Diterbitkan: Mar 19, 2024 2:34 PM
Menteri Pelancongan Tiong King Sing menyeru kepimpinan Umno tidak terus membiarkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memperbesar-besarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Tiong berkata Umno perlu memandang serius tindakan Akmal dan tidak membiarkannya menggunakan platform Pemuda Umno dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadi.
“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan Umno tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku ketua Pemuda Umno, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap Umno, malah tidak mustahil Umno terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang,” katanya.
Mengulas lanjut, Tiong juga menggesa Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Akmal yang juga exco kerajaan negeri itu.
“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.
“Jika tidak diperbetulkan segera, ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” tegasnya.
Sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Sunway baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila didapati menjual stoking tertera kalimah Allah.
Susulan kontroversi itu, pengasas KK Super Mart, KK Chai membuat permohonan maaf, selain menjelaskan produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Namun, ia tidak terhenti disitu apabila Akmal dengan lantang menyatakan permohonan maaf saja tidak mampu “menutup buku” berhubung kontroversi itu.
Mengulas lanjut, Tiong berkata Akmal tidak sepatutnya “menunggang” isu berkenaan untuk meraih modal politik kerana ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat.
Kata Tiong, semua pihak seharusnya bertenang dan tidak lagi “menyimbah minyak ke api” yang sedang mahu reda.
“Sebaliknya, berilah peluang kepada pihak KK Super Mart membetulkan kesilapan dan Akmal juga tidak perlu lagi mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk menjadi hero,” katanya.
Menurut Tiong, dia percaya bahawa sebagai sebuah perusahaan perniagaan, KK Super Mart telah banyak menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.
“Ini fakta dan realiti yang tidak dapat dinafikan. KK Super Mart mempunyai melebihi 800 cawangan di seluruh negara, dan pekerjanya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pekerja Melayu.
“Jika kontoversi stoking terus memuncak, ia mungkin mewujudkan jurang antara pekerja, dan lebih teruk lagi, ia akan menjejaskan mata pencarian sebilangan besar pekerja. Adakah ini yang Akmal mahu lihat?” soalnya.
Sehubung itu, Tiong berkata adalah penting untuk semua pihak bertolak ansur dan menerima permohonan maaf ikhlas syarikat terbabit dengan hati yang terbuka.
Tambah Tiong, dia juga menggesa semua pemimpin politik supaya bertenang dan menghentikan pertelagahan.
“Sebaliknya, berikan sepenuh tumpuan terhadap agenda membangunkan negara demi kebaikan rakyat,” katanya.
Akmal dan Tiong sebelum ini dilihat berselisih dan saling melemparkan kecaman di media sosial, dengan ketua Pemuda Umno itu menggesa Tiong dipecat.
Ini berikutan beberapa isu, termasuk berhubung cadangan untuk bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.
Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.
Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.
Menurutnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.