Tuesday, December 12, 2023

UMNO hanya berani kecam MCA tapi menikus dengan DAP

ismaewb.net
zuhayati
12.12.23

Harap ihsan DAP untuk terus relevan dalam politik negara

BANGI, 28 Jamadilawal 1445H, Selasa – UMNO hanya berani mengecam bekas Naib Presiden MCA, Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dalam isu Kongress Bumiputera kerana parti itu mempunyai dua Ahli Parlimen sahaja.

Tetapi berbeza dengan DAP, pemimpin tertinggi UMNO kelihatan menikus dengan kenyataan Tan Sri Lim Kit Siang dalam isu ‘Perdana Menteri daripada bukan Melayu’, sinis Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

“Tak berani menyanggah, tidak berani mengulas kalau ada pun hanya kenyataan pemimpin junior itupun malu-malu kucing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada beberapa pemimpin UMNO yang mengecam ucapan Ti Lian Ker ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Negara, yang meminta kerajaan supaya tidak meneruskan program Kongres Ekonomi Bumiputera.

Terdahulu, Lian Ker berkata, sudah tiba masa Kongres Ekonomi Bumiputera tidak lagi ditunggang bagi meraih keuntungan politik atau dijadikan sebagai platform pihak oportunis mengambil kesempatan.

Katanya, ia bukan langkah untuk menidakkan hak orang Melayu tetapi setelah lebih 50 tahun, negara masih lagi mengadakan majlis Kongres Ekonomi Bumiputera bersiri-siri yang gagal mencapai matlamat.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, langkah ‘bisu’ UMNO itu berikutan parti itu sendiri sedang mengharapkan ihsan DAP untuk terus relevan dalam politik negara.

Malah, Ahli Parlimen Pasir Mas itu secara sinis mengingatkan ahli UMNO yang lain supaya membuat penilaian yang lebih adil.

“Kepada kawan-kawan ahli-ahli UMNO yang berbaki, buatlah penilaian yang adil ke arah mana hala tuju yang nak dibawa,” katanya.

Semalam, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengingatkan Lian Ker supaya tidak memercik api perkauman dalam agenda melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R).

Terdahulu, Ketua Pemuda Dr Akmal Salleh dan Dr Mohd Puad Zarkashi juga menempelak Ahli Dewan Negara itu agar tidak bermain dengan isu perkauman demi kepentingan politik sendiri.

Selepas berdepan kecaman, Lian Ker menafikan beliau mempertikaikan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari tahun depan, sebaliknya memberi penekanan terhadap membendung gejala rasuah.

Dakwanya, kenyataan untuk menghentikan kongres Bumiputera oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu adalah laporan yang salah dan bukan pandangan disuarakan dari beliau.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-