteri tanpa mengira kaum haruslah seorang individu yang patriotik dan mahir berbahasa Melayu.

“Bagaimana kita boleh mempunyai seorang perdana menteri yang berbahasa Melayu ‘pasar’, atau yang tidak memahami unsur-unsur utama kedudukan raja-raja?” soalnya.

Baru-baru ini, penasihat DAP Lim Kit Siang mendapat kecaman selepas membangkitkan kemungkinan seorang bukan Melayu dilantik sebagai perdana menteri.

Lim juga telah dipanggil oleh polis berhubung perkara ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-