Sunday, July 28, 2024

Derma syarikat arak: PAS sedia tamat ikatan dengan Gerakan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
28 Jul 2024, 08:30 AM

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak mustahil bagi PAS menolak kerjasama dengan parti itu pada PRU16.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata pendirian rasmi Gerakan dalam isu derma syarikat arak sangat mengecewakan.

PETALING JAYA: PAS tidak menolak kemungkinan akan memutuskan hubungan dengan Gerakan susulan pendirian rasmi parti itu berhubung derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu dalam isu terbabit.

Jika inilah selalu ditonjolkan Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik, katanya di Facebook.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.

Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-