Showing posts with label Gerakan. Show all posts
Showing posts with label Gerakan. Show all posts

Tuesday, October 1, 2024

Gerakan tiada tempat, kredibiliti kritik PN, kata pemimpin Bersatu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
01 Oct 2024

Mahathir Rais berkata parti pimpinan Dominic Lau itu tidak banyak menyumbang kepada kejayaan PN selama ini.
Presiden Gerakan Dominic Lau (dua kanan) berkata kajian mendalam mengenai trend pengundian Melayu akan membantu PN bersiap sedia menghadapi PRU16. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mempersoalkan gesaan Gerakan supaya gabungan pembangkang mengkaji secara mendalam peralihan undi Melayu kepada Umno dalam PRK baru-baru ini, dengan berkata sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu tiada kredibiliti.

Mahathir Rais berkata, Gerakan gagal memperoleh asas pengundi yang kukuh, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, dan hampir tidak melakukan sebarang usaha untuk membina semula parti, termasuk menawan kembali kerusi yang terlepas di Pulau Pinang.

Katanya, Gerakan juga secara konsisten diketepikan dalam politik negara.

“Adakah Gerakan, sebuah parti yang telah merosot selama lebih sedekad, mempunyai sebarang tempat untuk mengkritik rakan gabungannya?

Dan adakah Gerakan mempunyai kredibiliti untuk bercakap tentang trend mengundi Melayu sedangkan ia sendiri sukar kekal relevan dalam mana-mana demografik pengundi? soal setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan dalam kenyataan.

Mahathir berkata demikian sebagai respons terhadap cadangan Presiden Gerakan Dominic Lau bahawa kajian mendalam akan membantu PN bersiap sedia berdepan PRU16, terutama berdepan peningkatan kebarangkalian wujud gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang lebih padu.

Mahathir menganggap gesaan Lau supaya PN mengkaji peralihan undi Melayu sesuatu yang aneh kerana ia tidak banyak menyumbang kepada kejayaan pembangkang.

Katanya, Gerakan tidak memegang mana-mana kerusi Parlimen mahupun mencapai sebarang kejayaan penting pada pilihan raya. Malah, keputusan parti itu meninggalkan BN tidak mencetuskan sebarang kebangkitan mahupun memberikan rangsangan yang PN perlukan.

Menurutnya, sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya Gerakan lemah jika dibandingkan dengan Bersatu dan PAS.

Jika Gerakan tidak menonjol dalam PN, apa haknya untuk kritik prestasi gabungan ini?

Mahathir menuduh Lau terlalu meremehkan isu kompleks undi Melayu, yang menurutnya tidak boleh dikategorikan dengan mudah.

Tingkah laku mengundi, katanya, berbeza di setiap wilayah dan kawasan, dipengaruhi oleh isu tempatan, kekuatan calon dan kawalan kerajaan negeri.

Fokus sempit Gerakan terhadap kekalahan (PN) baru-baru ini mengabaikan hakikat bahawa pengundi Melayu selama ini memang berpecah-belah, katanya.

Saturday, August 3, 2024

Gerakan turun padang bantu kempen PN di Nenggiri

harakahdaily.net
August 3, 2024
Foto: RIZAL TAHIR

GUA MUSANG: Biarpun jumlah pengundi kaum Cina di DUN Nenggiri hanya 0.2 peratus namun Gerakan tetap turun padang bagi membantu kempen calon PERIKATAN NASIONAL (PN).

Presiden Parti Gerakan, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebagai sebuah parti komponen PN, parti itu tetap turun padang bagi membantu kempen.

“Pengundi dalam kalangan pengundi Cina hanya sekitar 0.2 peratus di DUN Nenggiri, namun ia tidak menghalang petugas pilihan raya Gerakan membantu kempen calon PN,” katanya pada sidang media selepas perarakan calon di Dewan Perdana Majlis Daerah Gua Musang di sini, hari ini. (Foto atas)

Hadir sama pada sidang media itu Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Bersatu, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail.

Jumlah pengundi kaum Cina pada daftar pilihan raya lepas iaitu 119 orang, penduduk Orang Asli (2,560 orang), pengundi Melayu 17,561 orang) dan pengundi awal (14).

Bagaimanapun daftar Pemilih Pilihan Raya tambahan yang dikemas kini pada 18 Jun 2024 akan digunakan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos ini seramai 20,259 orang.

Dr Dominic juga berkata, Gerakan akan berusaha mendapat sokongan pengundi bagi memenangkan calon PN pada PRK Nenggiri.

 – HARAKAHDAILY 3/8/2024

Thursday, August 1, 2024

Kalau GERAKAN nak keluar PN, silakan - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Noorazura Abdul Rahman
bhnews@bh.com.my
 - Ogos 1, 2024 @ 8:43pm
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - Foto BH

ALOR SETAR: GERAKAN tidak perlu mengugut untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mereka boleh meninggalkan gabungan itu jika sudah tiada lagi persefahaman.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata beliau bukan angkuh tapi hanya mengulas kenyataan dikeluarkan Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong.

Katanya, PAS bersedia berbincang kemelut yang tercetus dalam mesyuarat bulanan PN bulan ini.

"Dia (GERAKAN) yang buat kenyataan secara terbuka, ugut nak keluar PN. Sila keluar. Itu respons kami.

"Dia kata kalau tak ikut pandangan mereka, GERAKAN akan keluar PN. Silakan, 'the door is there' (pintu ada di sana). Bukan kita tolak dia keluar. Tapi, kalau dia nak keluar, pintu sentiasa ada. Boleh keluarlah, bukan tak boleh," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Tong Keong dilaporkan berkata parti itu tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS mungkin tidak akan bekerjasama dengan GERAKAN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), susulan kecewa dengan pendirian parti itu yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.

Semalam, Presiden GERAKAN, Dominic Lau berkata, PN perlu berbincang untuk menyelaraskan perbezaan bagi menguatkan kerjasama mereka.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, PAS tidak akan mengikut telunjuk parti lain kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing dalam sesuatu isu.

Beliau berkata, tindakan GERAKAN berhubung isu berkenaan didorong oleh kehendak untuk menyenangkan hati pengundi Cina.

"Bincang dalam mesyuaratlah secara dalaman. Kalau GERAKAN ada rasa tidak puas hati pada PAS, cakaplah. Kami (PAS) tak ada apa pun masalah. Kita hanya jawab apa dia kata. Dia yang ada masalah, dia punya pasal lah," katanya.
View Synonyms and Definitions

Tuesday, July 30, 2024

'Ibarat suami isteri personaliti bertentangan tapi tetap teman sejati'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 30, 2024 
Presiden Gerakan Dominic Lau meremehkan pergeseran yang dilaporkan antara partinya dan PAS sebagai sekutu dalam Perikatan Nasional (PN).

Lau memetik perbandingan dengan hubungan suami isteri yang menurutnya mempunyai personaliti bertentangan, namun tetap menjadi teman sejati.

"Yang ajaibnya, perbezaan itu yang mengikat kita bersama, bukan persamaan. Sepasang suami isteri selalunya personaliti mereka bertentangan, tetapi mereka menjadi teman sejati sehingga hayatnya menemui pencipta.

"Perbezaan yang wujud di antara kita memberi fleksibiliti dan kekuatan kepada kita. Satu pasukan yang selalu bergaduh akan jalan lebih jauh daripada satu pasukan yang setuju 100 peratus kerana elakkan konfrontasi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Lau menambah bahawa sudah tiba masanya untuk mengukuhkan gabungan itu.

Jelas Lau, PN yang juga termasuk Bersatu, sejak penubuhan gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke-15 lalu tidak pernah mempunyai peluang untuk membincangkan perbezaan mereka.

"Sebagai satu gabungan politik yang agak muda, PN masih mempunyai ruang untuk memenangi kepercayaan lebih ramai pengundi, atas kekuatan yang tersendiri.

"Sejak penubuhannya, tidak pernah lagi kami duduk untuk berbincang macam mana nak selaraskan perbezaan antara kita.

"Jadi pada hemat saya, tibalah masanya kita memperkasakan keutuhan perikatan ini,” katanya.

Gesaan Lau untuk memperkukuh PN berikutan perang mulut terbuka antara Gerakan dan pemimpin PAS berhubung isu penglibatan syarikat kilang bir dalam acara mengumpul dana untuk sekolah Cina.

Pemimpin Gerakan tidak hadir semasa pengumuman calon PN bagi PRK Nenggiri di Gua Musang semalam, dan PAS serta pemimpin Bersatu dalam ucapan mereka hanya menyerlahkan kerjasama padu antara dua parti berasaskan Melayu itu.
Oh Tong Keong
Pada Ahad, timbalan presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata parti itu tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan PN jika ia bermakna mempertahankan pendidikan Cina.

Oh menjawab kecaman daripada pemimpin PAS seperti ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari dan timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, manakala lidah rasmi parti itu Harakahdaily menganggap pendirian Gerakan adalah sama dengan DAP.

Sementara itu, Oh hari ini menyeru semua parti komponen PN bertemu, di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan PAS.

Mengulas lanjut, Lau berkata PN telah mencapai "tahap maksimum" dalam meraih kepercayaan pengundi Melayu, dan oleh itu keadaan itu sama ada dijangka kekal konsisten atau jatuh ke tahap yang lebih rendah.

"Yakni ia masih tidak mencukupi untuk bertakhta di Putrajaya," tambahnya, sambil menambah bahawa PN masih tidak dapat mewakili semua lapisan masyarakat.

"Saya lihat ada segelintir ahli-ahli parlimen kita dah haus dalam naratifnya. Itu sahajalah 'pi mai pi mai tang tu' isu nak dibawa.

"Sementara kita memainkan peranan semak dan imbang, saya lihat kita sudah sampai 'bottleneck', waktu ini tepat pada masanya kita duduk dan berbincang,” katanya.

Justeru, Lau berkata dia akan mengemukakan cadangannya untuk berbincang dengan pemimpin PN, ke arah menganjurkan satu lagi forum dalaman yang melibatkan akar umbi daripada ketiga-tiga parti.

Awal hari ini, Pemuda Gerakan Johor berkata ia akan membekukan hubungan dengan Pemuda PAS negeri berkuat kuasa serta-merta, juga berhubung isu derma kilang bir.

Monday, July 29, 2024

‘Nak keluar PN, keluarlah’, PAS beritahu Gerakan

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
29 Jul 2024, 03:00 PM

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong yang parti itu tidak teragak-agak keluar PN.

PETALING JAYA: PAS tiada halangan jika Gerakan ambil keputusan keluar daripada Perikatan Nasional (PN) susulan perbezaan pendapat berhubung kontroversi dana sekolah Cina.

Naib Presiden Mohd Amar Abdullah berkata setiap parti ada hak dan pendirian jadi terserah kepada Gerakan untuk membuat keputusan.

Kalau Gerakan rasa dia tak selesa dengan PN. Dia boleh buat keputusan untuk keluar tak ada masalah kerana ini negara demokrasi, terserah, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong, parti itu tidak teragak-agak keluar PN dan mereka kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap Gerakan dan tidak menolak kemungkinan memutuskan hubungan berhubung sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.

Mengulas lanjut, Amar berkata sekolah seharusnya menjadi tempat mendidik pelajar menjadi insan berguna dan PAS menolak keras unsur tidak baik disumbangkan kepada institusi pendidikan.

Kerajaan sendiri pun tak benarkan syarikat rokok, arak, judi menaja…kerana ia bagi kesan tidak baik kepada masyarakat, katanya.

Katanya, jika Gerakan tetap dengan pendirian itu pihaknya tidak mempunyai hak untuk memaksa mereka membuat sesuatu keputusan.

Kalau dia keluar kita nak buat macam mana, sebab kita tak ada hak nak paksa dia, nak tahan dia pun tak boleh, parti dia buat keputusan sendiri, terserah pada dialah, katanya.

Sunday, July 28, 2024

Oh: PAS bukan 'taiko', Gerakan tak teragak-agak keluar PN

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 28, 2024 
Gerakan tidak akan teragak-agak untuk keluar dari PN jika tindakan itu bermakna mempertahankan pendidikan Cina, kata timbalan presiden parti Oh Tong Keong.

Dia berkata Gerakan juga tidak akan kekal dalam gabungan itu jika terpaksa tunduk terhadap tuntutan konservatif dan tidak munasabah yang melampau daripada "parti tertentu."

Oh menjawab amaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bahawa PN mungkin menggugurkan Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

Ini selepas PAS dan Gerakan mengambil pendirian bertentangan dalam isu syarikat minuman keras menyalurkan dana kepada sekolah vernakular.
“Gerakan mengesahkan sokongan padu terhadap usaha masyarakat Cina mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

"Walaupun ugutan tidak munasabah daripada sekutu PN bahawa tidak akan ada lagi kerjasama dalam pilihan raya umum akan datang, kami bersedia untuk menghadapinya," kata Oh pada satu kenyataan hari ini.

Gerakan semalam menyokong pendirian DAP menyokong sekolah vernakular yang bekerjasama dengan kilang bir untuk menganjurkan acara mengumpul dana.

Gerakan berpendapat kutipan derma sebegini perlu dilakukan kerana sekolah Cina tidak diberikan dana yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan untuk meneruskan operasi mereka.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pandangan sedemikian mengecewakan dan menegaskan jika Gerakan mengekalkan pendapat sedemikian, PAS tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada pilihan raya umum ke-16.

Membalas amaran PAS itu, Oh menjelaskan Gerakan sebelum ini meninggalkan BN pada 2018 untuk menentang rakan pakatan yang korup.

Begitu juga, katanya, jika rakan pakatan dalam PN terus mempamerkan ekstremisme agama dan mencabul hak orang bukan Islam, Gerakan tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan gabungan politik sekali lagi.

“Walaupun PAS mempunyai kerusi parlimen dan DUN terbanyak dan merupakan parti terbesar dalam PN, PAS mesti menghormati parti-parti lain dalam gabungan itu.
Presiden Gerakan Dominic Lau bersama pimpinan tertinggi PN.
"Mereka tidak sepatutnya bertindak seperti taiko (abang besar) dan menuntut pematuhan daripada semua pihak lain. Mereka mesti belajar untuk meyakinkan orang lain melalui pertimbangan hujah," kata Oh.

Oh juga menegaskan Gerakan menjunjung prinsip perjuangan politik bukan perkauman dan mempertahankan hak semua kumpulan etnik seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tidak ada salahnya kaum Cina dan India Malaysia mempertahankan dan mengekalkan pendidikan bahasa ibunda. Ia bukan sahaja tidak dihalang tetapi juga digalakkan dan disokong.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP Kampar Chong Zhemin pada kenyataan berasingan hari ini mencabar Presiden Gerakan Dominic Lau supaya berhenti menafikan tidak ada masalah berlaku dan mengelak ancaman yang dibuat oleh Fadhli.

Sebaliknya, dia menggesa Lau tegas mempertahankan sisa-sisa maruah terakhir Gerakan dengan meninggalkan PN dan memutuskan hubungan bersama PAS.

Gerakan rakan gabungan PN tanpa kerusi parlimen dan cuma memiliki satu kerusi DUN di Kedah yang dikuasai PAS, dimenanginya semasa pilihan raya negeri tahun lepas.

Jangan semarak api kebencian, pemimpin Gerakan tegur Fadhli

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
28 Jul 2024

Wendy Subramaniam berkata amalan terima sumbangan luar termasuk syarikat arak kepada sekolah telah lama dipraktikkan, bukan untuk promosi alkohol.
Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara komponen PN mengenai isu derma syarikat arak perlu dibincang dalaman bukan kritik secara terbuka.

PETALING JAYA: Gerakan tetap berpegang pada pendiriannya supaya kerajaan melonggarkan garis panduan dan membenarkan sekolah Cina bebas menerima sumbangan dari mana-mana pihak termasuk syarikat arak, di sebalik kritikan rakannya PAS.

Ketua Penerangan Wendy Subramaniam berkata percanggahan pendapat antara parti dalam PN mengenai isu itu perlu dibincang secara dalaman di antara pimpinan tertinggi gabungan.

Bukannya bercakap di luar dengan lantang, katanya kepada FMT, merujuk kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang kecewa dengan pendirian Gerakan itu, sambil membayangkan tidak mustahil ikatan politik mereka boleh putus pada PRU16.

“Dia (Fadhli) sudah salah faham. Anda tak boleh buat kesimpulan hanya dengan satu ‘headline’ (tajuk berita) saja, kita sokong bukan sebab nak promosi alkohol di sekolah tetapi sumber dana itu.

Kalau SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) tak terima sumbangan dari luar, mana cukup, dan amalan ini sudah lama dilaksanakan. (Dana dari syarikat luar) Bukan isu baru, katanya.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntukkan dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Wendy meminta mana-mana pemimpin PN tidak seharusnya menggunakan isu itu untuk menyemarakkan api kebencian atau merosakkan hubungan antara parti dalam PN.

Kita kena bijak tangani perbezaan ini dan tidak membiarkan orang luar campur tangan, tegasnya.

Derma syarikat arak: PAS sedia tamat ikatan dengan Gerakan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
28 Jul 2024, 08:30 AM

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata tidak mustahil bagi PAS menolak kerjasama dengan parti itu pada PRU16.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata pendirian rasmi Gerakan dalam isu derma syarikat arak sangat mengecewakan.

PETALING JAYA: PAS tidak menolak kemungkinan akan memutuskan hubungan dengan Gerakan susulan pendirian rasmi parti itu berhubung derma syarikat arak kepada sekolah.

Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan rasa ‘sangat kecewa’ terhadap sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu dalam isu terbabit.

Jika inilah selalu ditonjolkan Gerakan, PRU16 nanti tidak mustahil kita tidak boleh bersama dalam satu ikatan politik, katanya di Facebook.

Semalam, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata Kementerian Pendidikan tidak seharusnya menyekat ‘syarikat tertentu’ menyumbang dana kepada sekolah.

Menurutnya, langkah itu susulan kerajaan tidak memperuntuk dana mencukupi kepada semua jenis sekolah, sambil menegaskannya tidak mempengaruhi pelajar menjadi peminum tegar.

Kementerian Pendidikan mengumumkan Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.

Garis panduan itu antara lain menggariskan aktiviti sumbangan kepada sekolah tidak boleh memapar dan mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah, selain penganjuran aktiviti melibatkan jenama minuman keras tidak boleh membabitkan pelajar Islam.

Jemaah Menteri akan memberi pertimbangan kepada sekolah vernakular menerima sumbangan melalui lembaga pengelola sekolah dan yayasan, seperti diamalkan sejak beberapa pentadbiran terdahulu dan tidak pernah dipertikaikan mana-mana pihak.

Isu sumbangan tercetus susulan tular gambar Ahli Parlimen Sepang Aiman Athirah Sabu, menghadiri suatu majlis kutipan dana di sebuah sekolah di Sepang.

Wakil rakyat Amanah itu menjelaskan beliau tidak diberitahu oleh penganjur mengenai senarai penyumbang sehingga tiba di lokasi program, yang turut dihadiri sebuah syarikat pengeluar minuman keras.

Syarikat minuman keras di sebalik kontroversi itu menjelaskan ia tidak membuat sebarang sumbangan kepada sekolah, dan peranannya hanya melibatkan persembahan artis dalam program Chinese Education Charity Concert.

Friday, August 4, 2023

‘Saya harap tidak ada permohonan maaf ketiga daripada PAS’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 4, 2023 12:03 PM
Seorang pemimpin Gerakan Pulau Pinang mengalu-alukan permohonan maaf PAS kepada parti rakannya dalam gabungan PN berikutan insiden presidennya Dominic Lau dihalang dan dihalau dari majlis ceramah di Tasek Gelugor, Rabu lalu.

Pengerusi Gerakan Bahagian Tanjong, H'ng Khoon Leng dalam satu kenyataan berkata dia turut berharap agar kejadian serupa tidak berulang.

“Ini kali kedua PAS memohon maaf kepada Gerakan. Kali pertama secara dalaman atas sebab yang hampir serupa.
H'ng Khoon Leng
“Setahu saya, PAS tidak pernah memohon maaf kepada parti lain sebelum ini. Pimpinan parti perlu membuat semakan selepas pilihan raya negeri bagi menyelesaikan masalah disiplin ini.

"Dan saya harap tidak akan ada permohonan maaf ketiga," kata H'ng, yang juga calon PN bagi kerusi DUN Padang Kota.

Menurutnya, pendekatan “rendah hati dan diplomatik” pemimpin Gerakan untuk mencapai matlamat politik parti tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan yang boleh dipijak.

"Kami mahukan keputusan untuk rakyat Malaysia, bukan pertengkaran antara satu sama lain mengenai peruntukan kerusi, mengenai perbezaan pendapat mengenai isu asas, dan mengenai perbezaan ideologi."
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengemukakan permohonan maaf kepada parti rakannya itu.

Dalam kenyataan lewat malam tadi Takiyuddin berkata Lau sepatutnya disambut baik dan diberikan penghargaan sebagai tetamu parti sesuai dengan akhlak Islam.

Rasa tidak puas hati PAS Pulau Pinang terhadap Lau bermula sejak menjelang hari penamaan calon apabila namanya dikaitkan dengan beberapa kerusi DUN yang merupakan kawasan majoriti Melayu.

Malah, sebelum hari penamaan calon, ada di kalangan ahli PAS Bayan Lepas yang mengugut untuk memboikotnya.
Bagaimanapun akhirnya kepemimpinan tertinggi PN tetap meletakkan Lau di kerusi yang disebut-sebut sepatutnya ditandingi Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim.

Rasa tidak puas hati itu memuncak apabila Lau dihalau dari menghampiri pentas ceramah di Tasek Gelugor pada Rabu lalu walaupun sebelum itu dia ditemani Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Iszuree sendiri 'menghalau' Lau dari situ atas alasan dia tidak diundang.

Walaupun begitu Lau meredakan keadaan dengan menganggap dia sebenarnya tidak dihalau oleh PAS negeri terbabit sebaliknya hanya kesilapan teknikal apabila dia mahu bertemu serta berbincang dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Saturday, November 26, 2022

Anwar pimpin ‘kerajaan PH’, bukan kerajaan perpaduan, kata Dominic

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
-November 26, 2022 2:35 PM
Presiden Gerakan Dominic Lau, berkata Perikatan Nasional (PN) memilih menjadi pembangkang kerana kerajaan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim disifatkan ‘kerajaan Pakatan Harapan’.

KUALA LUMPUR: Anwar Ibrahim bukan menerajui kerajaan perpaduan, sebaliknya mengetuai ‘kerajaan Pakatan Harapan’, kata Presiden Gerakan Dominic Lau.

Katanya, susulan itu menyebabkan Perikatan Nasional (PN) memilih untuk menjadi pembangkang.

“Definisi kerajaan perpaduan adalah yang merangkumi semua parti politik, jelas ini kerajaan PH bukan perpaduan oleh itulah kita akan memainkan peranan sebagai pembangkang,” katanya pada sidang media di Pejabat Gerakan.

Ketua PN Pulau Pinang itu berkata demikian ketika ditanya keputusan pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, yang mengumumkan mereka akan memainkan peranan semak dan imbang di Parlimen.

Terdahulu, PAS dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan menyertai kerajaan persekutuan pimpinan Anwar demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya pengundi yang telah memilih PAS dan PN, dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Untuk rekod, kerajaan di bawah pentadbiran perdana menteri ke-10 yang baharu terbentuk disertai oleh PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), serta beberapa parti kecil lain, selain Ahli Parlimen bebas.

Saturday, June 19, 2021

Apakah tujuan dan agenda adakan sidang parlimen?, soal Gerakan

gemilangdaily.com
19/06/2021 8:30 PM

Jika agenda sidang Parlimen hanya untuk membawa matlamat politik masing-masing tanpa mengutamakan keselamatan dan kehidupan rakyat, ia jelas tidak membawa sebarang makna ketika negara masih berperang dengan wabak Covid-19, kata Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai.

Bercakap pada sidang media maya hari ini, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, Parlimen akan dibuka semula pada akhirnya jika mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Apa yang rakyat ingin tahu adalah tujuan dan agenda sidang Parlimen itu? Adakah langkah-langkah dalam memberhentikan penularan wabak Covid-19 ataupun dasar yang menjamin keselamatan dan kehidupan rakyat?

“Sekiranya mereka membawa agenda politik masing-masing, perbuatan tersebut akan kehilangan tujuan sebenar sidang Parlimen, bermaksud ia sama dengan tiada sidang Parlimen dan langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara dilaporkan berkata, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober.

Keesokannya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan Agong berhubung sidang Parlimen itu tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.

“Tuanku hanya berpandangan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin,” katanya.

Kenyataan terbuka itu menerima kritikan pelbagai pihak dengan menganggap menteri PAS itu menderhaka kepada titah Sultan Abdullah.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/19/tiada-makna-jika-parlimen-dibuka-hanya-untuk-bawa-agenda-politik-kata-gerakan/

Friday, February 19, 2021

Gerakan hampir pupus, kenapa masih nak beri nyawa?

Siti Hafidah
ismaweb.net
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

PAS patutnya ambil pengalaman tahaluf siyasi dengan DAP dulu


BANGI, 7 Rejab 1442H, Jumaat – “Gerakan adalah parti yang hampir pupus, kenapa perlu parti Melayu memberi nyawa kepada parti yang diibaratkan mayat hidup ini?”

Demikian persoalan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat susulan tindakan Perikatan Nasional (PN) yang bersetuju menerima masuk keanggotaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebagai parti komponen.

Pada 11 Februari lalu, Gerakan diterima menyertai PN selepas Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau, menerima surat pengesahan yang ditandatangani Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun ramai pihak yang tidak senang dengan perkembangan itu namun PAS – sebagai parti komponen – berpendirian terbuka dengan penyertaan parti berkenaan.

Berikutan itu, Gerakan Kelantan menuntut PAS menyerahkan DUN Kota Lama kepada parti itu untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tuntutan itu dibuat Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun selepas mendakwa PAS sudah lama mempertahankan kerusi itu sedangkan majoriti pengundi DUN Kota Lama adalah masyarakat Cina.

Tindakan Gan itu dibuat beberapa hari selepas Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob menyifatkan penyertaan parti terbabit mampu memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Mengulas situasi itu, Ustaz Shuhaib mengingatkan PAS supaya belajar daripada kegagalan pengalaman kerjasama – tahaluf siyasi – dengan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

“Tiada apa-apa maslahah untuk Islam dan agenda Melayu yang diperolehi daripada kerjasama dengan DAP itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, beliau berkata, sesiapa yang mengkaji sejarah parti-parti Cina yang begitu lantang menentang Islam dan agenda Melayu secara konsisten seharusnya sedar bahawa sebarang kerjasama dengan mereka adalah naif.

“Siasah Syariah meletakkan syarat yang jelas bahawa kerjasama dengan parti-parti bukan Islam mestilah dalam kerangka mendaulatkan Islam dan agenda Melayu dalam konteks politik di Malaysia,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, February 14, 2021

PAS anggap kemasukan Gerakan perkukuh perpaduan rakyat

 Athirah Huda Zalhe

ismaweb.net

Lengkapkan PN sebagai perikatan bersifat nasional merangkumi pelbagai bangsa, parti


BANGI, 1 Rejab 1442H, Sabtu – Meskipun ramai pihak yang tidak senang dengan kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam Perikatan Nasional (PN), namun PAS – sebagai parti komponen – berpendirian terbuka dengan penyertaan parti itu.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, penyertaan Gerakan dalam PN – gabungan yang ditubuhkan hampir setahun lalu – mampu memperkukuhkan lagi perpaduan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, kemasukan Gerakan – yang sebelum ini pernah bersama Barisan Nasional – boleh melengkapkan PN sebagai sebuah perikatan yang bersifat nasional merangkumi pelbagai jenis bangsa dan parti.

“Bagi saya tiada masalah untuk mewujudkan perpaduan, kita mengejar keamanan.

“Cuma kita lebih selesa untuk melihat tanggungjawab semua bangsa dalam mencari keselesaan buat rakyat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Khamis lalu, Gerakan mengumumkan secara rasmi diterima menganggotai gabungan PN.

Parti yang kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, berjanji mewakili rakyat dalam segala perkara, mengetengahkan kesederhanaan dan memastikan PN sebagai wadah politik baharu negara.

PN dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, manakala UMNO mengambil pendirian menyokong tetapi tidak sertai sebagai satu komponen.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Friday, February 12, 2021

Apa rasional PN terima parti celupar seperti Gerakan

mykmu.net
February 12, 2021

Gerakan lebih ‘sesuai’ dengan DAP, nada dan agenda mereka sama


BANGI, 30 Jamadilakhir 1442H, Jumaat – Tindakan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) jelas membuktikan parti itu kini ‘mengambil peluang’ bergayut kepada parti memerintah.

Ia tidak ubah seperti pohon dedalu yang hidup menumpang pada pokok lain dan akhirnya menghisap segala kehidupan pada pokok yang ditumpang, demikian sindir Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim.

Gerakan – parti yang kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada PRU14 – kononnya berjanji mewakili rakyat dalam segala perkara, mengetengahkan kesederhanaan dan memastikan PN sebagai wadah politik baharu negara.

Tidak ‘mempercayai’ janji itu, Ustaz Zamani berkata, kerajaan PN patut sedar bahawa punca utama masyarakat menolak pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini adalah disebabkan PKR dan PAN terlalu mengalah dengan ‘agenda’ parti rasis dan cauvinis DAP.

Beliau berkata, rakyat hanya boleh menerima kerajaan PN dengan harapan ia terus membela hak-hak orang Melayu sebagai tuan tanah watan ini.

“Justeru, saya tidak nampak atas dasar apa PN boleh membuka pintu kepada Gerakan masuk menyertai PN.

“Kalau dilihat dari sudut keceluparan, parti ini menghina Islam seperti menuduh sekolah agama adalah punca rosaknya perpaduan nasional.

“Sepatutnya sudah layak PN menutup pintu buat mereka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, semua maklum Gerakan hidup bersama Barisan Nasional (BN), kerana pada ketika itu BN adalah kerajaan, katanya lagi.

“Terlalu ‘kenyang’ parti ini pada ketika itu. Apabila BN tumbang, tidak segan silu parti ini isytihar keluar daripada BN. Bak kata pepatah ‘habis madu sepah dibuang’,” katanya.

Beliau menegaskan, BERJASA berpandangan bahawa matlamat utama PN untuk berkuasa adalah memperkasakan pelaksanaan Islam di negara ini sesuai dengan ketetapan bahawa Islam adalah agama persekutuan.

“Sebagai kerajaan dan demi menjaga maruah Islam, PN sepatutnya memberi kata dua kepada Gerakan.

“Sekiranya ingin bersama PN, Gerakan hendaklah memohon maaf di atas segala keceluparannya kepada orang Islam dan sentiasa menjunjung Islam sebagai agama persekutuan.

“Jika sebaliknya, Gerakan lebih baik berkawan dengan DAP, ini kerana nada dan agenda mereka adalah sama,” katanya.

PN dianggotai oleh BERSATU dan PAS manakala UMNO mengambil pendirian menyokong tetapi tidak sertai sebagai satu komponen.

Gerakan – Langkah Bijak Atau Sekadar Perhiasan Dalam PN?

by1Media.my
-February 12, 20210

 
Keputusan Gerakan menyertai Perikatan Nasional (PN) dan penerimaan gabungan itu secara mengejut menimbulkan beberapa persoalan dan penganalisis politik berkata Gerakan akan menjadi “perhiasan indah yang terdiri daripada berbilang kaum” dalam apa disifatkan sebagai gabungan Melayu-Islam.

Bagaimanapun, “waktu” keputusan itu dibuat tetap menjadi persoalan.

Penganalisis politik Kenneth Cheng berkata, Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai menyuarakan niatnya untuk bergabung dengan PN dalam banyak kesempatan sejak tahun lalu.

“Muhyiddin Yassin sepatutnya menerima permintaan itu lebih awal tetapi penundaan itu mungkin perlu dipertimbangkan. Adakah Barisan Nasional (yang terdiri daripada Umno, MIC dan MCA) dan PN (PAS dan PPBM) berpisah dan adakah Muhyiddin memerlukan parti majoriti orang Cina untuk menggantikan MCA?” soalnya.

Katanya, ini bermakna, Gerakan mungkin bermanfaat bagi gabungan itu sebagai parti berbilang kaum dalam gabungan kerajaan.

Terdahulu, Lau mengesahkan Muhyiddin menerima parti itu sebagai sebahagian daripada PN.

Tetapi, Cheng yang juga ahli Agora Society berkata, ia adalah langkah “oportunistik” oleh Gerakan untuk berkerjasama dengan gabungan yang memerintah kerana keputusan itu tidak berdasarkan prinsip ideologi atau aspirasi yang sesuai dengan PN.

“Mereka ingin bersama gabungan PN yang menjadi kerajaan ketika ini,” katanya.

Gerakan tewas di semua 11 Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya pada PRU14. Sebulan kemudian pada 9 Mei, parti itu mengumumkan akan keluar daripada BN untuk memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang bebas dan konstruktif.

Sejak itu, Gerakan mula mencari rentak untuk memulakan perjalanan politiknya yang terhenti.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata, menerima parti komponen kecil seperti Gerakan yang mempunyai seorang anggota di Dewan Undangan Negeri (juga pembelot DAP) ke dalam PN dilihat sebagai “perhiasan berbilang kaum yang cantik”.

“Bagi PPBM, menerima Gerakan adalah suatu tindakan yang tidak akan menjejeskannya.

Penganalisis politik Azmi Hassan berkata, ia merupakan langkah strategik Muhyiddin untuk menerima parti pelbagai kaum ke dalam PN.

“Selain itu, Muhyiddin dapat memberikan beberapa kerusi kepada Gerakan untuk bertanding di Pulau Pinang tanpa bantahan daripada PPBM dan PAS,” katanya.

 - malaysiannow.com

Wednesday, September 16, 2020

Haramkan Gerakan sertai PN! Biar mereput sebagai pembangkang

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Dahulu berlagak tinggalkan BN, kini terkapai-kapai cari dahan berpaut


BANGI, 28 Muharram 1442H, Rabu – Perikatan Nasional (PN) tidak akan rugi sekiranya membiarkan parti ultra kiasu seperti Gerakan menjadi pembangkang.

Justeru, PN tidak perlu mempedulikan Gerakan dan haramkan parti ultra kiasu berkenaan daripada menyertai gabungan itu, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata, Gerakan sudah tiada hala tuju sehingga terpaksa mencari tempat berpaut dan mungkin mereput jika PN tidak mempedulikannya.

“Sama seperti MCA, jika Bumiputera tidak menyokong parti ia turut akan mengikut jejak Gerakan, mereput dengan sendiri.

“Jika PN kebulur sangat nak terima juga kenakan syarat yang ketat. Antaranya tidak boleh sama sekali bertanding di kawasan majoriti Melayu.

“Biarkan ultra kiasu berdepan dengan sesama ultra kiasu. Tengok siapa menang,” katanya dalam kenyataan.

Sambil menyindir, Ridhuan Tee berkata, Gerakan dahulunya berlagak apabila UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak berkuasa sehingga memutuskan keluar daripada gabungan itu.

“Bila BN (PN) kembali kuat, lain pula ceritanya. Intai peluang semula. Paling cepat mencium bau adalah ultra kiasu MCA. Cepat-cepat menyertai PN.

“Dahulu ultra kiasu ini kutuk UMNO dan PAS sampai rapat ke dinding, sekarang mahu jilat balik,” katanya.

Beliau membayangkan parti ultra kiasu berkenaan mempunyai prinsip dan maruah, namun sebaliknya.

“Ingatan kepada pimpinan PN, percayalah membela ultra kiasu ini dalam PN, ultra kiasu inilah juga yang akan memecahbelahkan dan merosakkan perpaduan sesama Bumiputera dalam MN dan PN.

“Rakan PN yang paling baik, mewakili bangsa Cina adalah Parti Cinta Malaysia (PCM). PCM tidak ultra kiasu. Parti ini berjiwa patriotik dan sayangkan negara serta menghormati pribumi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, September 13, 2020

Gerakan mahu sertai PN

Bernama
-September 13, 2020 10:12 PM
Dominic Lau (depan, 3 dari kanan) bergambar dengan ahli Gerakan pada Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-45, Wanita dan Pemuda ke-33 di Seremban hari ini. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Gerakan menyuarakan hasrat menyertai Perikatan Nasional yang diterajui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai berkata, keputusan itu diambil selepas dipersetujui semua ahli Jawatankuasa Pusat dalam mesyuarat pada Mei lalu.

“Kita sudah bawa pembentangan itu kepada AJK pusat dan semua setuju dengan hasrat bersama PN. Memang kita juga sudah tunjukkan hasrat kepada perdana menteri, Gerakan ingin bersama PN,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Negeri Sembilan ke-45, Wanita dan Pemuda ke-33 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lau berkata, pihaknya sedang menunggu masa sesuai untuk mengadakan perbincangan dengan PN bagi tujuan itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, prestasi Gerakan mengecewakan kerana kalah di semua 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN yang ditandinginya.

Susulan itu, pada 23 Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional untuk menjadi parti bebas yang konstruktif.

Terdahulu, Lau berkata, persidangan itu bertujuan mempersiapkan ahli bagi menghadapi PRU15.

Sunday, July 12, 2020

Hina Jawi: Sikap netizen Cina ‘cukup dajal, bukan biadab lagi’

Siti Hafidah
Cari pasal sentuh sensitiviti Melayu, undang konflik antara kaum



Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Semua pihak sepatutnya mengalu-alukan keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tindakan bijak bagi terus memartabatkan tulisan Jawi yang didapati ‘kesepian’ sejak akhir-akhir ini meskipun mendapat bantahan dari GERAKAN serta reaksi negatif dalam kalangan netizen Cina.

Kok Seong berpandangan, tindak balas masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina mengaitkan tulisan Jawi dengan agama Islam sebagai tidak berasas.

“Sementara tindakan GERAKAN pula lebih kepada meraih sokongan. Parti itu dilihat juara memperjuangkan kepentingan Cina yang menentang tulisan Jawi ini. Ia lebih kepada tindakan politik yang dilihat sebagai pelindung kepada masyarakat Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat pada Rabu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang mengajak orang Melayu makan daging babi pada hari Jumaat.

Menempelak komen netizen itu, Kok Seong berkata, walaupun ini negara demokratik, bantahan yang ingin disuarakan mesti dilakukan dengan penuh adab sesuai dengan lima prinsip Rukun Negara.

“Kalau kita tengok bantahan itu tersasar jauh. Kalaulah tulisan Jawi itu menjadi masalah, maka kita berhujah dari segi lebih berfakta, bukan kita sasar dengan cadangan balas begitu dan tidak ambil kira sensitiviti pihak lain.

“Tidak suka tulisan Jawi dengan memberi cadangan akan mengadakan jamuan babi, sambil minum arak dan menulis Jawi, ini cukup ‘dajal’ bukan biadab lagi pertamanya boleh mengundang konflik antara kaum,” tegas beliau.

Membidas lagi, Kok Seong berkata, golongan berkenaan ‘mencari penyakit’ yang boleh mengakibatkan hubungan etnik semakin keruh dan lebih teruk lagi mengundang konflik terbuka.

“Ini sesuatu yang sensitif. Hari Jumaat itu bagi orang Islam penghulu segala hari, hari yang penuh dengan keberkatan dan sebagainya. Pilih hari Jumaat sebagai hari makan babi, ‘taboo’ kepada orang Melayu, jadi ini sungguh berbahaya.

“Justeru, saya harap pemimpin Cina tidak kira parti mana membuat kenyataan mengutuk tindakan segelintir masyarakat Cina ini. Tindakan perlu diambil, ini sangat berbahaya menyentuh sensitiviti Melayu.

“Tindak balas babi itu ‘taboo’ larangan agama Islam, bagaimana boleh disarankan bahkan diajak lagi,” katanya kesal.

GERAKAN beri amaran jangan paksa bukan Islam belajar Jawi


Tong Keong tuduh Dr Zulkifli ada agenda tersembunyi, ekstrem


PULAU PINANG, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ bermula, semalam.

Dr Zulkifli berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

Beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Tong Keong memberi hujah bahawa, Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar.

“GERAKAN bakal bersungguh-sungguh menghalang muslihat ini,” katanya seperti dilapor portal berbahasa Cina, Oriental Daily.

Tong Keong yang juga merupakan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang berkata, sebelum ini pemimpin PAS telah berterusan mencetuskan ketidakpuasan hati orang bukan Islam.

Namun kini, katanya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang telah menyertai Kabinet pula berbuat demikian.

“Walaupun Zulkifli tidak menyertai Kabinet atas tiket PAS, tetapi menilai dari tutur kata dan perlakuannya, tiada beza dengan pemimpin PAS yang ekstrem dan selalu memainkan isu perkauman.

“Kalau beliau mahu mengikut jejak pemimpin PAS, maka bersedialah menghadapi akibatnya,” katanya memberi amaran.

Tong Keong juga mengingatkan Dr Zulkifli jika ia Hari Jawi adalah gerakan yang bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan Jawi, maka ia hanya patut melibatkan orang Islam sahaja.

“Jika niat beliau ialah untuk memaksa orang bukan Islam terlibat sama, GERAKAN akan menentang habis-habisan.

“Pada zahirnya Dr Zulkifli berkata bahawa matlamatnya adalah untuk menggalakkan penggunaan Jawi tetapi kita tidak tahu apa yang beliau akan lakukan secara tersembunyi,” katanya.

Thursday, July 9, 2020

Pergi Jahanamlah DAP, kata bekas ahli

Sofea Amelia
July 9, 2020 

DAP mahu Malaysia jadi seperti Singapura dikuasai Cina

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Meskipun berlainan agenda, parti Cina seperti MCA, DAP serta GERAKAN mempunyai ‘jiwa’ yang sama iaitu mahu melemahkan serta memecahbelahkan orang Melayu dan Islam, demikian dakwa Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Datuk Seri Ramesh Rao.

Beliau yang pernah menjadi ahli parti tamak haloba itu berkata, DAP mahukan Malaysia menjadi seperti Singapura yang mana dikuasai oleh Cina.

“…memang jahanamlah DAP ini. Kalau boleh perlu dibubarkan. Selagi wujud parti itu selagi itu Malaysia tidak akan aman,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming terhadap pelaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga di pawagam oleh kerajaan negeri Terengganu.

Terdahulu, Kor Ming menggesa Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri meminta kerajaan Terengganu yang dipimpin PAS membatalkan arahan pengasingan jantina di pawagam.

Katanya, kerajaan Persekutuan tidak wajar berdiam diri berkenaan perkara itu yang mungkin memberi kesan terhadap kemajmukan budaya di Malaysia.

Ramesh menyifatkan bantahan Kor Ming bukan sesuatu yang menghairankan kerana dakwanya setiap langkah kerajaan untuk kebaikan rakyat tidak akan disokong.

Pada masa sama, beliau menggesa parti politik Melayu berhenti ‘berpuak-puak’ dan bersatu jika mahu melihat bangsa Melayu selamat.

“Saya minta semua bersatu di bawah satu payung demi negara dan bangsa. Sampai bila nak diperlekeh, sampai bila mahu menjadi barua,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-