Saturday, July 27, 2024

Maszlee saran Aiman Athirah letak jawatan MP, ketua Wanita Amanah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 27, 2024 6:58 PM
Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menyarankan agar Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Sepang, susulan kehadirannya dalam acara kutipan dana sekolah Cina yang melibatkan jenama minuman keras.

Maszlee yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, penglibatan Aiman dalam acara itu adalah insiden yang memalukan dan menjatuhkan imej Amanah.

Untuk rekod, Aiman adalah ketua Wanita Amanah.

“Islam rahmah yang dibawa oleh Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah.

“Sewajarnya jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau meletakkan jawatan secara sukarela sebagai ahli Parlimen secara terhormat dan juga meletakkan jawatan sebagai ketua Wanita Amanah.

“Ia akan menjadi pengajaran kepada ahli Parlimen Amanah yang lain agar lebih teliti, berhati-hati dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Isu berkenaan tular setelah gambar Aiman memegang replika cek dengan logo jenama Tiger Beer di acara kutipan anjuran SJK(C) Tche Min di Sungai Pelek di Sepang, Selangor dimuat naik di media sosial.
Kehadirannya itu dikritik PAS, antaranya oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS pusat Dr Halimah Ali yang menyifatkannya sebagai tidak sesuai, dengan mengambil kira kedudukan Aiman Athirah selaku pemimpin kerajaan dan Amanah.

Namun Aiman menjelaskan kehadirannya sebagai tanda sokongan kepada sekolah, bukan arak.

Semalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata kerajaan mengekalkan garis panduan sedia ada untuk kutipan dana sekolah yang termasuk larangan sebarang pameran dan promosi minuman beralkohol di premis sekolah.

Bagaimanapun kerajaan juga bersetuju untuk mempertimbangkan membenarkan sekolah vernakular terus menerima sumbangan melalui lembaga pentadbiran sekolah, seperti yang diamalkan sebelum ini.

Sementara itu, Maszlee menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mengkritik Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, apa yang dilakukan oleh Fadhlina selari dengan keputusan kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling KPM sedia ada dan semangat Madani yang dibawa oleh kerajaan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.

“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran di dalam acara melibatkan sekolah adalah tindakan membuka ‘kotak pandora’ untuk membenarkan industri tidak sihat lain untuk dipromosikan di dalam ranah pendidikan seperti industri tembakau, industri vape, industri perjudian dan hiburan kelab malam.

“Lim tidak perlu melihat isu promosi arak di dalam acara melibatkan sekolah dari sudut politik, agama mahupun perkauman. Ia berkaitan isu kesihatan, isu kesejahteraan hidup dan juga sivik,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-