Mac 28, 2024 @ 10:16pm
Anggota polis mengiringi sami Buddha Galagodaatte Gnanasara ke penjara di mahkamah tinggi Colombo. - Foto AFP
COLOMBO: Mahkamah Sri Lanka hari ini menjatuhkan hukuman kerja buruh selama empat tahun kepada seorang sami Buddha yang berpengaruh kerana menimbulkan kebencian pengikutnya terhadap penduduk minoriti Islam di pulau itu.
Mahkamah Tinggi Colombo mendapati Galagodaatte Gnanasara bersalah menghina orang Islam dengan membuat kenyataan yang meremehkan Islam pada sidang akhbar 2016.
"Sami itu dijatuhi hukuman kerja keras selama empat tahun dan denda 100,000 rupee (RM1,561) dan dia dihantar ke penjara untuk mula menjalani hukumannya." kata seorang pegawai mahkamah.
Gnanasara dituduh menghasut keganasan terhadap umat Islam di negara majoriti agama Buddha itu, di mana kira-kira 10 peratus daripada 22 juta orang menganut agama Islam.
Selain itu, dia dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Wirathu, seorang sami pelampau yang berpangkalan di Myanmar.
Difahamkan ini bukan kali pertama Gnanasara dipenjarakan.
Pada tahun 2018, dia dijatuhi hukuman enam tahun kerana menakutkan isteri seorang kartunis yang hilang dan menghina mahkamah tetapi dia dibebaskan sembilan bulan kemudian selepas bekas presiden, Maithripala Sirisena mengampuninya.
Kemudian, bekas presiden, Gotabaya Rajapaksa menjadikan Gnanasara sebagai ketua panel untuk mengesyorkan pembaharuan undang-undang bagi memastikan keharmonian agama di negara itu.
- AFP
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.