Tuesday, July 9, 2024

Urus sentimen Melayu untuk tambah sokongan Umno, kata pemimpin

freemalaysiatoday.com
Mohd Farhan Darwis
09 Jul 2024, 

Pemimpin akar umbi berkata parti itu tidak boleh bergantung kepada khidmat bakti semata-mata untuk membantu menambah sokongan.
Umno perlu mengurus sentimen, persepsi, tohmahan yang dilemparkan untuk mengembalikan sokongan terhadap parti Melayu itu, kata pemimpin akar umbi.

PETALING JAYA: Pemimpin akar umbi Umno berkata kegagalan parti itu mengurus sentimen, persepsi, tohmahan yang dilemparkan menyebabkan parti berkenaan terus ditolak oleh pengundi teras mereka.

Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin mengakui Perikatan Nasional (PN) berjaya memainkan sentimen Melayu dan Islam untuk terus meraih sokongan bagi pihak pembangkang.

“Dalam keadaan sekarang kita masih lagi berusaha mengurus sentimen dan persepsi. Kelebihan di pihak PN, mereka yang mengawalnya.

“Mereka berjaya melontarkan tohmahan kononnya Islam terancam, Melayu begitu dan begini serta memberi gambaran hubungan Umno-DAP. Ini perlu dijelaskan serasional mungkin untuk menepis apa yang PN dendangkan,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, walaupun Umno dikenali dengan khidmat bakti kepada masyarakat namun ia tidak memadai untuk mengembalikan sokongan kepada parti Melayu itu.

Katanya, ia tetap tidak akan mengubah keadaan sekiranya parti itu gagal menjawab isu dan memperbetulkan persepsi terhadap mereka.

“Saya lihat politik khidmat bakti tidak lagi menjadi kelebihan buat Umno dan Barisan Nasional (BN). Seberapa banyak pun khidmat bakti, ia tidak akan dapat meraih sokongan kukuh jika kita gagal patahkan isu dengan baik,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Shamsul Anuar Nasarah berkata walaupun pelbagai program dilakukan, sokongan pengundi teras dan muda kepada Umno semakin kurang.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Umno Segamat Bastien Onn pula berpandangan sentimen anti DAP masih menebal dalam kalangan sebahagian besar pengundi Melayu, walaupun hampir dua tahun bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Kita boleh uji sokongan orang Melayu dalam PRK yang akan datang, orang Melayu tidak selesa untuk mengundi parti yang bersama DAP.

“DAP dilihat meneruskan hasrat-hasrat mereka dan ‘berselindung’ di sebalik undang-undang kaum, agama, institusi diraja (3R),” katanya.

Pada PRN tahun lalu, Umno-BN hanya menang 19 kerusi DUN di enam negeri berbanding 108 kerusi ditandingi.

Pada PRU15 BN menang 30 kerusi Parlimen dengan Umno menang 26, diikuti dua MCA serta masing-masing satu MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-