Showing posts with label Johari Abdul. Show all posts
Showing posts with label Johari Abdul. Show all posts

Tuesday, February 4, 2025

Dewan Rakyat kecoh pembangkang dakwa kerajaan derhaka titah Agong

malaysiakini.com
Shakira Buang & Ili Aqilah & Zarrah Morden
Diterbitkan: Feb 4, 2025 5:37 PM
PARLIMEN | Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul tidak membenarkan polemik berkaitan titah adendum oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dibangkitkan pada sidang parlimen kali ini.

Ini berikutan beberapa ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak mencetuskan kekecohan di dalam dewan ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin membangkitkan isu kewujudan titah adendum berkenaan dan isu derhaka kepada institusi diraja.

Johari membuat ketetapan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mempersoalkan tindakan ahli parlimen pembangkang.

Selain itu dia turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan titah adendum tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).

“Kita boleh menjerit (tentang titah adendum dan penderhakaan), tapi perkara itu telah diambil dan ketua pembangkang mengatakan (dakwa berlaku) sorokan (dalam isu titah adendum) telah dibuat, persembunyian telah dibuat.

“Saya rasa cukuplah setakat itu, bergerak ke hadapan. Banyak lagi perkara (nak dibincangkan) dan ini keputusan saya, baik saya putuskan.

“Oleh kerana ia 36(2) dan (isu titah adendum masih) dalam mahkamah dan perkataan derhaka juga (mengikuti Peraturan Mesyuarat) 36(7), saya tidak benarkan lagi (isu dan perkataan itu).

"Move forward (sudahlah). Sesiapa juga yang membangkitkan (perkara) melibatkan itu, saya akan ambil tindakan. Kalau tidak, tidak habis (bertegang urat mengenai isu titah adendum)," katanya.

[Laporan penuh menyusul]

Friday, July 12, 2024

Posmen lebih bermaruah dari speaker, kata Zaid

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jul 12, 2024
Bekas menteri Zaid Ibrahim mendakwa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menggunakan taktik melengah-lengahkan apabila membuat keputusan mengekalkan kerusi enam ahli parlimen Bersatu.

Mengulas kenyataan Johari bahawa dia "bukan posmen", Zaid berkata seorang posmen "lebih bermaruah" berbanding speaker itu.
Johari Abdul
"Seorang posmen tidak akan sesekali buka surat dan baca kandungannya. Dia tahu tugasnya: menghantar surat.

"Kamu pula tidak tahu tugas kamu. Tugas kamu ialah beritahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Itu tugas kamu, bukan untuk mendapatkan sokongan maksimum kepada PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim)," tulis Zaid di laman X pagi ini .

Apabila parti politik mengesahkan wujudnya kekosongan, tugas speaker ialah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu, katanya.
Semalam, Johari memberitahu Parlimen selepas ahli parlimen PN bertindak keluar dewan bahawa keputusan mengekalkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu itu dibuat dengan berhati-hati.

"Saya sebut saya bukan posmen. Bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya...saya akan memastikan saya kaji semua sekali.

“Saya baca kenyataan-kenyataan dalam pembinaan pindaan yang dibuat tentang Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Saya ambil keputusan, keputusannya kekal seperti yang telah saya maklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku," katanya.

Taktik melengahkan masa

Mengulas lanjut Zaid mendakwa Johari menggunakan taktik melengah-lengahkan masa dengan memberitahu mahkamah untuk mentafsir peruntukan berkaitan.

“Seluruh proses akan membawanya kepada pilihan raya akan datang. Begitulah pemimpin yang tidak bermaruah memanjangkan hayat politik mereka.

"Speaker Dewan perlu ada kualiti tertentu, salah satunya adalah berkecuali. Tidak mungkin untuk melaksanakan tugas dengan baik jika speaker berat sebelah dan kepentingan parti/kerajaan sebagai keutamaan," kata Zaid.

Wednesday, July 10, 2024

‘Kamu tak hormat Parlimen’, wakil rakyat kerajaan kritik keputusan speaker

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
10 Jul 2024

Hassan Karim berkata berkata keputusan Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam wakil rakyat Bersatu berlawanan aspirasi rakyat untuk henti amalan lompat parti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menyifatkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berdasarkan kepentingan politik kepartian.

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat kerajaan mengkritik keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengekalkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata keputusan speaker berlawanan aspirasi rakyat untuk menghentikan amalan lompat parti, ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ menerusi akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sebelum ini.

“Amat malang dan sedih kerana keputusan speaker tidak didukung oleh hujah yang mantap. Saya melihat speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” kata wakil rakyat PKR kepada FMT.

Terdahulu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan speaker tidak mengosongkan kerusi terbabit, menyifatkan tindakan Johari membuat tafsiran yang mencemar peruntukan antilompat parti bersifat dangkal, songsang, serta harus dicela.

Antara alasan dikemukakan Johari untuk tidak menunaikan permintaan supaya kerusi terbabit dikosongkan kerana ingin mengekalkan kestabilan dalam Parlimen demi urusan rakyat dan negara.

Penyandang dan enam kerusi terbabit adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Hassan berkata, Bersatu sudah meminda perlembagaan parti untuk menyelaraskannya dengan pindaan baharu Perlembagaan Persekutuan iaitu akta antilompat parti, tetapi speaker tidak menghormati Parlimen yang menjadi tempat ia digubal dan diluluskan.

“Tindakan Johari mengekalkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu berpaling tadah juga bercanggah niat Parlimen yang meminda Perlembagaan demi mewujudkan apa dikenali sebagai akta antilompat parti.

“Johari gagal mengambil maklum keputusan mahkamah sebelum ini menolak semakan kehakiman dibuat bekas Adun Nenggiri (Azizi) untuk mengetepikan keputusan speaker DUN Kelantan yang mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas wakil rakyat Bersatu berpaling tadah,” dakwanya.
Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

Keputusan Johari buka jalan untuk MP kerajaan memberontak

malaysiakini.com
Zikri Kamarulzaman
Diterbitkan: Jul 10, 2024 5:48 PM
Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi yang dipegang enam bekas ahli Parlimen Bersatu boleh membawa kesan yang buruk kepada kerajaan.

Ini kerana peraturan yang digunakan Bersatu dalam usaha mengosongkan kerusi tersebut adalah sama dengan kaedah yang turut dilaksanakan DAP, Amanah dan Umno.

Dalam surat Johari kepada Bersatu yang dilihat Malaysiakini, dia menyatakan peraturan Bersatu - yang membatalkan keanggotaan ahli yang bertentangan dengan parti - bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan peraturan Parlimen yang menjamin kebebasan ahli Parlimen untuk bersuara, berbahas dan mengundi.

Keputusan itu menetapkan duluan yang boleh menjadikan peraturan serupa yang dikenakan parti lain juga tidak terpakai.

Justeru, sepertimana enam bekas ahli Parlimen Bersatu menukar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ahli parlimen kerajaan juga boleh menarik balik sokongan mereka terhadap Anwar atau mengundi menolak rang undang-undang (RUU) yang dibawa kerajaan.
Secara teori, dengan sokongan enam ahli Parlimen itu, Anwar memiliki sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Namun, sejak kerajaan persekutuan ditubuhkan, ada dakwaan wujudnya kalangan ahli Parlimen dalam Umno dan BN yang tidak setuju dengan keputusan Ahmad Zahid Hamidi - iaitu pengerusi BN dan presiden Umno - untuk menyokong Anwar sebagai perdana Menteri.

Sementara keretakan dalam BN tidak memadai untuk menyebabkan Anwar hilang majoriti, ia berisiko menggugat keyakinan komponen lain dalam kerajaan, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), terhadap Anwar.

Duluan tidak baik

Satu lagi duluan yang dibuat Johari adalah mana-mana ahli Parlimen yang mungkin melanggar Akta Anti Lompat Parti, boleh menangguhkan keputusan terhadapnya dengan memfailkan tindakan mahkamah terhadap partinya.

Itu merupakan keputusan yang dibuat Johari ke atas Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman.

Dalam suratnya, Johari berkata dia tidak mahu mengganggu proses mahkamah menerusi keputusan yang dibuatnya.

Selain Suhaili, lima lagi bekas ahli Parlimen Bersatu tersebut adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

[Baca berita asal]

Sunday, December 18, 2022

Johari kosongkan kerusi DUN Gurun, mahu jadi Speaker Parlimen?

agendaily.com
81/12/2022
Sidang Dewan Rakyat.

Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Johari yang juga Ketua Pembangkang itu membuat keputusan mengosongkan kerusi Gurun tersebut walaupun penggal DUN masih belum berakhir dan spekulasi kuat mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Speaker Parlimen pada 19 Disember nanti.

Menerusi satu klip video berdurasi kira-kira dua minit yang diterima Utusan Malaysia pada pukul 2.44 pagi tadi, Johari memaklumkan keputusannya itu telah dimaklumkan kepada Speaker DUN, Datuk Juhari Bulat.

Katanya, pemakluman tersebut telah dibuat menerima sepucuk surat yang disahkan diterima Juhari pada 13 Disember lalu.

“Dalam surat itu saya memaklumkan kepada Speaker bahawa saya mengosongkan kerusi DUN Gurun yang diwakili berkuatkuasa serta-merta.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Speaker yang telah memberi ruang kepada saya untuk mengambil bahagian secara aktif dalam DUN Kedah,” katanya menerusi video berkenaan

Bagaimanapun Johari yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani tidak langsung memaklumkan mengenai punca keputusan itu diambil.

Sebelum ini, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah mengesahkan yang beliau menjadi pilihan PH bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Johari turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Gurun dan pengundinya di kawasan DUN tersebut.

“Anda telah memberikan kerjasama luar biasa dan kepercayaan kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai ADUN Gurun.

“Insya-Allah kita akan berjumpa lagi dan saya yakin hubungan baik ini akan berkekalan dalam memakmurkan serta membangunkan Kedah,” katanya lagi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-