Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my
Tinjauan harga makanan di Bazar Ramadan Putrajaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada peniaga dan penjaja makanan bazar supaya tidak menaikkan harga melampau sempena Ramadan kali ini.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, pihaknya melaksanakan Op Pantau di bazar seluruh negara sepanjang Ramadan ini bagi memastikan harga makanan tidak dijual secara melampau.
Untuk itu, katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa akan digerakkan untuk memantau bazar di seluruh negara.
"Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.
"Laporan sebuah akhbar semalam (Isnin) mengatakan harga barang dunia sekarang turun, jadi tidak ada alasan menaikkan harga.
"Sekiranya didapati ada elemen mencatut, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai kenaikan harga kuih dan makanan tertentu di bazar Ramadan dilihat meningkat secara purata antara 10 hingga 20 peratus.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, melihat situasi semasa sudah pasti kenaikan harga makanan tidak dapat dielakkan pada Ramadan ini.
Namun katanya, kenaikan itu perlulah berpada-pada dan memberikan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
"Kalau tengok sekarang memang semua barang naik harga, pengguna pun faham jadi segelintir mereka lebih suka beli makanan siap sebab jimat masa dan tenaga memasak.
"Cuma kita minta peniaga dan penjaja terutama yang menjual makanan janganlah menaikkan harga terlampau tinggi sehingga menyebabkan orang marah.
"Selain itu, kerajaan juga berperanan penting mengawal kenaikan harga di peringkat pembekal supaya peniaga makanan dapat menjual pada harga berpatutan kepada pengguna," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua peniaga dan penjaja sentiasa menjaga kualiti makanan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku seperti kes keracunan makanan.
"Saya nasihatkan supaya peniaga dan penjaja memastikan makanan berada dalam keadaan baik, bersih dan sedap untuk dimakan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.