Thursday, March 28, 2024

Zahid selar bekas ahli samakan Umno ‘biawak hidup’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-28 Mar 2024, 09:17 PM

Presiden Umno berkata setiap usaha dan langkah baharu dibuat kerajaan pasti mendapat kritikan pihak tertentu termasuk sistem Pangkalan Data Utama.
Zahid Hamidi pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Zahid Hamidi menyelar tindakan bekas ahli parti yang menyamakan kepimpinan Umno dalam kerajaan perpaduan sebagai “biawak hidup”.

Presiden Umno berkata, setiap usaha dan langkah baharu dibuat kerajaan pasti mendapat kritikan pihak tertentu termasuk sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Padu dilancarkan bagi memastikan subsidi sampai kepada mereka yang menjadi sasaran (menerusi pengenalan subsidi bersasar).

“Tetapi sebaik sahaja ia dilancarkan, wujud kebencian yang mendakwa data peribadi akan digunakan oleh kerajaan, terutamanya Kementerian Ekonomi.

“Semua yang baharu pasti ada cabarannya, dan cabaran itu adalah kita tahu 22% termasuk dalam golongan ‘anti-establishment’,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa di Masjid Jamek As Solihin, Kanchong Darat, Banting.

Zahid mengulas kritikan diterima kerajaan dalam usaha menangani kenaikan kos barangan dan sara hidup yang dilakukan melalui penubuhan Padu.

Walaupun tidak menyebut nama, individu yang dirujuk Zahid dipercayai bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Khairy menerusi podcast bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, mengemukakan persoalan sama ada persepsi bahawa kerajaan sedang terbeban atau dihalang oleh Umno dan menyamakan parti itu adalah “biawak hidup” dalam kerajaan perpaduan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-