Friday, July 12, 2024

Posmen lebih bermaruah dari speaker, kata Zaid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2024
Bekas menteri Zaid Ibrahim mendakwa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggunakan taktik melengah-lengahkan apabila membuat keputusan mengekalkan kerusi enam ahli parlimen Bersatu.

Mengulas kenyataan Johari bahawa dia "bukan posmen", Zaid berkata seorang posmen "lebih bermaruah" berbanding speaker itu.
Johari Abdul
"Seorang posmen tidak akan sesekali buka surat dan baca kandungannya. Dia tahu tugasnya: menghantar surat.

"Kamu pula tidak tahu tugas kamu. Tugas kamu ialah beritahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Itu tugas kamu, bukan untuk mendapatkan sokongan maksimum kepada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim)," tulis Zaid di laman X pagi ini .

Apabila parti politik mengesahkan wujudnya kekosongan, tugas speaker ialah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu, katanya.
Semalam, Johari memberitahu Parlimen selepas ahli parlimen PN bertindak keluar dewan bahawa keputusan mengekalkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu itu dibuat dengan berhati-hati.

"Saya sebut saya bukan posmen. Bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya...saya akan memastikan saya kaji semua sekali.

“Saya baca kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat tentang Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Saya ambil keputusan, keputusannya kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku," katanya.

Taktik melengahkan masa

Mengulas lanjut Zaid mendakwa Johari menggunakan taktik melengah-lengahkan masa dengan memberitahu mahkamah untuk mentafsir peruntukan berkaitan.

“Seluruh proses akan membawanya kepada pilihan raya akan datang. Begitulah pemimpin yang tidak bermaruah memanjangkan hayat politik mereka.

"Speaker Dewan perlu ada kualiti tertentu, salah satunya adalah berkecuali. Tidak mungkin untuk melaksanakan tugas dengan baik jika speaker berat sebelah dan kepentingan parti/kerajaan sebagai keutamaan," kata Zaid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-