Monday, July 1, 2024

‘BN hampir lumpuh’, guna lambang Umno, Zahid diberitahu

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-01 Jul 2024

Penganalisis berkata lambang Umno dalam politik ‘masih kuat dan lebih berkesan’ berbanding BN.
Pengerusi BN Zahid Hamidi dilaporkan berkata gabungan itu akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRU16, namun menggunakan lambang sendiri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) yang dilihat sebagai ‘entiti hampir lumpuh’ sepatutnya menggunakan lambang Umno pada PRU16, kata penganalisis politik.
Azmi Hassan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, lambang Umno dalam politik ‘masih kuat dan lebih berkesan’ berbanding BN.

“Sepatutnya guna lambang Umno kerana simbol Umno dalam politik masih kuat berbanding BN itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Umno adalah pemegang terbesar daripada 30 kerusi Parlimen dimenangi BN pada PRU15 iaitu 26, diikuti dua oleh MCA serta masing-masing satu dimiliki MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi dilaporkan berkata gabungan itu akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRU16, namun masing-masing bertanding menggunakan lambang sendiri.

“Insya-Allah PRU akan datang kita akan gunakan lambang BN. Ini bukan bererti kita lari daripada kesepakatan kerajaan perpaduan. Maksudnya PH boleh tanding guna lambang PH dan kita tanding dengan lambang kita, tapi dari segi kerjasama, kita jalinkan.

“Asalkan kawasan yang kita bertanding itu tidak ditandingi oleh mereka, dan kita tidak bertanding di kawasan yang mereka tanding itu,” katanya selepas merasmikan mesyuarat Umno Maran.

Menyifatkan kenyataan Zahid bukan pelik, Azmi tidak nampak keperluan BN atau Umno menggunakan lambang PH seperti dilakukan PKR, DAP dan Amanah.

“Kerana (PKR, DAP dan Amanah) sebahagian yang membentuk PH dan Umno sebagai membentuk BN. Tidak mengejutkan menggunakan lambang BN pada PRU16 nanti,” katanya.
Bilcher Bala.
Sementara itu, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berpendapat keputusan BN menggunakan lambang sendiri pada PRU16 tepat dengan statusnya sebagai komponen parti sendiri.

Katanya, BN harus menggunakan lambang sendiri supaya tidak mengelirukan pengundi di kawasan dikuasai mereka.

Menurutnya, bagaimanapun kerjasama dengan PH tertakluk kepada keputusan PRU16 nanti.

“Sekiranya ada salah satu komponen mengalami kekalahan teruk atau gabungan kedua-duanya gagal mencapai kemenangan dua pertiga kerusi, akan berlaku lagi percaturan kerjasama baharu untuk layak menubuhkan kerajaan persekutuan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-