Monday, July 29, 2024

‘Nak keluar PN, keluarlah’, PAS beritahu Gerakan

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
29 Jul 2024, 03:00 PM

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang parti itu tidak teragak-agak keluar PN.

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.

Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN. Dia boleh buat keputusan untuk keluar tak ada masalah kerana ini negara demokrasi, terserah, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, parti itu tidak teragak-agak keluar PN dan mereka kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berhubung sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.

Mengulas lanjut, Amar berkata sekolah seharusnya menjadi tempat mendidik pelajar menjadi insan berguna dan PAS menolak keras unsur tidak baik disumbangkan kepada institusi pendidikan.

Kerajaan sendiri pun tak benarkan syarikat rokok, arak, judi menaja…kerana ia bagi kesan tidak baik kepada masyarakat, katanya.

Katanya, jika Gerakan tetap dengan pendirian itu pihaknya tidak mempunyai hak untuk memaksa mereka membuat sesuatu keputusan.

Kalau dia keluar kita nak buat macam mana, sebab kita tak ada hak nak paksa dia, nak tahan dia pun tak boleh, parti dia buat keputusan sendiri, terserah pada dialah, katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-