Showing posts with label KK Mart. Show all posts
Showing posts with label KK Mart. Show all posts

Sunday, February 16, 2025

Menteri: Sandwic ham di KK Mart tiada DNA babi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 16, 2025 6:31 PM
Sandwic ham and cheese yang dijual di kedai KK Mart dan menimbulkan kontroversi Jan lalu didapati tidak mengandungi daging babi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali.

Armizan berkata hasil ujian makmal yang diterima pada 20 Jan lalu mengesahkan tiada DNA babi dalam sandwic tersebut.

Bagaimanapun, dia berkata syarikat pengeluar sandwic itu dan pengarahnya menghadapi 14 pertuduhan berkaitan penggunaan logo halal tanpa kebenaran.

"“Kami merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 23 Januari dan pendakwaan dibuat keesokan harinya.

“Proses ini berjalan pantas untuk memastikan keadilan dan ketelusan,” katanya seperti dilaporkan Sabah Media hari ini.

Armizan menjawab tuduhan bahawa kementeriannya lambat bertindak terhadap kontroversi tersebut.

Pada 10 Jan lalu, sebuah kumpulan pelajar Universiti Malaya menerbitkan video yang menimbulkan keraguan sama ada sandwic ham and cheese yang dijual di kedai KK Mart dalam kampus tersebut halal.

Ini membawa kepada serbuan ke atas kilang pengeluar sandwic tersebut, manakala sampel produk itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk diuji.

Video itu menimbulkan tanda tanya berhubung penggunaan logo halal dan produk ham yang dijual di negara ini.

Mereka yang membantah jualan produk berkenaan berkata ham pada asalnya diperbuat daripada daging babi, manakala ham daripada daging haiwan lain seperti ayam atau ayam belanda perlu dilabelkan dengan betul.

Shake and Bake Cafe Sdn Bhd - syarikat yang membuat sandwic tersebut - dilaporkan mendakwa ham ayam yang digunakan dalam sandwic itu mempunyai sijil halal.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata syarikat itu tidak mempunyai sijil untuk menggunakan logo halal pada bungkusan sandwic tersebut.

Shake and Bake Cafe dan pengarah urusannya, Ewe Sarn Yeun, kini sedang dibicarakan berkaitan penyalahgunaan logo halal.

Wednesday, January 22, 2025

Nga enggan layan Akmal: 'Singa takkan gaduh dengan lalat'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 22, 2025 12:36 PM
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memaklumkan bahawa dia tidak berminat untuk melayan mahupun bergaduh dengan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut naib pengerusi DAP itu, dia tidak akan merendahkan martabatnya dengan melayan kerenah Akmal.
Nga Kor Ming
"Dari kedudukan saya, komen saya: singa tidak berdebat dengan lalat.

"Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh," kata Nga yang dipetik dalam wawancara eksklusif denganChina Press, semalam ketika melawat ibu pejabat akhbar itu di Petaling Jaya untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Sebelum ini, Akmal menyekolahkan Nga berhubung isu sandwic "ham" yang dijual di KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) dengan menggunakan logo halal yang tidak sah.

Nga sebelum itu berkata, ‘ham’ hanya merujuk kepada daging yang telah diawet dan terdapat ham ayam belanda dan ham ayam, yang sesuai untuk dimakan.

Menurut pemimpin DAP itu, menjadikan perkara tersebut sebagai isu hanya menunjukkan siapa sebenarnya yang bodoh.
Akmal kemudian tampil menjawab bahawa ‘ham’ adalah merujuk kepada daging babi, bukannya proses pembuatan makanan.

Dia seterusnya membidas Nga dan mencadangkan menteri itu supaya merujuk definisi "ham" dalam Oxford Learner's Dictionary, yang menyatakan ia merujuk kepada daging babi.

Dalam laporan China Press, Nga berkata bahawa walaupun dia tidak akan melayan Akmal, namun DAP tidak akan berdiam diri.

Sebaliknya, apabila berdepan kritikan daripada Pemuda Umno, DAPSY, kata Nga akan membalasnya.

"Untuk setiap kenyataan yang dibuat oleh Akmal, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) akan memberikan respons sepuluh kali ganda.

“Bukan sahaja ketua baru sayap pemuda akan bertindak balas, malah setiausaha publisiti turut akan mengeluarkan kenyataan secara konsisten.

"Jadi, kita tidak berdiam diri. Kita hanya bertindak berdasarkan kedudukan masing-masing, " kata Nga.
Ahmad Zahid Hamidi
Dia juga melahirkan penghargaan kepada Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang katanya, tidak pernah membuat kenyataan "liar" selepas kerajaan perpaduan dibentuk.

Akhbar Cina itu memetik Nga sebagai memuji kenyataan Zahid semasa Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, yang menyentuh tentang keperluan untuk membina semula keyakinan rakyat terhadap politik sederhana.

"Sudah tentu, dalam sebuah parti dengan sejuta ahli, pasti ada yang tidak bijak.

“Ini perkara biasa, seperti pepatah, pokok besar pasti ada dahan yang kering. Dalam kumpulan besar, akan ada yang baik dan buruk,” katanya.
Dr Muhamad Akmal Saleh
Nga juga menambah bahawa DAP dan Umno kini adalah sekutu dan akan terus bekerjasama demi rakyat.

"Tetapi, ada batasnya jika berdepan dengan orang seperti Akmal. yang tingkah lakunya tidak baik, kami akan menjauhkan diri.

Jika Akmal melakukan sesuatu yang baik, kami akan memujinya. Pendekatan ini adalah asas kepada politik rasional dan profesionalisme," katanya lagi.

Sementara itu, Akmal dalam satu hantaran di Facebook terus menyelar Nga.

“Wauu takutnya anggap diri singa. Tapi makna ham pun dia tak faham malah anggap ham itu proses buat makanan.

“Owh lupa, orang bebal memang begitu. Dasar ham,” tulisnya.

Tuesday, January 21, 2025

KK Mart jual sandwic ‘ham’ disimbah cat merah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 21, 2025 6:57 PM
Cawangan kedai runcit KK Mart yang terpalit kontroversi kerana menjual sandwic ‘ham’ sebelum ini menjadi mangsa vandalisme apabila disimbah cat merah hari ini.

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) berkata perbuatan khianat oleh pihak tidak dikenali itu disasarkan kepada pintu KK Mart di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum pasti sama ada ia mempunyai kaitan dengan kontroversi jualan sandwic itu yang didakwa menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

“Jika sebuah kedai rantaian terkenal seperti KK Mart boleh menjadi sasaran vandalisme di dalam kampus, adakah kawasan lain dan keselamatan setiap pelajar juga terancam?” kata presiden Umany Lim Jing Jet.

Monday, July 15, 2024

Stoking kalimah Allah: KK Mart, syarikat pembekal didenda RM60,000

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 15, 2024 2:10 PM
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini mendenda KK Mart dan salah satu syarikat pembekalnya Xin Jian Chang Sdn Bhd, masing-masing RM60,000 berhubung stoking tertera kalimah Allah.

Ini selepas kedua-dua syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dipinda kerana melukakan perasaan orang Islam.

Bagaimanapun hakim Muhamad Anas Mahadzir membebas dan melepaskan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Chai Kee Kan dan isterinya Loh Siew Mui daripada pertuduhan yang sama.

Ini selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap Chai, Loh dan tiga pengarah syarikat itu.

[Baca berita penuh]


Friday, April 5, 2024

Akmal dibebaskan selepas 2 jam, tegaskan tak menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 5, 2024 1:48 PM
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dibebaskan selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah.

Media melaporkan polis merakam kenyataannya susulan ucapannya dalam ceramah di Kelantan pada Sabtu lalu.

Dia disambut oleh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno yang berkumpul di balai polis.

Akmal yang disiasat bawah Akta Hasutan 1948 mempunyai acara di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Sementara itu itu, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, dia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

"Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Berkaitan ucapan itu, dia mempertahankan ucapannya sebagai tiada unsur hasutan.

"Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan," katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, sehingga mengundang bantahan di tengah-tengah ketegangan isu itu.

Semalam, aktivis politik Sarawak dan Sabah mendakwa Akmal dan empat orang lagi sebagai dalang yang meningkat ketegangan kaum dan menuntut mereka disekat masuk ke kedua-dua negeri itu.

Polis mendedahkan terdapt dua laporan polis dibuat terhadapnya dalam isu berkenaan dan Kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (komunikasi jelik).

Setakat ini tiga kedai KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak, menjadi sasaran keganasan melalui serangan bom botol.

Thursday, April 4, 2024

Umno dalam situasi sukar berkait isu stoking kalimah Allah, kata Zaid

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-04 Apr 2024, 10:40 AM

Bekas menteri undang-undang berkata Umno ‘terlalu angkuh’ untuk mengakui kesilapan tetapi akan berdepan tindak balas pada masa depan.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata tindakan boikot terhadap KK Mart harus dihentikan kerana ‘tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Umno terperangkap dalam situasi sukar berhubung isu stoking tertera kalimah Allah melibatkan Ketua Pemudanya Dr Akmal Saleh kerana parti itu terlalu angkuh untuk mengakui sebarang kesilapan biarpun mungkin berdepan reaksi negatif, kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Zaid berkata, sikap presiden parti Zahid Hamidi yang berdiam diri, sama seperti menyokong tindakan berterusan Akmal untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart walaupun Agong menggesa kontroversi itu ditamatkan.

“Apa yang saya buat dengan penentangan Akmal? Jawapannya sama dengan mengapa Bung Moktar (Radin) terpaksa bercakap bagi pihak presiden Umno tentang boikot. Dan presiden berdiam diri – adakah beliau juga menghantar mesej bantahan, macam Akmal?

“Umno mungkin berbelah bahagi dalam isu ini. Terlalu angkuh untuk menerima kesilapan di pihaknya, namun berdepan tindak balas yang besar untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada FMT.

Zaid juga berkata, boikot KK Mart harus dihentikan kerana “tiada apa-apa yang strategik untuk memanjangkannya”.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam menitahkan jangan ada pihak mengambil kesempatan ke atas isu itu termasuk menghasut rakyat.

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah baginda.

Bagaimanapun, Akmal menjawab dengan bertanyakan sama ada baginda telah menangani pemboikotan secara khusus, yang dimulakan oleh ketua Pemuda Umno itu sejak kontroversi berlaku.

Majlis Kerja Tertinggi Umno secara terbuka menyokong kenyataan Akmal berhubung perkara itu, walaupun Zahid berkata ia tidak perlu dipanjangkan.

Bagaimanapun, Bung, seorang ahli MKT baru-baru ini berkata Akmal diberitahu untuk menghentikan isu itu.

Kontroversi bermula pada 13 Mac apabila gambar stoking tertera kalimah Allah di cawangan KK Mart di Bandar Sunway tersebar di media sosial.

Syarikat itu mengeluarkan permohonan maaf, tetapi Akmal terus berkempen untuk memboikot rangkaian kedai serbaneka terbabit di seluruh negara.

Tindakannya itu mendapat kritikan banyak pihak, dengan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa Akmal berhenti menghentam KK Mart.

Pengasas dan Pengarah KK Mart Chai Kee Kan dan Loh Siew Mui yang dihadap ke mahkamah, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain kerana menjual stoking itu.

Sementara itu, tiga cawangan KK Mart termasuk di Kuching, Sarawak, diserang bom petrol sejak minggu lalu, insiden yang dikecam Akmal.

FMT menghubungi Zahid untuk mendapatkan ulasan.

Wednesday, April 3, 2024

Kekal tenang, teruskan boikot - Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 3, 2024 5:32 PM
Meskipun Umno telah mengarahkan sayap parti itu menghentikan isu stoking tertera kalimah Allah, namun ketua pemudanya, Dr Akmal Saleh memberi bayangan kempen boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart akan tetap diteruskan.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Akmal berkata pemimpin tidak perlu gentar membawa suara rakyat yang telah membuat keputusan.

"Pemimpin perlu membawa suara rakyat tanpa rasa gentar. Rakyat sudah membuat keputusan mereka tanpa sebarang paksaan.

"Kekal tenang dan teruskan boikot secara aman. Kekal berprinsip," tulisnya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno melalui Presidennya Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan supaya ketua pemuda parti itu berhenti daripada terus memainkan isu stoking tertera kalimah Allah.
Ahli MKT Umno, Bung Moktar Radin yang memaklumkan perkara itu berkata arahan tersebut selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya menghentikan isu berkenaan daripada terus menjadi polemik.

Katanya, tidak timbul soal bersetuju atau tidak dengan tindakan Akmal menekan KK Mart dalam isu itu kerana Umno telah membuat keputusan mahu perkara itu dihentikan.

"Presiden Umno sudah minta Akmal (menghentikannya) dan menjelaskan bahawa KK Mart tidak membuat perancangan mengenai perkara itu, kita terima hakikat perkara itu perlu dihentikan.

"Yang di-Pertuan Agong juga menitahkan supaya menghentikan isu itu dan bagi saya itu sudah memadai," kata Bung seperti dipetik Berita Harian ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Umno Sabah bersama media dan anak yatim, di Kota Kinabalu, malam tadi.

Sebelum ini MKT Umno merestui tindakan Akmal dalam mempertahankan kesucian kalimah Allah susulan penemuan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Selain KK Mart, Akmal juga turut menggerakkan kempen boikot produk usahawan kosmetik Aliff Syukri susulan video raya melampau yang didakwa menghina kesucian Ramadan.

Saturday, March 30, 2024

Akmal seru boikot KK Mart secara matang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 30, 2024 8:41 PM
Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya "tindakan esktrem" keganasan dengan membaling 'molotov cocktail' di kedai serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang hari ini.

Ia kejadian kedua selepas KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol pada 25 Mac lalu.

Pada masa sama, Ketua Pemudanya Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor Astro Awani menyeru mana-mana pihak yang menyertai kempen boikot KK Mart agar melakukannya secara matang tanpa sebarang keganasan.

"Kita melihat ini juga ini merupakan satu perkara yang salah. Kalau nak kempen boikot tak salah seperti mana kita boikot produk-produk Israel yang lain tetapi sepanjang kita boikot (produk Israel), saya rasa tidak nampak orang Islam dan Melayu yang nak pergi bakar McDonald's atau Starbuck.
"Saya percaya isu yang berlaku ini ada pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas perkara itu sendiri. (Tetapi) Jangan buat andaian dulu," katanya seperti dipetik Astro Awani.

Menurut Akmal, dia percaya ada segelintir pihak yang mengaitkan kempen boikot tersebut dengan isu perkauman sehingga mencetuskan bibit-bibit keganasan.

"Kita mohon pihak polis siasat dan beri hukuman yang keras kepada pelaku ini.

"Hari ini, kita jangan buat satu andaian sebab kita pun tak tahu siapa yang buat. Mungkin boleh jadi 'orang A' atau 'orang B'.

"Jadi, andaian yang berlaku ini perlulah disiasat dan kalau ada kebenaran, kita minta pihak polis siasat dan kita kenakan hukuman tanpa kompromi kepada sesiapa sekali pun," katanya lagi.

Thursday, March 28, 2024

ULASAN l Kalau boleh, kita kembali kepada asal

malaysiakini.com
A Kadir Jasin
Diterbitkan: Mar 28, 2024 4:08 PM
ULASAN l Saya alu-alukan tindakan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengembalikan peranan pergerakan itu sebagai kumpulan pendesak.

Untuk sekian lama, ketua-ketua Pemuda Umno gagal menampilkan diri sebagai pendesak. Mereka lebih mengutamakan keserasian dengan pucuk pimpinan dan jawatan.
Dr Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal, seorang doktor perubatan, sudah pun mempunyai kedudukan yang cukup baik apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021 dan dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri. Beliau kini Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sejak dua minggu lalu, apabila tercetus isu penjualan stoking dengan nama "Allah" oleh rangkaian kedai KK Mart, beliau muncul sebagai pendesak utama mewakili orang Melayu dan Islam.

Kalau boleh saya guna ungkapan bahasa Inggeris, "he had made his point loud and clear". Beliau sudah menyatakan pendiriannya dengan kuat dan jelas.


Atas desakan beliau dan banyak pihak lain serta perjalanan biasa undang-undang, tindakan telah dan sedang diambil ke atas pemilik KK Mart serta pihak-pihak berkaitan.

Buat permulaan, mereka telah disiasat dan didakwa di mahkamah. Sebelum itu, mereka telah memohon maaf.
Saya rasa hanya orang paling bodoh, bangang dan sengaja cari penyakit saja yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham sentimen dan sensitiviti orang Melayu dalam hal-hal berkaitan kalimah Allah, al-Quran dan Rasulullah (SAW).

Jadi, mana-mana pihak yang hendak bekerjasama dengan orang Melayu, termasuk menjadikan mereka pelanggan, hendaklah sensitif dan berusaha seboleh-bolehnya menyaring agar barang dagangan yang boleh menimbulkan bantahan tidak ada di kedai mereka.

Lagi elok kalau rangkaian pasar besar macam KK Mart mewujudkan panel terdiri daripada pakar dari semua agama bagi menasihati mereka.

Rasanya tidaklah susah sangat bagi pasar-pasar raya mendapatkan nasihat luar, memasang papan tanda yang jelas bagi setiap kategori barang dan mematuhi peraturan memisahkan barang-barang tidak halal dengan barang-barang halal.

Kalau boleh, kita kembalilah kepada yang asal. Kita hentikan kempen boikot (kecuali yang berkaitan isu Palestin).

Kalau tidak mahu berlanggan dengan KK Mart atau mana-mana perniagaan, itu hak kita. Sebagai pengguna ada hak kita memilih.

Lagipun, melainkan masyarakat perniagaan kita bodoh, bangang dan rasis, mereka tentu mengiktiraf peranan dan kuasa membeli (purchasing power) pengguna Melayu-Islam.

Berbalik kepada Dr Muhamad Akmal, saya tidak kenal beliau secara peribadi. Malah hanya sejak kempen boikot KK Mart ini barulah beliau muncul dalam kesedaran (consciousness) saya.
Saya tertarik dengan keberanian, komitmen dan kepetahan beliau berhujah. Umno memerlukan orang muda berkeluasan profesional macam beliau kalau tidak mahu terus menjadi rumput di tengah jalan dan melukut di tepi gantang.

A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk “Berlanggan Hak Asasi Pengguna”. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Monday, March 25, 2024

PBT turunkan kain rentang jualan rahmah KK Mart

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 25, 2024 11:49 AM
Majlis Bandar Raya Melaka Bersejarah (MBMB) menurunkan kain rentang “jualan rahmah” sebuah cawangan KK Mart negeri itu.

Tindakan itu diambil susulan aduan Ketu Pemuda Umno Akmal Saleh yang mendakwa ia dinaikkan tanpa permit dan tidak mendapat kebenaran menggunakan gambar Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.

“Kita minta dia naik banner (kain rentang) minta maaf.

“Tapi banner lain dia naikkan,” kata Akmal yang lantang mengkritik jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, Selangor.


“Maka kita minta PBT jalankan penguatkuasaan mengikut undang-undang yang sedia ada.”
Akmal Saleh
Akmal yang juga exco Melaka adalah pemimpin politik paling lantang mengecam jualan stoking itu.

KK Mart telah memohon maaf dan menarik balik jualan stoking yang diimport dari China itu.

Perkara itu bagaimanapun belum memuaskan hati Akmal yang mahu kedai serbaneka itu menaikkan kain rentang mohon maaf di semua cawangan KK Mart di seluruh Malaysia.

Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes itu dan mencadangkan KK Mart dan syarikat pembekal, Xin Jiang Chang Sdn Bhd dihadapkan dengan pertuduhan jenayah di mahkamah.

Keputusan akan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

Sementara itu, menulis di media sosial, Akmal berkata mereka akan tetap memboikot KK Mart.

“Buatlah jualan apa sekalipun,j uallah barang murah mcm mana sekalipun, kami tetap dengan pendirian kami dengan kekal #boikotKKmart.

“Kami ada maruah yang bukan boleh dibeli,” tulisnya.

Isu stoking kalimah Allah: Tak malukah, Zaid kritik sikap bisu ahli akademik

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-25 Mar 2024, 12:16 AM

Zaid Ibrahim membidas ‘ribuan bijak pandai’ yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.
Zaid Ibrahim menyifatkan Tajuddin Rasdi sebagai sebagai intelektual yang berani bercakap benar.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim, mengkritik ahli akademik beragama Islam yang membisu berhubung reaksi terhadap isu stoking tertera kalimah Allah.

Mengulas reaksi sekitar isu tersebut, Zaid berpandangan perbuatan yang tidak menampilkan sikap penuh belas kasihan sebagai tidak menunjukkan Islam sebenar.

“Malangnya, kita ada ribuan bijak pandai yang gaji dibayar rakyat tetapi membisu. Tidak malukan mereka?” katanya di X (dahulunya Twitter).

Bekas menteri undang-undang itu memuji Tajuddin Rasdi dari Universiti UCSI susulan kenyataan tentang cara Nabi Muhammad berurusan dengan pihak yang menghinanya.

“Saya berbangga kita mempunyai intelektual seperti Tajuddin yang punya kekuatan dan keyakinan seorang Muslim sejati untuk bercakap benar,” kata Zaid.

Tajuddin dan bekas Ahli Parlimen Umno, Tawfik Ismail, membidas majlis kerja tertinggi Umno kerana menyokong tindakan Ketua Pemuda Dr Akmal Salleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Akmal berulang kali menggesa pemboikotan rangkaian KK Mart susulan penemuan stoking tersebut di sebuah cawangannya. Kilang membekal stoking itu telah ditutup sementara, manakala pengurusan KK Mart telah mengeluarkan permohonan maaf.

Tawfik dan Tajuddin menyeru semua pihak menunggu hasil siasatan ke atas perkara ini, dan mengingatkan bahawa hukuman bagi pihak yang bersalah seharusnya ditentukan oleh pihak berkuasa, bukannya Umno.

Mereka juga menggesa rakyat abaikan seruan boikot KK Mart daripada Akmal dalam isu ini.

Sunday, March 24, 2024

Akmal jawab bos Mydin: Soal akidah lebih utama dari jaga taikun

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 24, 2024 1:39 PM
Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengingatkan pemilik pasar raya Mydin, Ameer Ali Mydin bahawa isu kalimah Allah adalah isu akidah yang melebihi daripada kepentingan untuk menjaga ekonomi golongan kaya.

Bahkan katanya, Pemuda Umno akan melakukan tindakan yang sama iaitu memboikot Mydin jika mereka menjual stoking tertera kalimah Allah seperti mana dilakukan KK Mart.

"Ini bukan kali pertama, ini bukan kali kedua, ini dah banyak kali berlaku dan kali ini menyakitkan hati umat Islam dalam negara ini. Jadi, apakah salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini.

"Ini isu akidah sebenarnya Datuk Ameer, saya nak bagi tahu jauh lebih hebat, jauh lebih utama daripada bercakap soal keuntungan ekonomi semata-mata.

"Adakah (cukup) dengan hanya minta maaf, buat salah minta maaf, lepas tu kita sudah berpuas hati disebabkan kita nak jaga ekonomi, nak jaga taikun-taikun ini.

"Ini bukan isu mengenai KK Mart, ini bukan isu Cina ataupun tidak, ini isu KK Mart telah menghina orang Islam. Jadi tindakan tegas perlu diambil oleh orang Islam dalam negara ini," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
Semalam, pemilik pasar raya Mydin itu dilapor mengkritik tindakan Akmal yang menurutnya "mengeksploitasi" isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa?


"Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi…letak minyak tanah lagi," kata Ameer dipetik Free Malaysia Today.

Dalam pada itu Akmal berkata, apa yang dilakukan oleh Pemuda Umno adalah bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Katanya mempertahankan kesucian Islam jauh lebih utama berbanding mempertahankan ekonomi pihak tertentu.

"Saya nak bagi tahu juga Datuk Ameer, jika perkara ini berlaku dalam Mydin sekali pun kita akan melakukan perkara sama juga kepada Mydin.

"Jadi apa salahnya jika tindakan tegas iaitu dengan boikot ini dikenakan kepada petualang-petualang ini," katanya lagi.

Menjawab kritikan bekas menteri Rafidah Aziz, Akmal menjelaskan tindakan diambil Pemuda Umno adalah ekspresi bantahan umat Islam apabila agama Islam dipersenda.

Katanya, walaupun Zaman Rasulullah SAW pendekatan lembur diambil seperti mana dakwaan Rafidah, namun tiada kompromi bila agama Islam dihina.

"Betul Tan Sri (Rafidah) mendakwa zaman Rasulullah pendekatan yang lembut telah dilakukan, tetapi kena ingat apabila agama mereka dihina zaman itu tiada kemaafan," tambah Akmal.

Friday, March 22, 2024

Isu stoking: Dr Akmal bawa suara Melayu pertahankan Islam

hmetro.com.my
Amir Mamat
am@hmetro.com.my
AB Rauf menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami (MITC), hari ini. FOTO Amir Mamat

Ayer Keroh: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan langkah Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kontroversi stoking yang tertera kalimah Allah sebagai membawa suara orang Melayu dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Beliau berkata, Dr Muhamad Akmal sudah pasti mempunyai asas kukuh untuk berbuat demikian dalam memastikan kesucian Islam serta maruah Melayu itu dapat dipertahankan secara keseluruhannya.

Katanya, isu stoking tertera kalimah Allah itu tidak seharusnya dipandang dari sudut politik, sebaliknya ia adalah satu isu agama.

"Soal politik tidak mengubah pendirian kita mengenai agama. Kita boleh bersama dalam politik dan boleh bersama membina sebuah negara yang baik, tapi soal agama ini amat sensitif.

"Ia harus dilihat oleh semua pihak supaya sentuhan yang mengguris hati orang Melayu dan umat Islam ini tidak berlaku lagi.

"Semua sedia maklum bahawa kalimah Allah ini diletakkan di taraf lebih tinggi dalam kalangan umat Islam, jadi apabila ia diletakkan pada stoking yang dipakai di kaki, memang semua orang Islam bukan sahaja di Melaka bahkan di seluruh negara akan berasa tersinggung dan terguris hati.

"Jadi, kelantangan Dr Muhamad Akmal ini mewakili orang Melayu dan menyuarakan suara hati umat Islam memandangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk menghormati hak agama masing-masing," katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Ramadan dan berbuka puasa peringkat daerah Melaka Tengah di Masjid Al-Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata kontroversi yang tercetus itu juga perlu diselesaikan secara pragmatik dan tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak bagi memastikan ia tidak berulang.

"Seharusnya perkara ini tidak berlaku di negara kita kerana kita sudah bersepakat dalam konteks sosial untuk saling menghormati yang mana kesedaran ini harus dipertingkatkan.

"(Apabila) kalimah Allah ini tidak diletakkan di tempat yang betul memang ia menyinggung hati orang Islam kerana soal agama ini amat sensitif," katanya.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dan EXCO Melaka menggerakkan kempen memboikot pasar raya KK Super Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Langkah itu dilihat mendapat reaksi beberapa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dr Muhamad Akmal turut dilaporkan tetap tidak berganjak dengan desakan rakan sekutu dalam kerajaan Perpaduan itu untuk tidak memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking terbabit.

Ketua Umno Bahagian Jasin itu juga dengan tegas dilaporkan berkata tidak memerlukan persetujuan DAP untuk mempertahankan kesucian Islam itu.

Disiarkan pada: Mac 21, 2024 @ 11:34pm

Thursday, March 21, 2024

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiada siapa boleh halang, Pemuda Umno boikot ‘habis-habisan’ KK Mart

freemalaysiatoday.com
Predeep Nambiar
-20 Mar 2024, 11:48 PM

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata tiada sesiapa mampu menghalang tindakan itu di sebalik nasihat presiden parti jangan ‘berlebih-lebihan’.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata tiba masa memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam. (Gambar Bernama)

NIBONG TEBAL: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata beliau akan terus mendesak pemboikotan kedai serbaneka KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah, walaupun dinasihatkan tidak memanjangkan isu itu.

Beliau menegaskan, gesaan memboikot KK Mart bukan untuk meraih kepentingan politik, namun tindakan mempertahankan Islam daripada penghinaan.

“Jadi, sudah tentulah siapa pun yang nak menghalang saya dia takkan mampu untuk menghalang saya,” katanya kepada pemberita di Masjid Simpang Tiga.

Akmal juga menyuarakan keyakinan Pemuda Umno berada pada “landasan betul”.

Susulan kenyataan Akmal sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata jangan “berlebih-lebihan” selepas syarikat mengoperasikan kedai itu sudah memohon maaf dan siasatan mendapati ia dilakukan pembekal dari China.

“Kita selesaikan masalah ini dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang permasalahan,” kata Zahid yang juga presiden Umno.

Akmal memaklumkan bertemu Zahid, dan presiden “tak ada cakap apa-apa”, sambil menyatakan ada ahli Majlis Kerja Tertinggi memberi sokongan kepadanya.

Beliau sekali lagi menegaskan permohonan maaf KK Mart tidak mencukupi dengan berkata tiada sesiapa pun boleh terlepas dengan hanya satu permohonan maaf kerana menghina agama.

Akmal berkata, tiba masa untuk memberi pengajaran kepada pihak menghina Islam, termasuk KK Mart, dan berjanji akan terus “memboikot habis-habisan”.

Beliau juga mengkritik DAP dan mendakwa parti itu membawa isu kaum apabila Pemuda mula menyasarkan KK Mart.

Akmal bertegas jika peruncit itu Muslim sekalipun, beliau akan bertindak sama malah “lagi teruk”.

Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu Rabu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.

Pada Sabtu, syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

Wednesday, March 20, 2024

K'jaan tak mahu isu stoking 'ditunggang' pihak berkepentingan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 20, 2024 5:34 PM
Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu stoking tertera kalimah Allah perlu ditangani segera dan tidak boleh dipandang ringan oleh sesiapa pun.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata ketika kerajaan yakin perkara itu tidak lagi berlaku pada masa depan, langkah segera perl diambil untuk mengelak ia menjadi lebih buruk.

"Kita (kerajaan) tidak mahu ada yang mengambil ringan apatah lagi yang mengambil kesempatan.

"Kita mesti menyelesaikan dengan segera masalah ini agar ia tidak disalah tafsir, tidak ditunggangi oleh mereka yang berkepentingan," katanya kepada media di Maktab Rendah Sains Mara Trolak di Slim River, semalam.

Rakaman itu dimuat naik program berita Hotspot, di media sosial milik Astro AEC.

Isu stoking yang dijual di dua premis KK Super Mart di Petaling Jaya mengundang kemarahan ramai orang Islam kerana dianggap menghina agama.

Sebagai reaksi Pemuda Umno Malaysia menggerakkan kempen memboikot rangkaian kedai serbaneka berkenaan di seluruh negara, selain menuntut syarikat terbabit membuat permohonan maaf di setiap premis mereka.

Pada masa sama beberapa pihak menggesa agar ketegangan itu dikendurkan dan isu tersebut tidak dilihat dari sisi perkauman.

Kata Ahmad Zahid isu tersebut memang dianggap melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja-raja Melayu) justeru ia tidak boleh dipandang ringan sekalipun KK Super Mart sudah memohon maaf.

Pada masa sama, Presiden Umno itu berkata, pihaknya meminta Akmal Saleh selaku ketua sayap pemuda parti terbabit menyantuni perkara tersebut.

"Dan kita berharap pandangan Tuanku Yang di-Pertuan Agong kita jadikan sebagai asas," katanya.

Akmal tetap mahu KK Mart diboikot lepas ditegur tiga menteri

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 20, 2024 9:22 AM
Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh tetap tidak berganjak dari desakan untuk memboikot KK Mart berhubung kontroversi stoking dengan tulisan "Allah".

Ini meskipun selepas ditegur oleh tiga menteri setakat ini.

Mengulas Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Akmal berkata dia tidak memerlukan persetujuan DAP untuk perkara itu.

“Saya tak perlu dapatkan persetujuan DAP untuk mempertahankan agama saya dari dihina. Siapa pun kamu, saya tak pernah takut dan tak pernah gentar. Fullstop! Kekal boikot!" katanya di Facebook malam tadi.

Semalam, Loke berkata DAP tidak bersetuju dengan pendekatan Akmal menegur KK Mart.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke

Dia turut mempersoalkan sama ada ketua Pemuda Umno itu akan bertindak demikian sekiranya melibatkan syarikat milik orang Islam.

Sementara itu, Akmal turut menolak amaran Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing bahawa orang ramai mungkin memandang negatif Umno sekiranya ketua pemuda parti itu tidak ditegur.

“Boleh tak seseorang beri cermin pada dia ni? Boleh cermin diri dulu kot. Kalau tiada jawatan pun saya akan tetap pertahankan agama, bangsa dan tanah air saya," katanya dalam catatan Facebook berasingan malam tadi.

Pada hari Isnin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming juga telah memberi amaran bahawa desakan Akmal terhadap KK Mart mungkin memberi padah kepada Umno.

Akmal membalas dengan memberitahu Nga bahawa KK Mart akan lagi diboikot dengan 'sokongan' Nga terhadap syarikat itu.

Pemimpin Umno itu mengekalkan gesaan untuk memboikot KK Mart walaupun syarikat itu memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu berulanga kali - yang turut dipamerkan di semua kedainya.

Stoking yang menjadi pertikaian itu telah ditemui di tiga cawangan KK Mart di Sunway, Selangor minggu lepas.

Menurut pihak berkuasa, hanya lima pasang stoking berada di rak.

KK Mart telah menamatkan perjanjiannya dengan pembekal stoking itu, yang seterusnya menyalahkan sebuah syarikat di China kerana tersilap menghantarnya.

Tuesday, March 19, 2024

DAP sampaikan pendirian pada Zahid, tak setuju gesaan boikot KK Mart

malaysiakini.com
Wong Kang Jia
Diterbitkan: Mar 19, 2024 6:08 PM
DAP menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh untuk memboikot kedai serbaneka KK Mart yang terpalit dengan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pendirian itu telah disampaikan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh di Putrajaya malam tadi.

"Saya nak tanya Dr Akmal, kalau perkara ini berlaku kepada sebuah kedai ataupun satu rangkaian kedai runcit yang dimiliki oleh satu syarikat yang beragama yang dimiliki oleh orang Islam apa reaksi dia?

"Pendirian kita memang tidak bersetuju dengan pendekatan dan cara yang dibuat oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal. Saya rasa pandangan-pandangan telahpun dikemukakan.

"Kenyataan daripada DAP juga telahpun dinyatakan oleh beberapa pimpinan termasuk Ketua Pemuda, Dr Kelvin Yee dan juga YB Nga (Kor Ming).

"Memang pendirian kita tidak bersetuju dengan pendekatan itu. Kita merasakan bahawa dalam isu-isu sensitif ini perlulah ditangani dengan lebih berhemah," katanya ketika menghadiri majlis penyerahan cek di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan Akmal agar kedai serbaneka itu diboikot.

Loke berkata dia juga ada menghubungi pengasas KK Mart dan pengerusi eksekutif kumpulan itu, KK Chai serta mengaturkan pertemuan mereka dengan JAKIM semalam untuk menjelaskan mengenai duduk perkara sebenar.

"Betul ada kesilapan yang dilakukan oleh KK mart. Dan mereka telahpun mengakui kesilapan itu dan memohon maaf. Apa yang menyebabkan kesilapan itu akan disiasat oleh pihak berkuasa," katanya.

Loke menegaskan ahli politik sepatutnya menjadi jambatan dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia dan bukannya menghasut sentimen perkauman.

"Dalam masyarakat kita yang berbilang budaya, berbilang agama, terdapat banyak isu sensitif yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam, dan sebagai pemimpin politik, kita mesti bekerja keras untuk membina jambatan.

"Tidak kira apa yang berlaku, kita mesti cuba membina jambatan untuk menyelesaikan isu dan meredakan keadaan, bukan untuk menghangatkan keadaan,” katanya.

Isu stoking: Agong murka, mahu tindakan sekeras-kerasnya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024 3:44 PM
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa murka dan duka cita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dan mahu tindakan "sekeras-kerasnya" diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Sultan Ibrahim bertitah kalimah Allah dipandang sangat tinggi oleh umat Islam, justeru isu tersebut tidak seharusnya timbul.

“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.

“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya.

Hari ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut bertitah pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam perkara itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Terdahulu, pengasas KK Super Mart, KK Chai dan pembekal stoking, Xin Jian Chang Sdn Bhd telah membuat permohonan maaf berkenaan isu tersebut.

Namun, sejumlah pihak tidak berpuas hati dengan langkah itu, antaranya Pemuda Amanah dan Pemuda Umno yang mahu KK Super Mart menaikkan kain rentang permohonan maaf di kesemua 881 cawagannya.

Kes itu kini dalam siasatan polis dan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat.

Agong juga mengingatkan masyarakat agar menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.

Baginda juga bertitah bahawa tidak masuk akal syarikat dengan kakitangan warga Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.

“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah baginda.

Tiong gesa pimpinan Umno, KM Melaka tegur Akmal

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 19, 2024 2:34 PM
Menteri Pelancongan Tiong King Sing menyeru kepimpinan Umno tidak terus membiarkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh memperbesar-besarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Tiong berkata Umno perlu memandang serius tindakan Akmal dan tidak membiarkannya menggunakan platform Pemuda Umno dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadi.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan Umno tidak mempedulikan gelagat dan sikap Akmal selaku ketua Pemuda Umno, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap Umno, malah tidak mustahil Umno terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang,” katanya.

Mengulas lanjut, Tiong juga menggesa Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Akmal yang juga exco kerajaan negeri itu.

“Saya telah mendapat maklum balas bahawa rakyat dan akar umbi Melaka telah membuat aduan dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap sikap angkuh Akmal.

“Jika tidak diperbetulkan segera, ini mungkin memberi kesan negatif kepada perkembangan politik Melaka pada masa hadapan,” tegasnya.

Sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Sunway baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila didapati menjual stoking tertera kalimah Allah.

Susulan kontroversi itu, pengasas KK Super Mart, KK Chai membuat permohonan maaf, selain menjelaskan produk tersebut adalah 'consignment' daripada vendor dan pihaknya telah berhubung dengan vendor terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Namun, ia tidak terhenti disitu apabila Akmal dengan lantang menyatakan permohonan maaf saja tidak mampu “menutup buku” berhubung kontroversi itu.

Mengulas lanjut, Tiong berkata Akmal tidak sepatutnya “menunggang” isu berkenaan untuk meraih modal politik kerana ia boleh merosakkan keharmonian masyarakat.

Kata Tiong, semua pihak seharusnya bertenang dan tidak lagi “menyimbah minyak ke api” yang sedang mahu reda.

“Sebaliknya, berilah peluang kepada pihak KK Super Mart membetulkan kesilapan dan Akmal juga tidak perlu lagi mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk menjadi hero,” katanya.

Menurut Tiong, dia percaya bahawa sebagai sebuah perusahaan perniagaan, KK Super Mart telah banyak menyumbang dan memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya dalam meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini fakta dan realiti yang tidak dapat dinafikan. KK Super Mart mempunyai melebihi 800 cawangan di seluruh negara, dan pekerjanya terdiri daripada pelbagai kaum termasuk pekerja Melayu.

“Jika kontoversi stoking terus memuncak, ia mungkin mewujudkan jurang antara pekerja, dan lebih teruk lagi, ia akan menjejaskan mata pencarian sebilangan besar pekerja. Adakah ini yang Akmal mahu lihat?” soalnya.

Sehubung itu, Tiong berkata adalah penting untuk semua pihak bertolak ansur dan menerima permohonan maaf ikhlas syarikat terbabit dengan hati yang terbuka.

Tambah Tiong, dia juga menggesa semua pemimpin politik supaya bertenang dan menghentikan pertelagahan.

“Sebaliknya, berikan sepenuh tumpuan terhadap agenda membangunkan negara demi kebaikan rakyat,” katanya.

Akmal dan Tiong sebelum ini dilihat berselisih dan saling melemparkan kecaman di media sosial, dengan ketua Pemuda Umno itu menggesa Tiong dipecat.

Ini berikutan beberapa isu, termasuk berhubung cadangan untuk bak kut teh dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, semalam berkata pihak KK Super Mart akan dipanggil dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata dua kertas siasatan dibuka selepas pihaknya menerima 42 laporan.

Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Menurutnya, kes juga disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan kemudahan rangkaian yang tidak wajar.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-