Sunday, April 21, 2024

Bincang bantu Umno raih sokongan Melayu di konvensyen, penganalisis beritahu PKR

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-21 Apr 2024, 09:15 AM

Azmi Hassan berkata PN ketika ini dilihat sebagai gabungan terbaik mewakili kepentingan orang Melayu.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Umno perlu dilihat sebagai rakan yang boleh diharapkan dan setaraf untuk PKR, seperti DAP. (Gambar PKR)

PETALING JAYA: PKR patut menjadikan konvensyen khasnya hari ini untuk meneroka cara bagaimana parti itu boleh membantu Umno mendapatkan semula sokongan Melayu, kata penganalisis.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, walaupun konvensyen secara amnya bukan tempat untuk membincangkan isu seperti itu, tetapi PKR perlu mencari jalan untuk membantu Umno supaya boleh dilihat sebagai parti yang mewakili orang Melayu.

Berdasarkan keputusan pilihan raya umum terakhir dan pilihan raya enam negeri, katanya Perikatan Nasional (PN) kini dilihat sebagai gabungan yang paling mewakili kepentingan mereka (orang Melayu).

“PKR perlu memastikan Umno sekali lagi dilihat sebagai parti yang mempertahankan hak orang Melayu dan Islam,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata, Umno juga perlu dilihat sebagai rakan yang boleh diharapkan dan setaraf untuk PKR, dari segi pengaruh, sama seperti DAP, kerana Umno adalah sekutu terbesar Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, PKR juga perlu menangani kritikan terhadap imej reformasinya, susulan “serangan” dalaman terhadap kurangnya pembaharuan dilakukan parti itu dalam kerajaan.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercakap mengenai reformasi institusi sebelum membentuk kerajaan, tetapi tidak banyak yang dilakukan,” katanya, yang menambah ia kini dijadikan “peluru” oleh PN untuk menyerang Anwar.

“Pembangkang berkata beliau (Anwar) tidak mengikut apa yang beliau katakan sebelum ini.”

James Chin dari University of Tasmania berkata, penting bagi PKR membincangkan untuk membawa kerajaan kembali ke “haluan tengah”.

Chin berkata, kebanyakan isu perkauman dan agama yang berlaku ketika ini disebabkan Anwar, yang juga presiden PKR “memuaskan kumpulan berhaluan kanan”.

“Jadi, peranan beliau sekarang sepatutnya adalah bagaimana untuk membawa Malaysia kembali ke haluan tengah. Itulah isu terbesar dihadapi negara dan beliau tidak boleh lari daripadanya,” katanya.

Beliau juga menyatakan harapan PKR akan mendukung semula komitmennya kepada dasar pelbagai kaum semasa konvensyen kerana ia adalah satu-satunya parti utama yang sepenuhnya pelbagai kaum, dan atas faktor itu perlu mengambil peranan utama dalam masyarakat.

Sementara itu, seorang pemimpin bahagian enggan dikenali berkata konvensyen bertujuan untuk membuka jalan bagi pemilihan parti.

Konvensyen adalah wajib sebelum pemilihan parti, kata pemimpin itu. “Selepas konvensyen diadakan, kemungkinan pemilihan parti pada hujung tahun atau awal tahun depan.”

Seorang Ahli Parlimen PKR berkata konvensyen itu adalah untuk memperkuatkan akar umbi dan menonjolkan satu barisan kepimpinan yang bersatu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-